Bahasa Malaysia | English
Cara Atasi Rasa Takut Untuk Travel Solo Kali Pertama
Saya mula mengembara solo pada usia 21 tahun. Keputusan itu dibuat dengan agak spontan, dan bukannya telah dirancang lama. (Boleh baca kisah selanjutnya di sini).
Pada ketika itu, saya langsung tidak tahu bahawa ‘travel solo‘ ini sebenarnya sudah menjadi suatu trend di serata dunia. Saya fikir sayalah orang pertama yang bakal melakar sejarah mengembara seorang diri.
Apa tidaknya, apabila saya menzahirkan niat saya itu pada rakan-rakan, semuanya terkejut dan mengatakan saya gila.
Mereka fikir saya langsung tiada perasaan takut.
Jauh sekali. Sebenarnya saya kecut perut. Macam-macam yang saya fikirkan.
Jadi, jika anda mengatakan anda takut untuk mengembara sendirian buat pertama kali, saya faham. Berikut ialah kebimbangan-kebimbangan yang sering dialami oleh pengembara solo, serta cara-cara mengatasinya:
Table of Contents
1. Takut Apa Orang Kata
Masih teringat lagi sewaktu saya belasan tahun. Ketika itu saya dan ibu ke pantai berdekatan rumah kerana ada pasar pagi menjual pakaian terpakai. Sedang ibu saya sibuk memilih pakaian, saya mengambil peluang pergi berjalan-jalan bersendirian di pesisir pantai.
Selepas pulang ke rumah, saya mengatakan pada ibu, “Seronok juga jalan sorang-sorang di tepi pantai tadi. Nanti nak pergi lagi la.”
Dengan pantas dia mencelah. “Orang tak siuman saja yang buat begitu!” katanya.
Termangu saya seketika. Kalau ibu saya sendiri berpendapat sedemikian, apa pula pendapat orang lain?
Kadang-kadang kita terpaksa membataskan keinginan sendiri kerana bimbang pendapat orang lain.
Malangnya, bukan ibu saya saja yang memandang serong terhadap wanita yang pergi bercuti seorang diri. Bagi orang yang berfikiran konservatif dan agak kurang bergaul dengan masyarakat luar, mungkin trend travel solo ini adalah sesuatu yang tak terjangkau fikiran. Terutamanya bagi seorang wanita.
“Perempuan, kalau berjalan sorang-sorang, memang cari penyakit namanya.”
“Takde kawan ke?”
“Tak kawin ke?”
“Kenapa suka habiskan duit pergi travel? Fikirlah masa depan.”
“Nak tunjuk banyak duit la tu.”
“Kenapa suka bazirkan masa untuk travel? Sepatutnya fikir untuk berkeluarga.”
Itu semua pendapat dan soalan yang dah biasa saya dengar. Dan yang paling kelakar, ada juga yang bertanya dari mana saya dapat duit banyak untuk travel? Jadi keldai dadah ke?
Cara Mengatasinya
Mulut orang, kita memang tak boleh tutup. Kalau nak puaskan hati semua orang, alamatnya sampai bila-bila pun kita tak ke mana.
Jadi, abaikan saja pendapat negatif yang tak membina. Kalau perlu, rahsiakan percutian anda daripada orang-orang tertentu.
Soalnya, ini hidup kita. Kebahagiaan kita, cuma kita yang rasa. Yang penting, kita tak menyusahkan orang lain, tak berhutang, dan tak mengabaikan tanggungjawab kita terhadap tanggungan (jika ada).
2. Fobia Menaiki Kapal Terbang
Suatu ketika dulu, perjalanan yang lancar atau jalan yang rata, bagi saya amat membosankan. Saya lebih suka jalan yang berlopak, berbonggol, dan berbukit. Setiap kali naik bas, saya suka duduk di belakang, kerana gegarannya lebih ketara. Barulah rasa adventure.
Begitu juga di udara. Anda pernah dengar sesiapa yang sukakan turbulence (gegaran) ketika menaiki kapal terbang? Kalau dulu, sayalah orangnya.
