Menu Close
Panduan Menginap di Hostel semasa Travel Solo

Bahasa Malaysia | English

Tip Pertama Kali Menginap di Hostel Semasa Travel Solo

Suka ataupun tidak, menginap di hostel sememangnya terbukti sebagai salah satu cara terbaik untuk menjimatkan wang semasa travel, terutamanya jika anda travel secara solo.

Jika anda bercuti bersama teman, setidak-tidaknya dapatlah anda berkongsi kos penginapan. Tetapi jika anda mengembara solo, semua kos tersebut terpaksa ditanggung seorang diri. Tambahan pula, kebanyakan hotel tidak menyediakan bilik single untuk penginap yang datang bersendirian.

Bagi diri saya sendiri, saya tidak suka berbelanja banyak untuk kos penginapan. Sebabnya, apabila saya melancong, saya lebih banyak menghabiskan masa di luar dan pulang ke tempat penginapan sekadar untuk mandi dan tidur sahaja.

Apa gunanya saya berhabisan ratusan ringgit untuk bilik hotel sekiranya saya cuma akan menggunakannya untuk beberapa jam sahaja? Lebih baik wang itu saya gunakan untuk tujuan lain seperti makanan dan bermacam-macam lagi aktiviti menarik di tempat itu.

Selain lebih murah, hostel juga mempunyai sesuatu yang tidak ada pada hotel mahal, iaitu peluang untuk bertemu pelancong-pelancong lain dari serata dunia.

Di samping dapat menambah kenalan, anda juga dapat berkongsi kisah pengembaraan dan tip-tip travel. Siapa tahu, mungkin suatu hari nanti anda akan bertemu semula apabila berkunjung ke negara mereka.

Me in dormitory room hostel in Hanoi | Ummi Goes Where?
Saya di sebuah hostel di Hanoi pada tahun 2011.

Sewaktu saya mula berjinak-jinak dengan kembara solo suatu ketika dulu, belum ada sebarang aplikasi penempahan hotel seperti sekarang. Atau mungkin sudah ada, cuma saya yang kurang tahu. Telefon pintar pun saya tak ada ketika itu.

Jadi, biasanya saya akan redah saja, terbang ke destinasi tanpa sebarang tempahan hotel. Sesampainya di sana barulah saya akan berusaha mencari penginapan.

Namun, sekarang sudah terdapat berbagai-bagai laman sesawang dan aplikasi penempahan penginapan, di mana anda bukan sahaja boleh membuat tempahan, tetapi juga boleh membuat perbandingan hotel berdasarkan gambar dan reviu pelanggan terdahulu.

Antara platform yang boleh anda gunakan untuk menempah hostel adalah:

Semasa memilih hostel, baca maklumat hostel berkenaan dengan teliti. Atau lebih baik lagi, baca reviu dan ulasan pelanggan-pelanggan sebelumnya. Reviu pelanggan dapat memberikan anda gambaran yang lebih tepat tentang keadaan sesebuah tempat penginapan.

Walau bagaimanapun, harus diingat juga. Apa yang disukai oleh orang lain, tidak semestinya sesuai dengan anda. Dan begitu juga sebaliknya. Jadi bacalah reviu-reviu tersebut sebagai panduan, tetapi pilihlah mengikut kesesuaian anda sendiri.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam pemilihan hostel:

Lokasi

Hostel biasanya terletak berhampiran pusat bandar atau tempat-tempat yang senang ditujui menggunakan pengangkutan awam.
 
Hal ini kerana, kebanyakan penginap hostel adalah dari golongan backpacker, iaitu pelancong-pelancong bajet rendah yang berkemungkinan tidak mampu (atau tidak mahu) menyewa teksi atau kereta sendiri.
 
Namun, ada juga hostel yang terletak di kawasan agak terpencil. Jadi, pastikan anda periksa terlebih dahulu sebelum membuat tempahan. Tak guna anda membayar murah untuk kos penginapan sekiranya perlu menghabiskan wang untuk kos pengangkutan pergi dan balik ke hostel.
 
