Menu Close
Kemahiran yang perlu ada pada setiap solo traveler

Bahasa MalaysiaΒ | English

Kemahiran Yang Perlu Ada Pada Setiap Pengembara Solo

Adakah anda ingin menjadi seorang pengembara solo? Mungkin anda tertanya-tanya apa kemahiran yang perlu ada untuk menjadi seorang pengembara yang ‘pro’.

Di sini saya senaraikan beberapa skil penting yang boleh membantu anda dalam ekspedisi kendiri anda nanti.

Mudah-mudahan kita tidak akan pernah mengalami situasi yang mengancam keselamatan, tetapi tidak rugi untuk kita melengkapkan diri dengan kemahiran ini. Bak kata orang, lebih baik beringat sebelum kena.

Terdapat banyak jenis seni mempertahankan diri yang boleh anda pelajari, antaranya silat, Taekwondo, karate, Jiu-Jitsu, dan muay thai. Tak perlulah belajar sampai ke tali pinggang hitam, cukup sekadar asas untuk menyelamatkan diri dalam situasi-situasi tertentu.

Selain itu, seni mempertahankan diri juga akan melatih anda berfikir dan bertindak cepat dalam apa jua keadaan di samping meningkatkan keyakinan diri.

2. Ilmu Kelangsungan Hidup

Sekiranya anda ingin pergi mendaki gunung atau masuk ke hutan, sama ada balik hari atau bermalam, ilmu kelangsungan hidup (survival) adalah sesuatu yang wajib anda ketahui.

Selain belajar memasang khemah, anda juga harus mengetahui cara-cara membaca kompas, menghidupkan api, mencari sumber air dan makanan, serta cara ikatan dan simpulan tali.Β 

Jika anda pernah menyertai pasukan pengakap ataupun dibesarkan dalam keluarga yang gemarkan aktiviti outdoor, mungkin anda telah belajar skil-skil ini sejak kecil lagi.

Jika tidak, carilah kelas ilmu kelangsungan hidup yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan hiking berdekatan anda.

A group of people learning how to start a fire | Ummi Goes Where?
Bengkel asas kelangsungan hidup yang saya ikuti di Selangor.

3. Asas Pertolongan Cemas

Ilmu pertolongan cemas adalah sangat penting, bukan saja untuk petugas-petugas perubatan, tetapi juga untuk orang biasa.

Kemalangan boleh berlaku di mana saja, pada bila-bila masa, dan kepada sesiapa pun. Kalau bukan anda, mungkin kepada orang di sekeliling anda.

Sewaktu mengembara bersendirian, ilmu ini tersangatlah penting meskipun anda tidak merancang untuk melakukan sebarang aktiviti berisiko tinggi. Contohnya, adakah anda tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya tercekik sewaktu berseorangan di dalam bilik hotel?Β 

Biasanya, ilmu asas pertolongan cemas ini ada diajar di tempat kerja. Jika anda belum pernah mempelajarinya, carilah sendiri kelas-kelas pertolongan cemas di luar sana. Malah, ada yang ditawarkan secara percuma.

4. Berenang

Apabila bercuti di pantai, tentunya aktiviti anda menjadi terbatas sekiranya tidak pandai berenang. Anda tidak dapat melakukan aktiviti snorkeling, sukan skuba, luncur air, berkayak, dan pelbagai lagi sukan air yang lain.

Walaupun dengan memakai jaket keselamatan, tanpa kemahiran berenang, anda mungkin cepat panik dan sentiasa dihantui rasa bimbang akan risiko lemas.

Di luar negara dan di sesetengah sekolah di Malaysia, kemahiran berenang adalah sebahagian daripada sukatan pelajaran pendidikan jasmani. Malangnya, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang tidak mempunyai peluang sedemikian.

Saya sendiri hanya berpeluang untuk belajar berenang pada usia 26 tahun. Kalau boleh, cubalah belajar daripada guru yang bertauliah. Pengetahuan ini mungkin mampu menyelamatkan nyawa anda atau orang lain suatu hari nanti.

Girl with snorkeling gear | Ummi Goes Where?
Saya sewaktu kali pertama snorkeling di laut dalam tanpa memakai jaket keselamatan.

5. Menunggang Skuter / Motosikal

Tidak semua tempat mempunyai pengangkutan awam yang komprehensif. Kadang-kadang, anda tiada pilihan lain selain menyewa kenderaan sendiri, sama ada kereta atau motosikal, untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.Β 

Di kebanyakan negara di Asia, motosikal dan skuter ialah mod pengangkutan yang paling mudah dan murah. Jika anda mengembara secara solo, kemahiran menunggang motosikal adalah sangat berguna untuk menjimatkan wang kerana kos untuk menyewa motosikal sudah tentulah jauh lebih murah daripada menyewa kereta.

