Bahasa Malaysia | English
Panduan Travel Solo Khas Buat Introvert
Table of Contents
Apa Itu Introvert?
Saya seorang yang boleh dikategorikan sebagai introvert.
Bagi yang kurang jelas dengan maksudnya, introvert merujuk kepada individu yang lebih sukakan suasana yang senyap, damai, dan tidak dikerumuni ramai orang. Oleh itu, golongan introvert selalunya lebih gemar bersendirian.
Berbeza dengan kebanyakan orang yang akan berasa bosan apabila keseorangan, seseorang yang bersifat introvert lebih berasa bosan dan rimas apabila dikelilingi orang lain.
Menurut kajian, hampir 40% populasi dunia adalah terdiri daripada golongan introvert, manakala yang selebihnya ialah ekstrovert (yang berlawanan sifat dengan introvert) dan ambivert (yang berada di tengah-tengah).
Walaupun sering dianggap sombong atau anti-sosial, sebenarnya sifat introvert ini bukanlah sesuatu yang negatif. Malah, ramai personaliti terkemuka yang menggolongkan diri mereka sebagai introvert, seperti Albert Enstein, Barack Obama, Emma Watson, Michael Jordan, Bill Gates, dan ramai lagi.
Tip Kembara Solo Sebagai Seorang Introvert
Selain bersifat introvert, saya juga mengalami masalah fobia sosial. Maksudnya, saya sering berasa takut untuk bergaul atau berhadapan dengan orang ramai (tidak semua introvert mengalami masalah ini).
Apabila bercuti secara berkumpulan, ia bukannya sesuatu yang menyeronokkan bagi saya, tetapi lebih menambahkan stres.
Terutamanya jika mengikuti ‘road trip‘ bersama rakan-rakan. Berada di dalam ruangan yang sempit (di dalam kereta) bersama orang lain membuatkan saya berasa rimas, gelisah, dan sangat tidak selesa, lebih-lebih lagi jika dipaksa berbual.
Jadi, sewaktu saya mula-mula mengenali apa itu ‘kembara solo‘, saya merasakan seolah-olah diri saya baru bebas merdeka. Akhirnya…! Saya boleh bercuti dengan tenang tanpa gangguan orang lain.
Jika anda seorang yang introvert atau mempunyai fobia sosial seperti saya, mungkin anda kurang yakin dengan kemampuan diri sendiri untuk mengembara solo. Mungkin anda tertanya-tanya, “Bukankah travel solo itu lebih sesuai untuk orang yang berani bergaul dengan orang ramai?”
Ini nasihat saya:
1. Jadi Diri Anda Sendiri
Ya! Jangan segan untuk menjadi diri anda sendiri.
Di sekolah, kita mungkin selalu dipaksa untuk tampil ke hadapan atau mengambil bahagian dalam aktiviti berkumpulan. Begitu juga dalam kerjaya — sifat pemalu atau pendiam itu sering dianggap negatif, sehinggakan golongan introvert terpaksa berpura-pura menjadi seorang yang lebih peramah dan pandai bersosial.
Namun, sejak kebelakangan ini, masyarakat telah mempunyai lebih kesedaran bahawa sifat introvert bukanlah satu kelemahan. Buku-buku seperti “Quiet” oleh Susan Cain dan “Introvert Power” oleh Laurie Helgoe telah banyak membuka mata orang ramai bahawa golongan introvert juga mempunyai kelebihan tersendiri.
Contohnya, dalam era pandemik sekarang ini, individu yang bersifat introvert lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu, sementara golongan ekstrovert pula lebih cenderung mengalami kemurungan kerana tidak dapat berjumpa dengan rakan-rakan.
Kembara solo adalah sangat sesuai untuk orang yang bersifat introvert seperti anda. Yang pertama, anda tidak akan dipaksa berbual dengan sesiapa. Anda tidak perlu runsing memikirkan sama ada orang lain berasa bosan dengan sifat anda yang pendiam.
Yang kedua, anda tidak akan menghadapi masalah ‘kesunyian’ atau ‘kebosanan’ semasa kembara solo. Antara perkara yang menjadi kegusaran ramai orang yang ingin mengembara solo buat kali pertama ialah bimbang akan berasa sunyi kerana ketiadaan teman.
Bagi seorang introvert, waktu bersendirian tidak pernah menjadi masalah, malah sangat dialu-alukan!
2. Sesekali, Keluar Dari Kepompong
Walaupun anda bebas menjadi diri sendiri semasa kembara solo, kadang-kadang ada baiknya juga untuk keluar dari zon selesa. Apabila kita berjaya melakukan sesuatu yang selama ini kita anggap sukar, ia boleh meningkatkan keyakinan diri di samping menjadikan kita lebih dewasa.
Bagi saya, pengembaraan bukan sahaja bermaksud menjelajahi tempat baru, tetapi juga mencuba sesuatu yang baru. Ini termasuklah bergaul dengan orang ramai.
Walaupun takut, saya tetap cuba berinteraksi dengan orang lain semasa travel solo, baik dengan pelancong lain mahupun warga tempatan. Percutian saya terasa lebih bermakna apabila dapat mencari kenalan baru dari serata dunia.
Yang seronoknya tentang kembara solo, semua pilihan terletak di tangan anda. Anda boleh berinteraksi dengan orang ramai apabila anda benar-benar rasa bersedia. Dan setelah penat bersosial, anda boleh kembali bersendirian pada bila-bila masa yang anda suka.