Kebanyakan aplikasi tempahan membolehkan anda menapis hasil carian berdasarkan lokasi. Jangan lupa baca komen orang lain tentang lokasi hostel tersebut. Adakah tempat itu terlalu sunyi? Adakah ia selamat jika anda pulang lewat malam?

Harga

Tentunya harga memainkan peranan yang sangat penting dalam pemilihan tempat penginapan. Tetapi, hendak berjimat pun biarlah berpada-pada. Jika ada hostel yang menawarkan harga yang jauh lebih rendah berbanding hostel-hostel lain dalam kawasan yang sama, kaji sebabnya.

Adakah hostel tersebut mempunyai reputasi yang buruk? Atau adakah ia sebuah hostel baru yang belum mempunyai sebarang reviu? Adakah harga itu termasuk sarapan pagi? Berapa orangkah yang akan berkongsi satu bilik? Adakah anda akan dikenakan denda jika membatalkan tempahan?

Biasanya, penginapan yang murah akan mengenakan caj prabayar semasa tempahan dibuat, dan caj ini tidak akan dipulangkan sekiranya anda membuat pembatalan. 

Jenis Hostel

Setiap hostel adalah berbeza-beza.

Ada hostel yang lebih digemari anak-anak muda yang suka bersosial kerana dilengkapi dengan bar, karaoke, dan meja snuker, contohnya. Dan ada juga hostel yang lebih mementingkan suasana yang senyap dan selesa.

Ada hostel yang lebih besar, profesional, dan memiliki ramai staf, dan ada juga yang merupakan perusahaan kecil-kecilan yang diuruskan oleh ahli keluarga pemiliknya.

Pilihlah mengikut kesesuaian, bajet, dan citarasa anda.

hostel dormitory room in brunei | Ummi Goes Where?
Hostel yang diselenggara kerajaan Brunei di Bandar Seri Begawan. 2011.

Jenis Bilik / Katil

Secara umumnya, kebanyakan hostel menyediakan katil dua tingkat, tetapi ada juga yang menyediakan katil single. Dan dewasa ini, semakin banyak yang menggunakan konsep pod atau kapsul, diinspirasikan oleh capsule hotel yang popular di Jepun.
 
Jumlah penginap yang berkongsi satu bilik juga berbeza-beza, daripada 4 orang sebilik hinggalah 20. Sesetengah hostel menawarkan bilik berasingan untuk lelaki dan perempuan.
 

Kebersihan

Pada zaman sekarang ini, tahap kebersihan hostel rata-ratanya sangat memuaskan, terutamanya di negara-negara maju. Tetapi ada juga kadang-kadang kita mendengar cerita kurang enak tentang hostel yang mempunyai tandas kotor misalnya, atau masalah pepijat (bedbug).
 
Di sinilah pentingnya membaca reviu yang ditinggalkan tetamu-tetamu hostel sebelum anda. 
 
Secara peribadi, saya belum pernah lagi mengalami masalah pepijat di mana-mana tempat penginapan. Sesiapa yang pernah mengalaminya di rumah, tentu sudah faham betapa susahnya hendak menghapuskan makhluk perosak ini, sehinggakan ada yang terpaksa membuang perabot.
 
Bagi yang tidak pernah melihat pepijat, begini caranya untuk mengenali tanda-tanda kehadiran serangga perosak tersebut.
 
Selak cadar dan lihat di bucu-bucu tilam. Pepijat suka bersembunyi di celah-celah lipatan / jahitan dan bucu-bucu tilam. Ia juga akan meninggalkan kulit, telur, dan kesan-kesan najis yang berupa tompok-tompok kecil berwarna hitam pada fabrik.
 
pepijat
Sumber Foto: Charlysays / Wikimedia Commons
Kalau menjumpai tanda-tanda ini pada tilam di tempat penginapan, saya sarankan tinggalkan saja tempat itu.
 
