Menu Close
Tip Keselamatan Untuk Solo Traveler Perempuan | Ummi Goes Where?

Tips Keselamatan Untuk Wanita Yang Travel Sendirian

Kita semua sedia maklum bahawa dunia ini tidak selalunya selamat, terutamanya untuk wanita yang bersendirian. Namun, itu tidak bermaksud kita harus mengurung diri di rumah dan tidak keluar ke mana-mana.

Tip-tip yang akan saya kongsikan kali ini mungkin sebahagiannya sudah anda praktikkan dalam kehidupan seharian. Tetapi apabila mengembara ke luar negara, tentunya ada beberapa perkara lain yang perlu diambil kira.

Berikut adalah langkah-langkah keselamatan yang perlu anda tahu sebagai wanita yang ingin mengembara solo:

Antara kelebihan travel solo ialah anda bebas memilih destinasi mengikut citarasa sendiri tanpa perlu mendapatkan persetujuan sesiapa. Namun begitu, pemilihan destinasi solo pertama haruslah bijak.

Jika anda masih baru, saya sarankan memilih destinasi yang ‘mudah’ terlebih dahulu. Maksud ‘mudah’ di sini ialah destinasi yang mempunyai infrastruktur pelancongan dan pengangkutan awam yang baik, serta tahap kebersihan dan keselamatan yang tinggi. 

Negara-negara seperti India dan Afrika Selatan yang terkenal dengan jenayah keganasan terhadap wanita eloklah dielakkan dahulu, sehingga anda lebih yakin dan berpengalaman.

Baca juga: Tip Memilih Destinasi Solo Pertama

2. Buat Kajian Secukupnya

Sebelum melancong ke mana-mana destinasi, pastikan anda membuat kajian secukupnya. Baca travel guide dan ulasan blogger-blogger tentang tempat tersebut, khasnya blogger wanita. Tanya soalan di forum-forum online dan komuniti travel di laman sosial seperti Facebook.

Dapatkan info tentang cuaca, etika pemakaian, kawasan-kawasan yang perlu dielakkan, dan jenis jenayah / penipuan yang lazim berlaku di destinasi tersebut.

Sebelum menempah tempat penginapan, sama ada hotel, hostel, atau Airbnb, jangan lupa baca semua reviu, terutama reviu skor rendah. Elakkan menempah penginapan yang tidak mempunyai sebarang reviu.

Baca juga: Panduan Menginap di Hostel Semasa Travel Solo

3. Buat Tempahan Awal

Sewaktu saya mula-mula mengembara solo pada tahun 2010/11, saya sering mengamalkan kaedah ‘redah sahaja’, iaitu pergi ke destinasi tanpa sebarang tempahan hotel.

Kenapa?

Sebab yang pertama, saya belum tahu tentang aplikasi Booking.com. Yang kedua, saya mahu melihat sendiri hotel sebelum membuat pilihan. Dan yang ketiga (alasan yang paling bodoh), kerana saya merasakan cara ini lebih ‘adventure‘.

Saya nasihatkan anda jangan buat begitu. Ini untuk mengelakkan anda kelam-kabut atau terpaksa bermalam di tepi jalan jika semua hotel penuh.

Jika percutian anda panjang dan anda tidak mahu rasa terikat dengan tempahan awal, setidak-tidaknya tempahlah untuk satu malam dahulu. Kemudian, untuk malam-malam berikutnya, anda boleh uruskan setelah sampai di destinasi.

Jika hotel anda ada menyediakan perkhidmatan menjemput dari lapangan terbang, eloklah anda menempahnya juga.

4. Maklumkan Pada Keluarga

Meskipun anda mungkin bukan seorang yang suka menghebahkan percutian anda kepada semua orang, jangan sesekali pergi ke mana-mana tanpa memberitahu sesiapa.

Pastikan anda memaklumkan kepada sekurang-kurangnya dua orang ahli keluarga atau kenalan rapat yang boleh dipercayai. Kongsikan semua maklumat perjalanan anda dengan mereka, termasuk maklumat penerbangan, maklumat dan nombor plet kereta pemandu, alamat penginapan, dan itinerari lengkap anda setiap hari.

Setiap hari juga, hantarkan update supaya mereka tahu anda selamat. Sekurang-kurangnya, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, mereka tahu lokasi terakhir anda dan siapa orang terakhir yang anda temui.