Namun, semuanya berubah pada tahun 2014, di mana negara kita telah dikejutkan dengan tiga tragedi kapal terbang, iaitu pesawat MH370 yang hilang tanpa kesan, pesawat MH17 yang ditembak di ruang udara Ukraine, dan pesawat Air Asia 8501 yang terhempas di Laut Jawa.
Ketiga-tiganya berlaku pada tahun yang sama dan telah meragut hampir 700 nyawa.
Sebelum ini, saya cuma menonton kejadian kapal terbang terhempas dalam Berita Dunia, seolah-olah ia sesuatu yang mustahil boleh berlaku di negara kita. Tetapi pada tahun 2014, ia bagaikan sebuah mimpi ngeri yang menjadi nyata.
Selepas peristiwa itu, hampir setahun saya tak berani terbang. Sekarang, sedikit gegaran pun sudah cukup untuk membuat saya panik.
Cara Mengatasinya
- Pastikan saya berada dalam keadaan paling selesa. Untuk penerbangan yang panjang, saya akan memakai pakaian yang selesa untuk tidur. Ini termasuklah selimut / baju tebal, penutup mata, bantal travel, penyumbat telinga (ear plugs), dan stokin tebal. Saya juga akan memastikan saya sudah siap ke tandas untuk mencuci muka, memberus gigi, dan sebagainya sebelum menaiki pesawat.
- Cuba dapatkan tidur yang secukupnya di dalam kapal terbang. Gegaran tidak akan begitu terasa sewaktu kita sedang nyenyak tidur. Oleh itu, untuk memastikan saya senang tidur, saya akan cuba berjaga pada malam sebelumnya.
- Saya juga akan membawa buku atau apa-apa yang boleh menghilangkan rasa bosan dan mengalih perhatian saya daripada gegaran.
- Apabila berlakunya gegaran, saya akan memandang ke arah kru penerbangan, dan cuba memotivasi diri. Jika mereka boleh kekal tenang, sudah tentu saya juga boleh.
3. Takut Untuk Keluar Dari Zon Selesa
Bayangkan anda baru tiba di sebuah negara yang tak pernah anda lawati sebelum ini. Segala yang berada di sekeliling anda, baik dari segi cuaca, budaya, bahasa, mata wang, mahupun makanan, semuanya terasa sangat asing. Dan anda benar-benar berseorangan di situ, tanpa sebarang kenalan, beribu batu dari kampung halaman, tak tahu ke mana arah yang nak dituju.
Bagi yang pertama kali mengembara solo, mungkin keadaan ini adalah sesuatu yang amat menakutkan.
Begitu juga dengan saya sewaktu mula-mula dahulu. Sejak kecil, saya bukanlah seorang yang lasak dan pandai berdikari. Sehingga sekarang pun, saya masih lagi agak penakut dan pemalu. Tambahan pula, saya sejenis yang mudah sesat.
Cara Mengatasinya
Percayalah, lama-kelamaan, perasaan takut tadi akan berubah menjadi satu keterujaan. Sehinggakan suatu hari nanti mungkin anda menjadi ketagih untuk berada di luar zon selesa.
Dengan sentiasa mencabar diri untuk melakukan sesuatu di luar kebiasaan, anda dapat belajar menjadi seorang individu yang lebih yakin dan berani.
Untuk menghilangkan rasa takut sewaktu kali pertama mengembara solo, lengkapkan diri anda dengan pengetahuan secukupnya tentang tempat yang akan anda lawati.
Antara lainnya, cari maklumat tentang kemudahan pengangkutan di sana, baca tentang adab dan kebudayaannya, dan belajar sepatah dua perkataan dalam bahasa mereka.
4. Risau Tentang Masalah Komunikasi
Jika anda kurang fasih berbahasa Inggeris, mungkin akan timbul sedikit kegusaran tentang masalah komunikasi di luar negara, terutama di negara-negara seperti Amerika Syarikat, England, Australia, dan sebagainya, di mana Bahasa Inggeris ialah bahasa ibunda.
Adakah anda mampu memahami loghat mereka yang sudah semestinya pekat dan tidak sama dengan apa yang kita belajar di sekolah? Adakah anda akan dianggap bodoh jika tak mampu berbahasa Inggeris dengan baik?
Tidak kurang juga masalahnya apabila melawat ke negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda.