Pepijat boleh berhijrah dari rumah ke rumah dengan cara melekat pada pakaian dan beg anda. Jangan pula nanti anda membawanya pulang ke rumah sebagai ‘buah tangan’ daripada percutian anda!

Kemudahan & Perkhidmatan

Kemudahan dan perkhidmatan juga merupakan salah satu faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan hostel, bergantung pada keperluan masing-masing.
 
Contoh fasiliti dan perkhidmatan yang biasa disediakan di hostel adalah:
  • Resepsi 24 jam (seandainya anda perlu daftar masuk atau keluar di luar waktu yang sepatutnya)
  • Loker penyimpanan barang
  • Kipas, pendingin hawa, atau pemanas (di negara iklim sejuk)
  • Mesin basuh atau perkhidmatan dobi
  • Dapur dan ruang makan
ruang makan di hostel
Sumber Foto: Oh Barcelona / Wikimedia Commons
  • Restoran / kafe 
  • Sarapan atau kopi / teh percuma
  • Tuala dan cadar
  • Ruang santai
  • Kolam renang
  • Kereta / motosikal / basikal untuk disewa
  • Tempat letak kereta percuma
  • WiFi percuma
  • Perkhidmatan menjemput dan menghantar ke lapangan terbang
  • Aktiviti dan pakej lawatan berkumpulan ke tempat-tempat menarik

Barang-barang Yang Perlu Dibawa

Barang-barang yang perlu dibawa untuk percutian bajet agak berbeza dengan percutian bertaraf lima bintang. Contohnya, di hostel murah, anda tidak akan disediakan dengan barang-barang mandian, losyen, kit berus gigi percuma, dan sebagainya.

Jadi, untuk mengelakkan daripada terpaksa membeli barang-barang tersebut, eloklah dibawa dari rumah.

Berikut ialah barangan yang perlu dibawa bersama apabila ingin menginap di hostel:

  • Barang mandian – Termasuk berus gigi dan ubat gigi. Sesetengah hostel ada menyediakan barangan asas seperti syampu dan cecair mandian, tapi kebanyakannya tidak. Jadi bawa saja dari rumah dalam botol-botol kecil yang sesuai untuk travel.
  • Beg untuk barang mandian – Kalau boleh, guna yang kalis air dan mempunyai tangkai atau cangkuk supaya senang digantung di pintu atau dinding bilik mandi. Jika tiada, bawa beg plastik.
  • Tuala – Kebanyakan hostel tidak menyediakan tuala, dan ada juga yang mengenakan caj untuk setiap tuala yang disediakan. Jadi, lebih selamat membawanya sendiri dari rumah. Untuk menjimatkan ruang dan memudahkan anda, saya syorkan tuala khas untuk travel yang diperbuat daripada fiber mikro. Ia nipis, cepat kering, dan tidak memakan banyak ruang apabila dilipat.
  • Kain sarung – Sesetengah hostel tidak menyediakan selimut atau cadar. Jika anda tidak selesa tidur di atas tilam yang tidak berlapikkan cadar, bawa kain sarung / pareo. Kain ini mempunyai pelbagai fungsi. Ia juga boleh digunakan sebagai tuala, selendang, skirt, tudung, tikar berkelah, atau diikat menjadi beg.
  • Beg tidur – Penting sekiranya anda melancong ke negara sejuk dan ingin menginap di hostel murah yang tidak mempunyai sistem pemanasan.
  • Mangga (ibu kunci) – Boleh digunakan pada zip beg, loker hostel, atau pintu bilik, jika anda menginap di bilik persendirian. Walaupun sesetengah hostel ada menyediakannya, saya rasa lebih selamat jika menggunakan ibu kunci milik anda sendiri.
  • Money belt – Money belt ialah sejenis beg kecil untuk menyimpan duit yang dipakai di pinggang (di dalam baju supaya tidak kelihatan). Ada juga yang jenis gantung di leher. Money belt boleh dipakai ketika tidur atau ke bilik mandi sekiranya hostel tidak menyediakan loker. Juga boleh digunakan ketika bersiar-siar di luar untuk mengelakkan wang dicuri penyeluk saku.
  • Penyumbat telinga (earplugs) atau fon telinga pembatalan bunyi (noise-cancelling headphones) – Bila berkongsi bilik dengan ramai orang, bunyi bising adalah sesuatu yang tak dapat dielakkan, walaupun mungkin bunyi itu tidak disengajakan, seperti berdengkur dan sebagainya. Jika anda seorang yang mengalami masalah susah tidur atau senang terjaga, penyumbat telinga (earplugs) atau fon telinga pembatalan bunyi (noise-canceling earphones) boleh membantu.
  • Penutup mata – Hostel biasanya mengenakan peraturan tutup lampu pada waktu malam, tetapi sekiranya anda ingin tidur awal atau bangun lewat, bawalah penutup mata untuk keselesaan anda. Ia juga boleh digunakan untuk tidur di dalam bas, tren, atau pesawat.
  • Selipar jepun – Saya biasanya akan memakai kasut sukan / hiking ketika bercuti, tapi saya juga akan membawa sepasang selipar jepun untuk kegunaan bilik mandi atau untuk pergi ke pantai.