5. Dapatkan Kad SIM atau Servis Roaming

Sebaik saja sampai di destinasi, dapatkan kad SIM atau aktifkan servis roaming telefon anda. Bukan setakat untuk memuat naik gambar di Instagram saja, tapi juga untuk tujuan keselamatan.

Telefon dan internet boleh membantu anda menggunakan khidmat GPS untuk menunjuk arah, menterjemah perkataan dalam bahasa asing, berhubung dengan ahli keluarga, dan mendapatkan bantuan jika berlaku kecemasan.

Jangan terlalu bergantung pada WiFi percuma. Tidak semua tempat mempunyai WiFi. Selain itu, WiFi umum juga boleh mendedahkan data peribadi anda kepada penjenayah. Penggodam boleh mengakses maklumat perbankan anda jika anda membuat transaksi menggunakan WiFi umum.

Pastikan juga telefon anda mempunyai bateri yang mencukupi sepanjang masa. Jangan lupa bawa pengecas telefon dan power bank.

Baca juga: Hilang Telefon Semasa Travel Solo – Ini Pengajaran Yang Saya Terima

6. Berhubung Dengan Wanita Lain

Sebelum timbul salah faham, elok saya jelaskan dulu bahawa saya tidak menganggap semua lelaki jahat. Saya juga tidak mengatakan semua wanita boleh dipercayai.

Namun, saya faham jika rata-rata wanita lebih selesa berhubung atau meminta bantuan daripada mereka yang bersamaan jantina.

Oleh itu, jika ingin menginap di hostel, cuba dapatkan bilik untuk wanita sahaja. Kemudian, berbuat baiklah dengan rakan sebilik dan petugas hotel perempuan, supaya senang anda meminta bantuan atau saling melindungi antara satu sama lain.

Apabila menaiki pengangkutan awam, pilih koc wanita (jika ada) atau duduk di sebelah penumpang wanita lain. Begitu juga jika anda ingin bertanya arah dan sebagainya.

Sertai komuniti pengembara wanita di Facebook, antaranya The Solo Female Traveler Network dan Girls LOVE Travel.

Akaroa
Saya bersama dua pengembara wanita solo yang lain di New Zealand.

7. Peka Dengan Keadaan Sekeliling

Dalam era teknologi sekarang ini, kadang-kadang mata kita tidak lekang dari telefon sehingga kita alpa dengan keadaan persekitaran.

Namun, apabila mengembara seorang diri, kita harus sentiasa cakna dan berjaga-jaga. Perhatikan keadaan dan orang di sekeliling kita, baik yang jauh ataupun dekat. Adakah kita diekori atau diperhatikan seseorang?

Bila berjalan, biar bertentangan dengan arus lalu lintas dan elakkan memakai earphone semasa keluar bersendirian.

Bak kata orang, lebih baik beringat sebelum kena. Lebih baik dituduh paranoid daripada menjadi mangsa ragut, samun, dan sebagainya.

8. Jangan Terlalu Jujur

Apabila disapa oleh seseorang yang kelihatan baik dan peramah, kadangkala kita cenderung untuk menjawab dengan jujur. Lebih-lebih lagi jika kita jarang menipu. 

Tetapi apabila bercuti bersendirian, ada masanya menipu itu perlu. Jangan berikan jawapan sebenar jika ditanya anda menginap di mana, bercuti berapa lama, atau apa rancangan anda selepas ini.

Begitu juga apabila ditanya jika anda bersendirian. Jawab sahaja anda ingin bertemu seseorang atau suami anda sedang menunggu di hotel.

9. Pakai Cincin Palsu

Sewajarnya, semua wanita patut dihormati, sama ada sudah berkahwin atau tidak.

Tapi malangnya, kebanyakan lelaki bermata keranjang menganggap status bujang anda itu sebagai ‘lampu hijau’ untuk mereka terus-terusan mengganggu. Mereka cuma akan gentar apabila mengetahui bahawa anda adalah kepunyaan lelaki lain.

Oleh itu, untuk membuatkan orang lebih percaya yang anda sudah berkahwin, pakai cincin palsu (tidak perlu yang mahal, asalkan nampak seperti cincin kahwin). 

Shopee fake wedding ring
Dapatkan di Shopee!

10. Bawa Dompet Palsu

Sebagai langkah berjaga-jaga, anda juga boleh membawa dua dompet sewaktu kembara solo. Satu dompet anda yang sebenar dan satu lagi dompet murah yang diisikan sedikit wang dan kad-kad yang tak penting (boleh letakkan kad debit yang sudah tamat tempoh, misalnya).