Siapa tahu, anda mungkin akan bertemu dengan seseorang yang introvert seperti anda juga.
3. Mulakan Sedikit Demi Sedikit
Jika anda mempunyai fobia yang sangat teruk, mulakan sedikit demi sedikit. Tidak perlu memaksa diri untuk melakukan semuanya sekaligus.
Misalnya, anda tidak perlu terus menginap di hostel atau mengambil bahagian dalam pesta besar-besaran pada hari pertama percutian solo anda.
Sebaliknya, mulakan dengan bertegur sapa bersama petugas hotel, pelayan restoran, dan sebagainya. Mereka ini memang sudah dilatih untuk beramah mesra dengan pelanggan, maka anda tidak akan berasa janggal.
Apabila anda sudah mula berasa lebih yakin, bolehlah cuba berkenalan dengan pelancong-pelancong lain. Antara topik perbualan yang boleh anda mulakan ialah berkenaan negara asal mereka, apa yang menarik di tempat tersebut, dan apa rancangan mereka seterusnya.
4. Ingat, Mereka Tidak Mengenali Anda
Jika bersama orang yang dikenali, mungkin anda malu untuk ke hadapan kerana bimbang apa pendapat mereka. Tetapi apabila mengembara solo di perantauan, ingatlah bahawa tiada siapa yang mengenali diri anda, dan kemungkinan besar anda tidak akan menemui mereka lagi selepas ini.
Ini akan mengurangkan sedikit rasa gementar dan malu sekiranya anda tergagap, tersalah cakap, atau apa-apa saja yang anda rasa sangat memalukan.
5. Dapatkan Masa Bersendirian Secukupnya
Masa bersendirian atau ‘me’ time adalah sangat penting bagi seorang introvert, terutamanya selepas seharian bersama orang ramai. Seperti mana bateri yang perlu dicaj setelah digunakan seharian, kita juga perlu masa untuk ‘berehat’ daripada sebarang interaksi dengan orang sekeliling. Sekiranya masa rehat ini tidak mencukupi, ia boleh menambahkan tekanan dan mengganggu emosi.
Dengar kata hati sendiri – Sewaktu kembara solo, tiada paksaan untuk anda menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti luar setiap hari. Jika anda tiba-tiba hilang ‘mood‘ untuk keluar, anda bebas untuk menukar itinerari. Begitu juga jika anda sudah penat tinggal di hostel, anda boleh berpindah ke bilik yang lebih privasi pada bila-bila masa.
Bawa hobi anda bersama – Apakah aktiviti yang anda gemari di rumah? Jika anda suka membaca, bawalah bahan bacaan bersama.
Luahkan perasaan di dalam diari – Sekiranya perasaan fobia menguasai diri anda, menulis di dalam diari boleh dijadikan terapi untuk meredakan sedikit perasaan itu. Diari itu juga boleh dijadikan sebagai buku catatan perjalanan.
Cari tempat yang tenang – Luangkan masa melihat kehijauan alam. Jika anda berada di bandar besar, cari tempat yang senyap dan tenang seperti perpustakaan umum, taman, atau muzium.
Bawa cermin mata gelap dan fon telinga – Sekiranya anda sensitif dengan bunyi bising dan cahaya yang terang, pakai cermin mata gelap dan fon telinga. Ia juga dapat mengelakkan anda daripada diganggu orang lain.
6. Jangan Takut Untuk Bersuara
Walaupun di dunia ini masih ramai insan yang berperikemanusiaan, tetapi ada juga segelintir yang berniat jahat.
Kadang-kadang orang yang pendiam sering menjadi target untuk dibuli, diganggu, atau dikhianati, kerana pelaku itu tahu kita tidak akan membuat kecoh, apatah lagi menjerit meminta tolong.
Jika anda berada dalam situasi bahaya atau tidak selesa, jangan takut untuk bersuara. Buang rasa malu itu seketika dan dapatkan bantuan orang sekeliling.
Akhir Kata
Kembara solo adalah pilihan yang terbaik bagi individu introvert. Kita bukan saja dapat menikmati percutian dengan lebih tenang, malah kita juga bebas menjadi diri sendiri tanpa dipaksa melakukan sesuatu di luar kemahuan kita.
Jika anda masih berasa gusar, ingatlah, rasa takut itu normal. Keberanian bukan bermaksud kita langsung tidak mempunyai rasa takut. Sebaliknya, keberanian bermaksud kita tidak putus-putus berusaha untuk mengatasi rasa takut itu.
Selamat mengembara!
Adakah anda seorang yang introvert? Apakah cabaran paling sukar yang pernah anda hadapi sewaktu kembara solo? Kongsikan di ruangan komen di bawah.
Baca juga:
Semua artikel di dalam blog ini adalah hak cipta penulis. Ia tidak boleh diulang cetak dalam apa bentuk atau bagi apa tujuan sekalipun kecuali dengan kebenaran penulis. Penulis berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak jika berlaku pelanggaran hak ini.
Pingback:The Introvert’s Guide to Solo Travel – Ummi Goes Where?
Bagus. Lagi pun bukan senang orang nak keluarkan duit semata-mata travel. Drp susah2 set tarikh, better travel solo. senang. DPt ‘me time’ & relax
Betul tu. Sangat setuju 🙂