Menu Close
Hilang Telefon Bimbit Semasa Travel Solo

Bahasa Malaysia | English

Kehilangan Telefon Bimbit Ketika Travel Solo di Luar Negara

Pernahkah anda kehilangan telefon?

Pernahkah anda kehilangan telefon ketika mengembara seorang diri di luar negara?

Semasa berada di Latvia pada bulan Oktober 2018, satu kejadian yang tidak diingini telah menimpa diri saya. Saya bermalam di penjara dan kehilangan telefon bimbit sejurus selepas dibebaskan pada pagi berikutnya.

Kejadian ini berlaku pada hari keempat perjalanan saya yang masih lagi berbaki 10 hari. Bayangkan saya terpaksa travel selama 10 hari tanpa telefon.

Sepuluh. Hari.

Bagi sesetengah orang, mungkin itu bukan masalah besar. Tapi, bagi generasi muda yang tak pernah hidup tanpa telefon pintar, situasi ini boleh menjadi suatu mimpi ngeri yang tak dapat dibayangkan betapa peritnya.

Saya mungkin berada di tengah-tengah. Menangis tidak, ketawa pun tidak.

Itu bukan kali pertama saya travel tanpa telefon pintar. Sepuluh tahun dulu, mengembara bersendirian tanpa internet atau gajet canggih adalah satu perkara biasa bagi saya.

Tapi itu dulu. Sekarang, cabarannya berbeza.

Apa pun, saya percaya setiap yang berlaku itu, sama ada baik atau buruk, pasti ada pengajaran di sebaliknya. Pengalaman kehilangan telefon semasa travel solo telah menyedarkan saya tentang 10 perkara:

pulling at hair
Sumber Foto: stuartpilbrow / Wikimedia Commons

Sama ada kehilangan telefon, dompet, pasport, atau sebagainya, panik tidak akan membantu menyelesaikan masalah. Sebaliknya, ia akan lebih membuang masa dan menghalang kita daripada berfikir secara rasional.

Sebaik menyedari kehilangan telefon, saya cepat-cepat berpatah balik ke penjara untuk melaporkan kehilangan dan meminta bantuan pegawai bertugas untuk mencari.

Setelah gagal menemuinya, saya meminta mereka menghantar SMS kepada nombor telefon tersebut dan menawarkan upah kepada sesiapa yang memulangkannya. Saya juga meninggalkan alamat e-mel untuk memudahkan mereka menghubungi saya jika telefon itu ditemui.

Kemudian, saya meminjam pula telefon salah seorang bekas banduan yang ditahan bersama saya semalam untuk memberitahu keluarga di rumah tentang apa yang telah berlaku dan bagaimana untuk menghubungi saya sekiranya ada perkara penting.

Memandangkan saya akan menginap di rumah hos Couchsurfing sepanjang 10 hari itu nanti, saya juga harus menghubungi mereka untuk menetapkan masa dan tempat untuk berjumpa.

Sekiranya saya panik, sudah tentu saya tak akan terfikir untuk melakukan semua ini.

2. Kita Terlalu Bergantung Pada Telefon Pintar

people on smartphones
Sumber Foto: Rawpixel Ltd / Wikimedia Commons

Benarlah seperti yang dikata — apabila telefon menjadi semakin pintar, manusia menjadi semakin… kurang pintar.

Selepas kehilangan telefon, barulah saya menyedari betapa manusia telah menjadi terlalu bergantung pada teknologi.

Selain membuat panggilan dan menghantar mesej pesanan ringkas, saya juga menggunakan telefon untuk bermacam-macam fungsi semasa travel, termasuklah:

  • Lampu suluh ketika berjalan dalam gelap.
  • Jam. Apabila travel, saya jarang membawa jam tangan kerana takut hilang. (Malangnya, telefon yang hilang.)
  • Kalendar dan fitur reminder untuk mengingatkan saya tentang tarikh dan waktu penerbangan / bas / tren, dan lain-lain.
  • Kalkulator untuk mengira perbelanjaan harian dan membuat pengiraan ketika menukar matawang asing.
  • GPS untuk mencari arah menggunakan peta offline, kerana saya memang sejenis yang mudah sesat.
  • Aplikasi e-hailing untuk digunakan di tempat-tempat yang tiada bas atau tren.
  • Aplikasi penempahan hotel, perbankan, dan berbagai-bagai lagi aplikasi yang biasa digunakan untuk merancang percutian.
  • E-mel, kerana semua maklumat penerbangan, tiket, pas masuk, pengesahan tempahan hotel, dan semua yang lain biasanya dihantar ke alamat e-mel.
  • Hiburan, media sosial, kamera, buku telefon, dan Google.