Riding a scooter when traveling
Kelas belajar skuter di Bali, Indonesia.

6. Membaca Peta

Pada zaman yang serba canggih ini, mungkin ramai yang berpendapat kita tidak perlu lagi menggunakan peta kertas. Peta elektronik, sistem GPS, dan aplikasi navigasi, semuanya sudah siap tersedia dalam telefon pintar masing-masing.

Namun, apakah yang akan terjadi sekiranya anda kehilangan telefon atau telefon anda kehabisan bateri, atau kawasan di mana anda berada itu tidak mempunyai liputan internet / signal GPS?

Semasa mengembara solo di Eropah, saya telah kehilangan telefon bimbit, dan ketika itu, barulah saya sedar bahawa kemahiran membaca peta konvensional masih lagi berguna pada zaman sekarang. Jadi, jangan lupakan skil yang anda pelajari dalam subjek Geografi dulu!

paper maps
Sumber: stevepb / Wikimedia Commons

7. Mengira Mata Wang Asing

Setiap kali melancong ke luar negara, tidak dapat tidak, anda perlu belajar menggunakan mata wang asing.

Sebelum berangkat ke destinasi, wang yang hendak dibawa perlu ditukar terlebih dahulu. Dan untuk tujuan itu, anda haruslah pandai mencari pusat tukaran mata wang dengan kadar yang terbaik.

Setelah sampai pula, anda harus cekap mencongak pengiraan mata wang asing itu di dalam minda. Tidaklah nanti anda terpinga-pinga sehingga perlu mengeluarkan kalkulator.

Kemahiran ini sangat penting supaya tidak mudah ditipu ketika membeli sesuatu atau menukar wang di negara tersebut. Kalau berurusan dengan dolar atau euro, mungkin tidak begitu mengelirukan kerana jumlahnya kecil. Tetapi kalau di negara-negara seperti Indonesia dan Vietnam, sekeping wang kertas mereka boleh bernilai sehingga 6 digit!

Foreign currency
Sumber: epSos.de / Wikimedia Commons

8. Tawar-Menawar

Masih banyak tempat di dunia ini yang masih mempraktikkan sistem tawar-menawar dalam proses jual beli.Β 

Di negara kita sendiri, tawar-menawar merupakan perkara biasa, terutama di pasar dan kedai-kedai kecil. Begitu juga di negara-negara lain di Asia Tenggara, misalnya. Jangan tertipu dengan nilai yang terpampang pada tanda harga kerana ia mungkin dua kali ganda lebih mahal daripada harga sebenar barangan tersebut.

Sejujurnya, saya sendiri kurang mahir bab ini. Jadi, saya lebih gemar membeli-belah di kedai yang mengenakan harga tetap. Jika anda seperti saya, cubalah berlatih di pasar-pasar berhampiran anda.

Kemahiran ini bukan saja dapat membantu ketika mahu membeli barang, tapi juga ketika ingin menaiki teksi tidak bermeter atau apa-apa perkhidmatan berbayar yang lain.

shopping in kathmandu, nepal | Ummi Goes Where?
Kathmandu, Nepal.

9. Mempelajari Bahasa Asing

Untung mengembara ke luar negara, kemahiran bertutur dalam Bahasa Inggeris adalah sangat mustahak kerana ia akan memudahkan anda berkomunikasi hampir di semua negara di dunia.

Walaupun di negara-negara yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda, kebanyakan individu yang kerap berurusan dengan pelancong pasti boleh berkomunikasi sedikit sebanyak dalam lingua franca tersebut. Ini termasuklah pekerja hotel, lapangan terbang, restoran, dan pengangkutan awam. Jadi, anda tidak perlu bimbang.

Walau bagaimanapun, jika anda mengembara ke tempat-tempat terpencil yang tidak ramai pelancong, anda pasti akan menemui penduduk tempatan yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris.

Oleh itu, adalah lebih elok sekiranya anda mempelajari juga beberapa perkataan asas dalam bahasa ibunda negara tersebut, seperti ‘hello’, ‘ya’, ‘tidak’, ‘terima kasih’, dan sebagainya.

Β 

10. Etika Makan

Apabila berada di perantauan, kita haruslah menghormati budaya di sana, termasuklah etika semasa berada di meja makan, lebih-lebih lagi jika kita dijemput makan di rumah orang.