Sehebat mana pun bahasa Inggeris anda, apabila perlu ke negara seperti China dan Rusia misalnya, anda akan tetap berdepan dengan masalah komunikasi, melainkan anda mampu bertutur dalam bahasa mereka.
Cara Mengatasinya
Jika telefon anda mempunyai aplikasi terjemahan bahasa seperti Google Translate, bolehlah anda menggunakannya untuk berkomunikasi dalam bahasa asing.
Atau lebih baik lagi, pelajarilah beberapa perkataan dan frasa lazim seperti hello, apa khabar, terima kasih, dan sebagainya.
Jika anda perlu bertanya sesuatu atau meminta bantuan di negara yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, cuba bertanya kepada anak-anak muda. Dalam era internet dan globalisasi sekarang, biasanya generasi muda yang celik IT lebih ramai yang mampu memahami bahasa Inggeris, berbanding orang yang berusia.
Selain itu, anda juga boleh cuba bertanya di mana-mana hotel atau restoran. Selalunya, pekerja di premis-premis berkenaan mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris walaupun sedikit.
Berdasarkan pengalaman saya sendiri di Rusia, Jepun, dan China, kebanyakan orang yang saya temui akan berusaha sehabis baik untuk membantu menjawab pertanyaan saya walaupun masing-masing seperti ayam dan itik, sehingga kadang-kadang terpaksa menggunakan bahasa isyarat.
Jadi, tidak perlu bimbang sekiranya anda rasa Bahasa Inggeris anda teruk. Tak semua orang di dunia ini mampu menguasainya. Jangan risau jika sebutan atau tatabahasa anda salah. Yang penting, anda cuba.
5. Khuatir Wang Tidak Mencukupi
Ramai yang berpendapat bahawa melancong ke luar negara adalah untuk golongan kayangan sahaja. Tambahan pula dengan mata wang kita yang tidaklah begitu kuat jika dibandingkan dengan dolar Singapura, dolar Amerika, euro, pound sterling, dan lain-lain.
Di Singapura saja, kita akan berasa seolah-olah menjadi tiga kali lebih miskin kerana harga barang-barang di sana hampir tiga kali ganda harganya berbanding negara kita.
Itu belum lagi termasuk kos penerbangan, penginapan, dan sebagainya.
Cara Mengatasinya
Tanggapan bahawa melancong hanya untuk golongan elit adalah tidak tepat sama sekali. Memang aktiviti melancong ini memerlukan duit, tapi tak sebanyak yang orang sangka.
Dengan sedikit perancangan, anda boleh mengembara secara backpack ke banyak negara dengan kos yang sangat rendah. Contohnya, pada tahun 2012, saya menjelajah 4 negara di Eropah selama 2 minggu dengan cuma berbekalkan RM1,000 (tidak termasuk tiket penerbangan). Jika bercuti selama 4-5 hari di Asia Tenggara pula, perbelanjaan saya cuma sekitar RM300.
Syaratnya, anda harus menahan diri daripada membazir atau terlalu bermewah-mewah.
Sekiranya anda takut untuk melancong ke luar negara kerana duit ‘belum cukup’, percayalah, duit anda tak akan pernah cukup. Semakin meningkat usia anda, semakin banyak komitmen yang perlu anda tanggung.
6. Bimbang Faktor Keselamatan
Tak dapat dinafikan, sebagai seorang pengembara solo (terutamanya wanita), kita memang tidak akan dapat lari daripada memikirkan faktor keselamatan.
Anda mungkin sering diberi amaran tentang risiko ditipu, dirogol, dibunuh, diculik, dan diperdagangkan. Isu ini bukan sengaja dibuat-buat untuk menakutkan anda. Memang ia benar-benar wujud di luar sana.
Cara Mengatasinya
Kadang-kadang, bukan senang untuk kita menilai sesuatu situasi.
Contohnya, jika ada orang yang tak dikenali tiba-tiba memulakan perbualan, adakah dia memang peramah atau sebenarnya cuba mendapatkan maklumat peribadi kita? Jika ada orang yang ingin menghulurkan bantuan ketika kita dalam kesusahan, adakah dia benar-benar ikhlas atau sebenarnya ingin mengambil kesempatan?