Pendek kata, dalam hampir semua perkara, kita dibantu oleh telefon pintar.

Bahkan untuk bangun tidur setiap pagi pun, saya mengharapkan telefon untuk mengejutkan saya.

3. Lokasi Telefon Boleh Dikesan

Tahukah anda bahawa lokasi telefon yang hilang boleh dikesan dari jarak jauh?

Syaratnya, anda harus memuat turun dan mengaktifkan aplikasi pengesan pada telefon anda. Ada beberapa aplikasi yang memang direka khas untuk tujuan ini. Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh aplikasi-aplikasi tersebut adalah: 

  • Mengesan telefon menggunakan teknologi GPS.
  • Mengunci dan memadam memori telefon dari jarak jauh.
  • Mengaktifkan bunyi penggera pada telefon tersebut dari jarak jauh.
  • Menyambungkan (redirect) semua panggilan ke nombor telefon anda yang lain.
  • Menghantar dan menerima SMS melalui peranti lain.
Malangnya, sebelum kejadian itu berlaku, saya tak pernah ambil tahu langsung tentang aplikasi ini. Walaupun sudah agak terlewat untuk saya mempelajarinya, mudah-mudahan pengetahuan ini bermanfaat untuk orang lain.
 
Ketahui cara-cara mengesan iPhone dan Android yang hilang.

4. Lindungi Data Peribadi Anda

hands on keyboard
Sumber Foto: Santeri Viinamäki / Wikimedia Commons

Pada zaman sekarang, dengan semua kemudahan membeli-belah dan perbankan secara dalam talian, kehilangan telefon bukan saja bermakna anda kehilangan alat komunikasi, tetapi anda juga berisiko kehilangan wang simpanan serta data-data peribadi yang lain.

Apabila penjenayah mempunyai akses kepada telefon dan akaun e-mel anda, mereka boleh mengetahui info peribadi anda dengan sangat mudah, contohnya dengan mendapatkan nombor TAC melalui SMS dan menukar kata laluan.

Sekiranya anda seorang wanita yang sedang melancong bersendirian, kehilangan telefon juga boleh membahayakan keselamatan diri anda kerana sesiapa yang menjumpai telefon tersebut akan dapat mengetahui maklumat perjalanan anda seperti maklumat penerbangan dan tempahan hotel.

Cara paling mudah untuk mengelakkan kebocoran data peribadi ialah dengan mengunci telefon menggunakan kata laluan atau cap jari. Walaupun ini tidak menjamin telefon anda tidak akan digodam, sekurang-kurangnya ia mampu memberi anda sedikit masa untuk menukar kata laluan akaun e-mel, bank, dan lain-lain, sejurus selepas kehilangan telefon.

Jangan simpan kata laluan di dalam pelayar web anda (contohnya Chrome). Walaupun, ia memang memudahkan kerja anda dan menjimatkan masa, tetapi ia juga akan memudahkan penjenayah memasuki akaun-akaun penting anda.

Sebaik sahaja menyedari kehilangan telefon, berikut adalah apa yang anda harus lakukan:

  1. Laporkan kepada syarikat perkhidmatan telefon anda dengan segera supaya mereka boleh mengambil tindakan sewajarnya seperti menyahaktifkan nombor anda buat sementara waktu.
  2. Sekiranya anda mempunyai aplikasi pengesan telefon (baca point nombor 3 di atas), cuba kesan, kunci, dan padam segala data dalam telefon anda dari jarak jauh.
  3. Tukar kata laluan emel, aplikasi perbankan atas talian serta sebarang akaun-akaun penting yang lain.

5. Buat Salinan Data

Setiap kali travel solo, saya akan pastikan saya mempunyai salinan data seperti tiket penerbangan, pas masuk, pengesahan tempahan hotel, salinan pasport, dan lain-lain secara bercetak, sekurang-kurangnya dua salinan, satu untuk disimpan di tempat penginapan, dan satu lagi untuk dibawa bersama ke mana-mana. Dalam hal ini, saya tidak mengharapkan telefon semata-mata.