Adakah Hostel Selamat Untuk Wanita?

Isu keselamatan dan jenayah seksual memang perkara yang selalu dibimbangkan, terutama bagi wanita yang mengembara bersendirian.

Sejak kecil, kita sering diajar supaya tidak mempercayai orang yang tak dikenali, inikan pula hendak tidur sebilik. Tak hairanlah jika anda berfikir dua kali untuk menginap di hostel.

Namun, secara peribadi, saya rasa lebih selamat berkongsi bilik dengan ramai orang berbanding duduk bersendirian di dalam bilik hotel atau apartmen. Cuba anda fikirkan, tak mungkin kesemua orang yang berada dalam bilik itu adalah penjenayah.

Jika ada pun seorang yang berniat jahat, sudah tentu dia pun teragak-agak untuk membuat perkara tidak elok dengan adanya orang ramai di sekeliling. Kehadiran orang ramai juga memudahkan anda untuk meminta pertolongan sekiranya merasa tidak selamat.

Walau apa pun, tidak salah jika kita mengambil langkah berjaga-jaga. Berikut adalah langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil semasa menginap di hostel:

  • Cari lokasi yang selamat – Seperti yang telah dibincangkan di atas, apabila memilih hostel, pastikan anda selidik lokasinya terlebih dahulu. Baca reviu dan Google kawasan mana yang anda perlu elakkan di destinasi tersebut. Contohnya, di ibu kota kita sendiri ada kawasan yang kurang selamat untuk dikunjungi bersendirian pada waktu malam.
  • Berkenalan dengan rakan sebilik yang anda rasa boleh dipercayai – Kemudian, anda boleh saling melindungi antara satu sama lain. Lebih ramai kenalan, lebih senang untuk anda meminta pertolongan sekiranya apa-apa berlaku.
  • Belajar untuk mengatakan tidak – Di hostel, sudah menjadi kebiasaan untuk mengajak kenalan baru keluar bersama untuk makan, bersiar-siar, dan sebagainya. Kadang-kadang mungkin anda berasa seolah-olah terpaksa menerima pelawaan mereka kerana tidak mahu menyinggung perasaan. Belajar katakan tidak jika anda berasa tidak selesa.
katakan tidak
Sumber Foto: GGAADD / Wikimedia Commons
  • Pilih bilik untuk wanita sahaja – Jika anda berasa kurang selesa berkongsi bilik dengan berlainan jantina, cuba cari hostel yang mempunyai bilik untuk wanita sahaja. Tak semua hostel menawarkan bilik sebegini, dan biasanya ia lebih mahal sedikit berbanding bilik biasa.
  • Jangan bawa barang berharga – Sama ada anda tinggal di hostel atau hotel mahal, pada pendapat saya waktu travel ialah waktu yang kurang sesuai untuk bergaya dengan pakaian berjenama atau aksesori-aksesori berharga. Dan jika anda menginap di hostel, kalau boleh, elakkan membawa gajet-gajet mahal seperti komputer riba, kamera DSLR, dron, dan sebagainya.
  • Jangan takut untuk bertindak – Jika anda berasa tidak selamat, jangan takut untuk melaporkannya kepada pihak hostel. Minta untuk dipindahkan ke bilik lain, atau jika tiada pilihan, pindah saja ke tempat penginapan lain, walaupun bayaran hostel anda mungkin tidak akan dikembalikan. Dalam apa jua situasi, keselamatan harus didahulukan.