Seperti yang biasa saya katakan, bahaya itu ada di mana-mana. Bahkan di rumah sendiri juga ada bahaya. Apa yang kita boleh lakukan adalah mengambil langkah berjaga-jaga, sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, dan beringat sebelum kena.
Sebelum pergi ke mana-mana destinasi, cari maklumat di internet dan baca perkongsian orang lain tentang jenis-jenis penipuan yang biasa berlaku di tempat itu.
Ketahui budaya dan cara hidup orang di sana. Contohnya, ada di sesetengah tempat, wanita perlu berpakaian tertutup dan tidak digalakkan keluar bersendirian.
7. Takut Rasa Sunyi
Bagi seorang yang introvert seperti saya, rasa sunyi itu bukan satu masalah, malah sangat dialu-alukan. Tetapi kalau berminggu-minggu tak berjumpa orang, bosan juga.
Apatah lagi jika anda jenis yang suka berinteraksi dengan orang ramai dan tak boleh hidup tanpa rakan-rakan. Mungkin anda berasa risau akan kesunyian apabila mengembara solo.
Cara Mengatasinya
Apabila berbicara tentang kembara solo, mungkin ada yang menyangka kita akan bersendirian sepanjang perjalanan. Tapi sebenarnya tidak.
Malah, travel solo ialah cara terbaik untuk berjumpa dengan orang ramai dan mencari kenalan baru.
Mengapa saya katakan begitu? Kerana jika kita bercuti bersama rakan-rakan, biasanya kita akan menghabiskan sepenuh masa bersama dan tidak bergaul dengan orang lain. Tetapi sewaktu bercuti sendirian, kita ada lebih banyak masa untuk berinteraksi dengan orang lain, sama ada pelancong atau warga tempatan.
Jika anda ingin mencari kenalan baru, tinggallah di hostel dan ambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti berkumpulan seperti lawatan ke tempat-tempat menarik, kelas memasak, dan sebagainya. Di internet juga ada banyak komuniti pengembara solo untuk berinteraksi dan berhubung antara satu sama lain.
8. Bimbang Berlakunya Masalah
Saya akui saya bukanlah seorang yang sangat teratur dan berdisiplin. Ada kalanya saya cuai, selalu bangun lambat, dan pelupa. Jadi, masalah-masalah seperti terlepas penerbangan, hilang telefon, tersesat, tersalah stesen itu semua pernah saya lalui.
Apabila mengembara solo, anda harus bertanggungjawab ke atas diri sendiri. Tiada siapa yang akan mengejutkan anda dari tidur, mengingatkan anda tentang waktu penerbangan, atau menjaga barang-barang peribadi anda melainkan anda sendiri.
Dan jika berlaku sebarang masalah sepanjang perjalanan, anda perlu menyelesaikannya seorang diri juga.
Cara Mengatasinya
Biarpun saya kerap mengalami masalah atas kecuaian sendiri, semua itu sebenarnya menjadikan saya lebih kental dan tidak mudah gabra apabila berlaku sesuatu yang tak diingini.
Namun, sekalipun anda telah membuat perancangan yang sempurna, jika sudah ditakdirkan, masalah masih boleh datang tanpa diduga. Oleh itu, anda harus sentiasa bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
Dapatkan info-info penting seperti nombor kecemasan dan pejabat kedutaan terdekat. Simpan beberapa salinan pasport di tempat berasingan, dapatkan insurans perjalanan sebelum melancong ke mana-mana, dan pastikan anda ada ‘Pelan Kedua’ sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan.
Ingatlah bahawa setiap yang terjadi itu pasti ada pengajarannya.
Apakah yang paling anda takutkan tentang kembara solo? Kongsikan di bahagian komen di bawah.
Klik pautan ini untuk melihat semua artikel dalam Bahasa Melayu.
Pingback:8 Fears I Had as a Solo Traveler (And How I Overcame Them) – Ummi Goes Where?
Pingback:10 Sebab Kenapa Anda Perlu Travel Solo – Ummi Goes Where?
Pingback:Tip Kembara Solo Untuk Golongan Introvert – Ummi Goes Where?