Sekiranya anda berada dalam situasi bahaya di mana anda dipaksa untuk menyerahkan dompet, anda boleh menyerahkan dompet palsu ini.

11. Simpan Wang di Tempat Berasingan

Jangan simpan semua wang anda di dalam satu tempat yang sama. Contohnya, letakkan sebahagian wang di dalam beg duit, sebahagian lagi di dalam backpack, dan sebahagian yang lain di dalam peti keselamatan di hotel.

Ini supaya, jika anda hilang beg duit, anda tidak akan kehilangan semua wang anda. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan money belt, iaitu sejenis beg nipis yang boleh dipakai di dalam baju (di bahagian pinggang atau digantung di leher).

Money belt Shopee
Dapatkan di Shopee!
Neck pouch Shopee
Dapatkan di Shopee!

Kalau rajin, boleh juga jahit ‘poket rahsia’ pada beg, pakaian, atau pakaian dalam. Tapi jangan lupa kosongkan sebelum basuh!

12. Buat Baik Berpada-pada

Berbuat baik sesama manusia itu sememangnya amalan murni. Malah, sebagai tetamu di negara orang, memang sepatutnya kita berbuat baik dengan warga tempatan. Banyak pengetahuan yang boleh kita perolehi daripada mereka yang mungkin tidak terdapat dalam buku travel guide.

Namun, ada kalanya berbuat baik ini boleh memakan diri.

Di Eropah misalnya, anda mungkin akan menemui orang tempatan yang berpura-pura ingin bertanyakan sesuatu, meminta anda menandatangani petisyen, menghulurkan anda sekuntum bunga, atau memberi anda gelang tanda persahabatan. Rupa-rupanya mereka ingin menyeluk saku atau memaksa anda memberikan wang.

Oleh itu, sebelum ke mana-mana, cuba Google dulu “Common Scams in [masukkan destinasi anda di sini]” supaya anda lebih bersedia.

13. Buat Muka Serius

Sama seperti point di atas, ada kalanya kita tidak boleh terlalu baik atau peramah. Elakkan senyum sembarangan pada orang yang tak dikenali terutama lelaki.

Kalau di negara kita dan kebanyakan negara di Asia Tenggara, senyum itu sedekah. Tapi berbeza pula dalam sesetengah budaya yang lain. Apabila seorang wanita senyum pada lelaki yang tak dikenali, ia boleh disalahertikan sebagai tanda ‘mahu’.

14. Jangan Kongsikan di Media Sosial

Berkongsi di media sosial itu tidak salah, tetapi kalau boleh, hadkan penonton kepada ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat sahaja.

Jika akaun media sosial anda boleh dilihat umum, elakkan berkongsi live story atau memuat naik gambar serta-merta, terutamanya jika anda menggunakan tag lokasi.

Anda tidak tahu siapa yang melihat. Mungkin anda mempunyai pengikut fanatik yang berada di lokasi yang sama. Penjenayah seksual juga boleh membuat carian gambar berdasarkan tag lokasi. 

Sebaiknya, tunggu sehingga anda pulang sebelum memuatnaik gambar.

15. Jaga Pemakaian

Setiap budaya tentunya mempunyai adab dan tatacara sendiri, termasuklah soal pemakaian. Di sesetengah negara (bukan negara Islam sahaja), wanita perlu berpakaian labuh dan longgar serta menutup kepala.

Malah, ada beberapa negara di dunia ini yang begitu konservatif sehinggakan wanita tidak dibolehkan memakai seluar.

Sebagai pelancong, kita harus mematuhi etika berpakaian ini sebagai tanda hormat pada budaya mereka, di samping menghindar perkara-perkara yang tidak elok.

16. Jangan Kelihatan Seperti Pelancong

Pelancong sering dianggap berduit dan tidak tahu apa-apa, maka senang untuk ditipu atau disamun.

Oleh sebab itu, seboleh-bolehnya, cuba blend in dengan rakyat tempatan. Perhatikan pakaian kaum wanita di sana. Contohnya, di Indonesia saya suka mengenakan batik Jawa, dan di India pula saya akan memakai salwar kameez.

Jaisalmer Fort
Di Jaisalmer, India.

Jika rakyat di sana kebanyakannya orang susah, jangan berpakaian seperti orang berada.