Bagaimana Jika Anda Seorang Introvert?

Antara kelebihan menginap di hostel ialah dapat berjumpa dengan ramai kenalan baru. Tetapi bagi seorang introvert, mungkin pengalaman ini agak menakutkan.

Jika anda mempunyai fobia sosial seperti saya, iaitu perasaan takut untuk berhadapan atau bergaul dengan orang ramai, ini sedikit tip yang boleh saya kongsikan.

Apabila anda bertemu dengan rakan sebilik yang baru, senyum dan ucapkan ‘hai’. Itu saja. Lakukannya seawal mungkin, kerana lebih lama anda menunggu, perasaan takut itu akan bertambah dan keadaan akan menjadi lebih janggal.

Mana tahu, mungkin mereka juga berasa gementar seperti anda.

woman sitting alone with coffee
Sumber Foto: Cynthia Magana / Wikimedia Commons

Jika anda mahu bersendirian atau tidak mahu berbual, pakai fon telinga atau baca buku. Biasanya, penginap-penginap hostel pandai menghormati antara satu sama lain dan tidak akan mengganggu anda jika anda kelihatan tidak mahu diganggu.

Adakah Hostel Sesuai Untuk Orang Yang Lebih Berusia?

Tidak dinafikan, kebanyakan penginap hostel adalah terdiri daripada golongan muda yang berumur bawah 30-an. Tetapi itu tidak bermakna ia tidak sesuai untuk orang yang lebih berusia.

Saya sendiri sudah beberapa kali menjumpai pelancong-pelancong yang berusia lebih 50 yang menginap di hostel.

Sekiranya anda tidak suka dengan suasana bising, jangan pilih hostel yang bersifat sosial, contohnya yang mempunyai pub sendiri ataupun sering menganjurkan aktiviti-aktiviti berkumpulan.

Walaupun anda mungkin tidak akan menemui ramai rakan yang sebaya dengan anda, tidak ada salahnya berkenalan dengan orang yang tidak seusia dengan kita. Meskipun lebih muda, mungkin mereka telah banyak mengembara, dan lebih berpengalaman daripada kita.

Etika Dengan Rakan Sebilik

Jika anda tidak pernah tinggal di asrama atau berkongsi bilik dengan sesiapa, menginap di hostel mungkin menjadi satu kejutan budaya untuk anda.

Hostel akan menemukan anda dengan bermacam ragam manusia yang terdiri daripada pelbagai warganegara, bangsa, agama, dan gaya hidup. Tidak semua di antara mereka akan sependapat dengan anda dalam semua perkara.

Ada yang kurang mementingkan kebersihan, misalnya. Atau mungkin ada yang kurang faham tentang konsep privasi dan ruang peribadi (personal space).

Terimalah dengan minda yang terbuka dan anggaplah ia sebagai satu cabaran untuk melatih diri supaya lebih bersabar dan bertolak ansur.