Saya juga akan menghantar satu salinan melalui e-mel kepada ahli keluarga atau rakan yang dipercayai. Selain itu, saya sentiasa membawa buku nota di mana saya menyimpan salinan nombor-nombor telefon dan alamat-alamat penting.

Untuk gambar-gambar dan video yang diambil menggunakan telefon, saya akan sentiasa memuat naik ke media sosial atau platform simpanan dan sandaran foto atas talian (online storage) supaya tidak hilang.

6. Kafe Siber Sudah Pupus!

internet cafe
Sumber Foto: ARipstra / Wikimedia Commons

Sepuluh tahun dulu, sekiranya saya memerlukan internet ketika bercuti, saya akan mengunjungi kafe siber. Namun, setelah mula menggunakan telefon pintar, saya sudah bertahun-tahun lamanya tidak menjejakkan kaki ke kafe siber. Bahkan saya tidak tahu sama ada kafe siber masih wujud atau tidak dalam dunia sekarang.

Sehinggalah saya kehilangan telefon.

Dalam perjalanan saya selama sepuluh hari itu, saya telah berulang kali mencuba untuk mencari sebuah kafe siber, tapi satu pun tiada.

Di lapangan terbang sementara menunggu pesawat pulang ke Malaysia, saya bertanyakan kepada seorang pegawai muda (mungkin intern) di kaunter pertanyaan. Perbualan kami lebih kurang begini:

Saya: Maaf, cik. Tumpang tanya. Di sini ada internet cafe?
Pegawai: Apa?
S: Er.. cyber cafe? Tempat untuk guna komputer dan internet.
P: Oh, puan mau internet? Saya boleh bagi puan WiFi password.
S: Oh, bukan. Saya tak mau WiFi. Sebab saya takde telefon. 
P: Oh, kalau macam tu… Laptop?
S: Laptop pun takde.
P: … (hairan)
S: Sebenarnya telefon saya hilang. Sebab tu saya nak cari cyber cafe untuk akses internet.
P: Kalau telefon puan hilang, puan boleh buat laporan di kaunter polis di tingkat atas.
S: Tak, bukan hilang kat sini. Dah lama hilang. Tapi sekarang saya nak guna internet. Kat sini takde cyber cafe, ya?
P:
S: Er.. takpe la, terima kasih.

 

Nampaknya generasi sekarang tak tahu apa itu kafe siber. Apa tidaknya, mungkin sejak mereka lahir, semua orang sudah memiliki telefon pintar. WiFi percuma ada di mana-mana. Siapa lagi yang perlukan kafe siber?

7. Bawa Dua Telefon Semasa Bercuti

Selalunya, apabila saya travel seorang diri, saya akan membawa dua telefon. Satu telefon pintar yang biasa saya guna, dan satu lagi telefon lama untuk kecemasan seandainya berlaku kehilangan, kecurian, atau kehabisan bateri.

Tapi entah kenapa, untuk trip kali ini, saya tak bawa pula.

Sudah menjadi seakan lumrah, sewaktu kita tak bersedia itulah perkara yang tak diingini akan berlaku.

Mujurlah saya ada membawa sebuah kamera ekstra. Jadi, dapatlah saya merakamkan gambar dan video sepanjang perjalanan walaupun ketiadaan telefon.

8. Belajar Hidup Tanpa Teknologi

two travelers reading a paper map
Sumber Foto: Jazz Guy / Wikimedia Commons

Selama sepuluh hari saya ketiadaan telefon, saya terpaksa membiasakan diri membuat perkara-perkara berikut:

  • Membaca peta.
  • Meminta pertolongan orang untuk menunjukkan arah.
  • Mencongak pengiraan mata wang asing tanpa menggunakan kalkulator.
  • Mencari maklumat tanpa menggunakan Google.
  • Menulis nota-nota penting dalam buku nota.
  • Mempelajari perkataan-perkataan dalam bahasa asing tanpa bantuan Google Translate.

Saya dikira beruntung juga kerana sempat melalui era sebelum telefon pintar. Dulu, saya mampu travel tanpa Google Maps atau Booking.com. Semua perkara di atas ini saya biasa lakukan. Sekarang cuma perlu mempelajarinya semula.