Elakkan membawa bagasi atau backpack anda ke merata tempat. Sebaliknya, tinggalkan di hotel dan bawa beg kecil untuk bersiar-siar.

Walaupun anda sedang sesat, berjalanlah dengan yakin seperti anda sudah biasa di kawasan itu. Jangan terpinga-pinga mencari nama jalan atau membuka peta di depan orang ramai.

Jika perlu merujuk peta, masuk ke dalam kedai dan pastikan tiada orang yang memerhati.

17. Jangan Pamer Barang Berharga

Kembara solo bukanlah masanya untuk anda melaram dengan beg tangan, barang kemas, atau aksesori berjenama kerana ia akan menarik perhatian orang yang tak sepatutnya.

Kalau boleh, jangan bawa satu pun barang berharga. Tetapi jika anda perlu membawa kamera misalnya, pastikan anda tidak mempamerkannya di khalayak ramai. Keluarkan apabila perlu sahaja dan sewaktu keadaan betul-betul selamat. Jangan letakkan di atas meja sewaktu makan di restoran outdoor.

Sama juga seperti telefon bimbit. Elakkan penggunaan telefon untuk melihat peta atau bergambar berdekatan jalan raya atau tempat orang lalu-lalang, di mana ia dengan mudah boleh diragut.

18. Jangan Bawa Barang Yang Banyak

Ada banyak sebab mengapa anda tidak sepatutnya membawa bagasi besar atau barang yang banyak semasa travel. Boleh baca dengan lebih lanjut di sini.

Antaranya, bagasi besar akan menjadikan anda target mudah untuk penjenayah kerana:

  • Ia jelas-jelas menunjukkan kepada semua orang bahawa anda seorang pelancong.
  • Bila ada beg besar, persepsi orang akan mengatakan sudah tentu ada banyak barang berharga yang boleh dicuri dan dijual. Dan jika ada banyak barang, sudah tentu wang juga banyak.
  • Ia akan melambatkan pergerakan sekiranya anda perlu lari.

Oleh itu, semasa packing barang untuk kembara solo, bawa yang betul-betul perlu sahaja.

Packing light for budget travel
Beg yang saya bawa untuk percutian 2 minggu di Eropah dan Siberia.

Jika anda ingin mendaftar masuk bagasi di lapangan terbang, jangan letak barang-barang penting seperti beg duit, barangan elektronik, dan dokumen perjalanan di dalam bagasi. Sebaliknya, bawa bersama anda ke dalam kabin.

Apabila membawa beg galas di kawasan yang ramai orang, pastikan beg berada di depan, bukan di belakang.

19. Tukar Wang di Bank

Sesetengah destinasi memang sudah dikenali dengan sindiket penipuan pengurup wang (money changer). Pengurup-pengurup wang di sana sangat cekap menggunakan helah seperti silap mata untuk mengembalikan jumlah wang yang kurang daripada sepatutnya.

Untuk mengelakkan ditipu, lebih baik menukar wang di bank walaupun kadar yang dikenakan mungkin lebih tinggi sedikit.

Begitu juga jika ingin mengeluarkan wang di ATM. Sebaiknya gunakan ATM di dalam bank, bukannya di tepi-tepi jalan. Terdapat beberapa kes di Eropah di mana mesin ATM telah dipasangkan dengan papan kekunci palsu yang akan merekodkan nombor pin anda dan kemudian menelan kad.

20. Buat Salinan Pasport

Pasport adalah dokumen yang paling penting semasa berada di luar negara. 

Namun anda tidak perlu membawanya ke merata tempat. Tinggalkan di satu tempat yang selamat seperti di dalam bagasi yang berkunci atau peti keselamatan di hotel untuk mengelakkan risiko hilang. Semasa keluar melakukan aktiviti seharian, cukup sekadar membawa satu salinan fotostat.

Buat beberapa salinan untuk disimpan di tempat berasingan. Simpan juga di dalam Google Drive dan e-mel satu salinan kepada ahli keluarga atau sahabat terdekat.