Adab makan di negara orang kadang-kadang jauh berbeza dengan budaya kita. Contohnya, di China, sendawa bermaksud anda benar-benar menikmati makanan tersebut. Di China juga, menghabiskan semua makanan yang ada di dalam pinggan adalah dianggap biadab kerana seolah-olah mengatakan tuan rumah tidak menghidangkan secukupnya.

Oleh itu, sebelum berkunjung ke mana-mana negara, eloklah pelajari dulu tentang budaya di tempat tersebut melalui pembacaan.

Jika anda kurang mahir menggunakan penyepit (chopsticks) atau pisau dan garfu, berlatihlah di rumah. Kemahiran menggunakan penyepit ini sebenarnya sangat berguna apabila bercuti ke negara-negara Asia Tenggara dan Asia Timur kerana kebanyakan warung dan gerai-gerai kecil di tepi jalan tidak menyediakan garfu.

Me eating with chopsticks | Ummi Goes Where?
Makan menggunakan penyepit di sebuah gerai di Bangkok.

11. Penggunaan Tandas

Ketika saya pertama kali ke luar negara, agak kekok juga memasuki tandas yang tidak mempunyai paip air. Rasa sangat tidak bersih apabila hanya menggunakan tisu tandas. Sehinggakan saya akan membawa botol ke mana-mana, untuk kegunaan tandas.

Di Jepun dan Korea, lain pula masalahnya. Tandas di sana terlalu canggih dan mempunyai banyak butang yang mewakili pelbagai fungsi.

Di Afrika, India, dan sesetengah negara di Eropah juga berbeza jenis tandasnya. Pengetahuan tentang cara penggunaan tandas-tandas ini penting agar percutian anda lebih selesa.

Baca juga: 9 Jenis Tandas di Seluruh Dunia dan Cara Menggunakannya

Bagi yang lebih suka menggunakan tandas cangkung pula, pastikan anda tidak mencangkung di atas tandas duduk dan meninggalkan kesan tapak kasut di permukaan tandas.

Ingat, apabila berada di luar negara, jagalah nama baik negara sendiri dan jangan amalkan tabiat buruk yang menyusahkan orang lain.Β 

Do not squat on toilet bowl sign | Ummi Goes Where?
Jangan mencangkung di atas tandas duduk.

12. Kemahiran Sosial

Semasa kanak-kanak, kita sering diberi amaran agar jangan mempercayai orang yang tidak dikenali. Dan perasaan prasangka ini mungkin terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Sukar untuk kita membezakan siapa yang boleh dipercayai dan siapa yang tidak.

Tetapi apabila mengembara secara solo, mustahil kita dapat lari daripada berinteraksi dengan orang yang tak dikenali, sama ada di tempat penginapan, semasa dalam perjalanan, semasa bersiar-siar, dan lain-lain.

Walaupun saya seorang yang mempunyai fobia sosial, iaitu takut untuk bergaul dengan orang ramai, saya tetap cuba untuk berkenalan dan berinteraksi dengan pelancong-pelancong lain dan orang-orang tempatan yang saya temui sepanjang pengembaraan saya.

Sehingga kini, saya mungkin sudah mempunyai puluhan rakan di seluruh dunia, yang mana sesetengahnya masih lagi berhubung dengan saya melalui media sosial.

Caminho Portugues
Bersama kenalan-kenalan baru di Portugal.

Akhir Kata

Kemahiran-kemahiran yang saya senaraikan di sini semestinya dapat membantu menjadikan ekspedisi anda lebih mudah, selamat, dan menyeronokkan.

Namun, sekiranya anda belum menguasai kesemuanya, ia tak bermakna anda tidak layak untuk menjadi seorang pengembara solo. Bahkan, saya sendiri yang sudah menjelajah ke hampir 50 negara ini pun masih lagi belajar.

Yang penting, kita harus sentiasa menimba pengetahuan dan memperbaiki diri walau di mana jua kita berada.

Selamat mengembara!

Kemahiran manakah yang sudah anda kuasai? Dan yang manakah yang ingin anda pelajari? Kongsikan di ruangan komen di bawah.

Lihat semua artikel dalam Bahasa Melayu

Posted in BM

Related Posts

3 Comments

  1. Pingback:12 Essential Skills Every Traveler Should Have – Ummi Goes Where?

  2. Pingback:10 Sebab Kenapa Anda Perlu Travel Solo – Ummi Goes Where?

  3. Pingback:30+ Tip Keselamatan Untuk Pengembara Solo Wanita – Ummi Goes Where?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Verified by MonsterInsights