Jika anda tergolong dalam generasi muda yang tidak pernah hidup tanpa teknologi yang ada sekarang, eloklah belajar bagaimana melakukan semuanya secara manual supaya nanti tidak terkapai-kapai jika ketiadaan telefon.

9. Dapatkan Insurans Perjalanan

Insurans perjalanan itu wajib ada untuk semua orang yang pergi bercuti, lebih-lebih lagi mereka yang mengembara secara solo.

Ia bukan sahaja membantu ketika ada kemalangan atau kecederaan, tetapi juga dalam insiden-insiden kecurian atau kehilangan harta benda.

Sebelum membeli insurans perjalanan, periksa dulu semua terma dan syaratnya. Ada banyak syarikat insurans yang menawarkan perlindungan terhadap kecurian dan kerugian harta benda, termasuk telefon, komputer riba, dan kamera.

Walau bagaimanapun, biasanya syarikat insurans ada mengenakan had jumlah ganti rugi yang akan dibayar. Jumlah ini berbeza dari satu syarikat ke syarikat yang lain, dan juga bergantung pada usia barang yang hilang.

Kebanyakan syarikat insurans tidak akan membayar ganti rugi terhadap:

  • Kerosakan yang disebabkan faktor usia, cuaca, serangga, atau haiwan perosak.
  • Barang yang tertinggal dalam bilik hotel, kapal terbang, kereta sewa, atau jenis pengangkutan yang lain.
  • Barang yang rosak atau hilang ketika disimpan dalam ruangan kargo kapal terbang. (Ini menunjukkan kecuaian anda sendiri kerana meletakkan barang berharga dalam ruangan kargo).

Untuk membuat tuntutan bayaran ganti rugi kehilangan telefon, kebiasaannya anda perlu mengemukakan:

  • Salinan laporan polis yang dibuat dalam masa 24 jam dari waktu insiden.
  • Kod IMEI (International Mobile Equipment Identity) telefon anda. Sebelum pergi bercuti, dapatkan dulu kod ini dan catatkan. Klik di sini untuk mengetahui caranya.
  • Resit telefon untuk membuktikan telefon itu benar milik anda.

10. Masih Ramai Lagi Insan Berhati Mulia

Jika anda seorang wanita yang suka mengembara bersendirian, saya percaya anda tentu selalu dimomokkan dengan cerita-cerita yang tak sedap didengar tentang orang jahat, perogol bersiri, penculik, dan sebagainya.

Tak dinafikan, orang jahat memang ada. Tapi itu tak bermakna sudah tiada manusia yang berhati mulia di luar sana.

Selama sepuluh hari perjalanan saya dari Latvia sehingga pulang ke Malaysia, saya telah menjumpai ramai orang yang sedia membantu apabila saya meminta untuk meminjam telefon untuk menghubungi seseorang.

Ada juga yang siap menawarkan untuk mengambil foto saya menggunakan telefon mereka dan menghantarkannya ke alamat e-mel saya.

Red Square, Moscow
Salah satu gambar yang diambil olah seseorang yang tak dikenali di Rusia.
Peristiwa ini sememangnya banyak mengajar dan mendewasakan saya. Ia juga telah menguji keupayaan saya untuk terus bertenang dan bertindak secara rasional dalam apa jua keadaan.

Pernahkan anda mengalami situasi sebegini? Kongsi pengalaman anda di ruangan komen di bawah.

Lihat senarai artikel dalam Bahasa Melayu.

Posted in BM

Related Posts

5 Comments

  1. Pingback:10 Things I Learned When I Lost My Phone While Traveling – Ummi Goes Where?

  2. Pingback:12 Kemahiran Yang Perlu Ada Pada Setiap ‘Traveler’ – Ummi Goes Where?

  3. Pingback:Ingin Travel Solo Tapi Takut? Ini Cara-cara Mengatasinya – Ummi Goes Where?

  4. Pingback:30+ Tip Keselamatan Untuk Pengembara Solo Wanita – Ummi Goes Where?

  5. Pingback:10 Sebab Kenapa Anda Perlu Travel Solo – Ummi Goes Where?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Verified by MonsterInsights