21. Bawa Barang-barang Berikut

Walaupun senjata tajam dan penyembur lada (pepper spray) tidak dibenarkan di dalam pesawat, ada beberapa barang lain yang boleh dibawa untuk tujuan keselamatan:
  • Jika tinggal bersendirian di bilik hotel atau Airbnb, bawa penyendal pintu, atau gantung sesuatu pada tombol pintu yang boleh membuat bunyi bising dan menyedarkan anda dari tidur sekiranya pintu dibuka.
  • Mangga kunci untuk mengunci pintu loker atau pintu bilik sewaktu anda keluar. Bawa juga mangga kecil untuk bagasi.
  • Wisel untuk mendapatkan perhatian orang lain sekiranya berada dalam bahaya. Boleh juga digunakan semasa hiking atau berkhemah di dalam hutan.
  • Anda juga boleh menggunakan anak kunci, pen, atau apa-apa yang tajam sebagai senjata jika keadaan memerlukan.

22. Elakkan Keluar Sendirian Waktu Malam

Secara umumnya, jenayah lebih banyak berlaku pada waktu malam. Jadi, elakkan keluar bersendirian. Jika ingin keluar juga, jangan bawa wang yang banyak dan jangan lalu di tempat sunyi dan gelap. Seeloknya, ajaklah rakan sebilik (jika menginap di hostel) untuk keluar bersama.

Sekiranya melakukan aktiviti seperti hiking dan sebagainya, rancang masa anda dengan baik supaya sempat pulang ke hotel sebelum hari gelap.

Semasa menempah tiket penerbangan, pilih penerbangan waktu siang dan elakkan tiba di destinasi pada waktu malam. Jika tiada pilihan lain, pastikan anda menempah pengangkutan untuk menjemput anda di balai ketibaan nanti. 

Tidak semua lapangan terbang beroperasi 24 jam, jadi anda mungkin tidak boleh bermalam di sana.

  •  

23. Gunakan Pemandu Pelancong

Jika anda merasa kurang yakin untuk melawat sesuatu tempat bersendirian, dapatkan khidmat pemandu pelancong yang bertauliah.

Selain menjaga keselamatan anda, pemandu pelancong juga dapat menguruskan pengangkutan dan memberikan penerangan secara terperinci tentang tempat yang dilawati.

Sebagai alternatif, anda juga boleh menyertai lawatan secara berkumpulan yang biasa dianjurkan oleh pihak penginapan atau melalui aplikasi atas talian seperti Klook.

24. Gunakan E-Hailing

Jika dibandingkan dengan teksi, perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Uber kebiasaannya lebih murah dan selamat. Aplikasi e-hailing bukan sahaja mempunyai rekod pemandu dan pergerakan mereka, tetapi juga mempunyai butang kecemasan yang boleh digunakan penumpang sekiranya berada dalam bahaya.

Di samping itu, jumlah tambang yang perlu dibayar juga telah ditetapkan semasa membuat tempahan. Jadi, penumpang tidak perlu tawar-menawar dan tidak ada risiko ditipu.

Sebagai langkah keselamatan semasa menggunakan perkhidmatan e-hailing, kongsikan maklumat pemandu dan nombor pendaftaran kereta kepada ahli keluarga anda.

On a Grab Bike
Menggunakan perkhidmatan Grab Bike di Vietnam.

25. Berjimat Biar Bertempat

Jika anda seorang ‘budget traveler tegar’ seperti saya, saya pasti anda akan mencari pelbagai cara untuk menjimatkan wang semasa percutian.

Namun, hendak berjimat biarlah bertempat, jangan sampai membahayakan diri sendiri. Contohnya, meskipun anda lebih rela berjalan kaki daripada membayar tambang bas atau teksi, tetapi jika sudah kemalaman, lebih selamat menggunakan pengangkutan awam.

Begitu juga semasa memilih penginapan. Jangan abaikan keselamatan semata-mata untuk mendapatkan tempat penginapan yang paling murah.

26. Jujur Dengan Kemampuan Diri

Sekalipun anda mahu mencabar diri sendiri untuk mencuba sesuatu yang baru, anda harus bersikap realistik tentang kemampuan diri, terutama ketika berseorangan.

Misalnya, jika ingin melakukan aktiviti fizikal seperti berenang atau mendaki gunung, jangan memaksa diri untuk pergi lebih jauh sekiranya tidak mampu. Juga jangan lakukan bersendirian jika anda kurang berpengalaman.

27. Jaga Kesihatan

Kesihatan tidak boleh sekali-kali diabaikan sepanjang kembara solo. Pastikan anda mendapat rehat, makanan, dan air yang secukupnya. Cuaca dan iklim yang berbeza, ditambah pula dengan perubahan zon masa, boleh menyebabkan seseorang itu mudah jatuh sakit.