Namun, jika anda benar-benar tidak selesa, suarakan pendapat anda dengan sopan. Andainya masalah masih tidak selesai, berbincanglah dengan pihak hostel atau minta dipindahkan ke bilik lain.

Dalam masa yang sama, anda juga harus menjaga etika anda seperti berikut:

  • Jangan ambil apa-apa yang bukan milik anda. Mungkin anda tidak pasti sama ada syampu yang berada di bilik mandi itu disediakan oleh pihak hostel atau kepunyaan salah seorang penginap di situ. Jika tidak pasti, tanya dahulu sebelum guna. Begitu juga dengan barang-barang dalam peti ais.
  • Fikirkan kepentingan orang lain. Kemudahan yang disediakan di hostel adalah untuk dikongsi bersama. Jika sesuatu dibekalkan dalam kuantiti yang terhad, contohnya soket elektrik, pastikan anda tidak menggunakannya sepanjang masa. Beri peluang kepada orang lain juga.
  • Elakkan membuat bising. Sekiranya mahu mendengar muzik atau menonton video, pakai fon telinga. Perlahankan bunyi notifikasi telefon anda, dan keluar dari bilik apabila ingin membuat panggilan telefon.
  • Jangan kemas beg sewaktu orang sedang tidur. Jika anda perlu daftar keluar pada awal pagi atau lewat malam, pastikan beg anda sudah siap dikemas. Jangan kemas barang-barang anda ketika orang lain sedang tidur kerana ia akan menghasilkan bunyi bising, terutamanya jika anda menggunakan beg plastik. 
  • Jangan pasang lampu jika anda pulang lewat malam atau bangun awal pagi ketika orang lain sedang tidur. Sebaliknya, gunakan lampu suluh pada telefon anda.
  • Jangan sepahkan bilik. Pastikan barang-barang anda berada di atas katil anda sendiri, di bawah katil, atau di dalam loker. Jangan letak di atas lantai tempat orang lalu-lalang. Jika anda mendapat katil bawah, jangan letak apa-apa pada tangga katil.
tips menginap di hostel
Sumber Foto: Guillaume Speurt / Wikimedia Commons
  • Jaga kebersihan di dalam bilik, di ruang santai, di bilik mandi, dan di mana jua anda berada.
  • Patuhi peraturan hostel. Biasanya, peraturan-peraturan hostel akan diterangkan semasa daftar masuk. Contohnya, ada hostel yang tidak membenarkan memakai kasut, makan, dan minum di dalam bilik.

Akhir Kata

Memandangkan percutian bajet dan kembara solo sudah semakin mendapat tempat di hati masyarakat, penginapan jenis hostel juga telah menjadi semakin popular.

Namun, bagi yang pertama kali ingin mencubanya, mungkin akan berasa risau dan gementar. Saya sendiri sebagai seorang yang introvert dan mempunyai fobia sosial, pada mulanya agak kekok.

Tetapi kini, jika diberi pilihan antara hotel mahal dengan hostel, saya lebih cenderung memilih hostel, kerana ia bukan sahaja murah, malah dapat melatih diri saya untuk keluar dari ‘zon selesa’, di samping mengasah kemahiran bergaul dengan masyarakat dari pelbagai latar belakang.

Percutian saya terasa lebih bermakna apabila dapat menambah kenalan dari serata dunia.

renting a scooter in bagan myanmar | Ummi Goes Where?
Bersama rakan-rakan sebilik di Bagan, Myanmar. 2014.

 

Pernahkah anda menginap di hostel semasa travel? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen di bawah.

Lihat semua artikel dalam Bahasa Melayu

Posted in BM

Related Posts

3 Comments

  1. Pingback:How to Survive Your First Time in a Hostel – Ummi Goes Where?

  2. Pingback:Tip Kembara Solo Untuk Golongan Introvert – Ummi Goes Where?

  3. Pingback:30+ Tip Keselamatan Untuk Pengembara Solo Wanita – Ummi Goes Where?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Verified by MonsterInsights