Bawa ubat-ubatan yang biasa anda ambil kerana ia mungkin sukar didapati di sana. Juga bawa ubat-ubat tambahan seperti pil tahan sakit, pil karbon (untuk keracunan makanan), pil cirit birit, dan pil mabuk perjalanan.

Shopee travel sickness pill
Dapatkan di Shopee!

28. Dapatkan Insurans Perjalanan

Walaupun sering dipandang remeh, insurans perjalanan adalah sesuatu yang wajib bagi sesiapa yang hendak ke luar negara, khususnya pengembara solo.

Sudah ada beberapa kes di mana pelancong Malaysia jatuh sakit di perantauan dan terpaksa meminta derma untuk menanggung kos perubatan yang mencecah puluhan ribu ringgit.

Meskipun anda tidak mempunyai sebarang penyakit, lebih baik sediakan payung sebelum hujan, kerana kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa saja.

Insurans perjalanan juga boleh membayar ganti rugi sekiranya berlaku kecurian, kerosakan kenderaan, pembatalan penerbangan, dan lain-lain.

29. Percaya Gerak Hati

Sebagai perempuan, anda tentu sudah dilatih dari kecil untuk menjaga diri dalam dunia yang didominasi lelaki.

Jadi, saya percaya anda sudah pandai menilai sesuatu keadaan itu sama ada selamat atau tidak, dan sama ada seseorang itu boleh dipercayai atau tidak. 

Gunakan naluri kewanitaan anda. Jika ada sesuatu yang dirasakan tidak kena, tinggalkan tempat itu secepat mungkin, dan minta bantuan jika perlu. Jika anda berasa tidak sedap hati dengan seseorang, lebih baik jangan berurusan dengannya.

30. Jangan Takut Untuk Bersuara

Apabila dipelawa melakukan sesuatu, anda mungkin serba salah untuk mengatakan tidak, kerana bimbang dianggap biadab.

Tetapi, jangan takut untuk bertegas sekiranya anda tidak mahu atau tidak selesa. Tegas tidak semestinya bermaksud kurang ajar.

Penjenayah suka mengambil kesempatan terhadap orang yang lemah. Jika anda seorang yang kelihatan pendiam atau pemalu, anda mungkin sering menjadi target untuk diganggu kerana orang itu tahu anda tidak akan membuat kecoh.

Jangan teragak-agak untuk membuat bising atau menjerit meminta pertolongan sekiranya anda merasakan diri dalam bahaya.

31. Belajar Seni Mempertahan-
kan Diri

Ilmu mempertahankan diri adalah sangat bermanfaat bagi wanita yang ingin mengembara solo. Anda tidak perlu belajar sehingga ke tali pinggang hitam. Cukup sekadar mengetahui cara-cara untuk melepaskan diri dari pelbagai situasi berbahaya.

Cari kelas-kelas mempertahankan diri yang berdekatan dengan anda. Kadang-kadang, ada yang menawarkan kursus pendek bagi mereka yang tiada masa untuk menyertai kelas mingguan.

Seni mempertahankan diri juga boleh melatih anda untuk menjadi lebih peka dengan keadaan sekeliling dan bertindak cepat dalam situasi yang mencemaskan.

Namun, sekiranya berhadapan dengan orang yang bersenjata, lebih baik anda serahkan harta benda dan wang ringgit daripada kehilangan nyawa.

Baca: 12 Kemahiran Yang Perlu Ada Pada Setiap Pengembara 

Akhir Kata

Ingatlah bahawa bahaya itu ada di mana-mana, termasuk di rumah anda sendiri. Jadi, jangan jadikan ia alasan untuk tidak keluar mengembara. Yang penting, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga dan cuba melakukan yang terbaik untuk mencegah dan mengatasi.

Semoga tip-tip yang saya kongsikan kali ini akan mendatangkan manfaat untuk anda semua.

Selamat mengembara!

Anda ada tip keselamatan lain yang boleh ditambah di sini? Kongsikan di ruangan komen di bawah.

Klik pautan ini untuk melihat semua artikel tentang kembara solo.

Semua artikel di dalam blog ini adalah hak cipta penulis. Ia tidak boleh diulang cetak dalam apa bentuk atau bagi apa tujuan sekalipun kecuali dengan kebenaran penulis. Penulis berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak jika berlaku pelanggaran hak ini.

Posted in BM

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Verified by MonsterInsights