Menu Close
10 Sebab Mengapa Singapura Destinasi Ideal Kembara Solo

Bahasa Malaysia | English

10 Sebab Mengapa Singapura Destinasi Ideal Untuk Kembara Solo Kali Pertama

Segalanya bermula pada bulan Ogos tahun 2010.

Ketika itu, saya bakal menyambut hari lahir yang ke-21. Pada masa yang sama, saya juga baru mendapat pekerjaan pertama setelah tamat pengajian. Jadi, saya mahu melakukan sesuatu yang istimewa untuk diri sendiri, sebagai meraikan permulaan hidup baru di alam dewasa.

Kebetulan, beberapa minggu sebelum itu, salah seorang kenalan telah membawa saya melancong ke Koh Samui, Thailand. Itu merupakan kali pertama saya ke luar negara.

Melalui pengalaman tersebut, saya dapati rupanya travel secara backpacking ni tak lah susah mana. Rasanya, kalau seorang diri pun boleh.

Semenjak dari hari itu, saya seakan-akan gian untuk backpacking lagi. Kali ini, saya nekad untuk pergi sendiri.

Destinasi yang menjadi pilihan ialah Singapura.

Ini sebabnya mengapa:

Singapore Malaysia map
Credit: Seloloving / Wikimedia Commons

Lokasi adalah sebab utama mengapa saya memilih Singapura.

Maklum sajalah, baru mendapat pekerjaan tetap selepas habis belajar. Gaji pun cuma RM1,000 sebulan. Hendak melancong jauh-jauh, saya belum mampu. Lagipun, sebagai pekerja baru, saya belum ada cuti tahunan.

Jadi, destinasi yang ideal pada ketika itu adalah negara jiran yang paling dekat. Dari Kuala Lumpur, perjalanan menaiki tren cuma memakan masa sekitar 7 jam. Jika menaiki bas atau kereta, lebih cepat lagi. Dan jika menaiki kapal terbang, tak sampai satu jam.

Saya memilih untuk menaiki tren malam. Sampai di Singapura pada waktu pagi keesokan harinya, kemudian balik semula ke Kuala Lumpur pada malam yang sama supaya tidak perlu membayar hotel.

2. Tidak Perlu Visa

Sesetengah negara mewajibkan pelancong asing untuk mendapatkan visa untuk masuk ke sempadannya. Di Asia Tenggara sendiri, ada negara yang mengenakan visa untuk rakyat Malaysia, iaitu Myanmar.

Untuk trip solo pertama saya, saya mahukan semuanya mudah dan berjalan lancar tanpa sebarang kerumitan. Dan saya tak rasa saya mampu untuk membayar visa.

Maka, Singapura ialah pilihan yang tepat. Rakyat Malaysia dibenarkan berada di Singapura selama 30 hari tanpa visa.

3. Negara Paling Selamat di Dunia

Sebagai seorang wanita yang ingin mengembara solo, soal keselamatan ialah isu yang harus selalu dititikberatkan.

Walaupun bahaya itu ada di mana-mana, sebaiknya kita memilih destinasi yang sudah sedia terkenal dengan ciri-ciri keselamatannya, terutamanya jika itu kali pertama kita travel sendirian.

Berbanding kebanyakan negara Asia lain, Singapura memiliki undang-undang yang sangat ketat. Sehinggakan jenayah-jenayah kecil seperti membuang sampah merata-rata atau melintas jalan pada tempat yang tak sepatutnya boleh dikenakan denda sehingga ribuan dolar.

Menurut Gallup World Polls pada tahun 2017, Singapura menduduki tempat teratas senarai negara paling selamat di dunia.

4. Persekitaran Yang Bersih dan Moden

Singapore Gardens by the Bay
Singapura – bandar dalam taman. Foto: Zairon / Wikimedia Commons

Bersih dan moden tidak semestinya menjadikan sesebuah negara itu destinasi yang terbaik untuk pelancongan. Contohnya, kawasan-kawasan pedalaman di Indonesia, Filipina, Laos, dan sebagainya juga tetap cantik dan menyeronokkan.

Tetapi, untuk trip solo pertama, saya inginkan destinasi yang tidak terlalu mencabar. Tambahan pula, saya memang dilahir dan dibesarkan di kawasan bandar. Saya tak yakin mampu menghadapi masalah-masalah seperti ketiadaan sumber air bersih dan sebagainya.

Di Singapura, tiada masalah sedemikian. Seperti yang kita sedia maklum, Singapura adalah antara negara termaju dan terbersih di dunia.

5. Tiada Masalah Komunikasi

Bagi mereka yang ingin mengembara solo ke luar negara buat kali pertama, masalah bahasa mungkin menjadi sesuatu yang agak membimbangkan, terutamanya jika rakyat di negara tersebut tidak ramai yang mampu bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Namun, di Singapura kita tidak perlu risau kerana bukan saja mereka memiliki tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang amat tinggi, kebanyakan rakyatnya juga mampu berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan cukup baik.

6. Rakyat Yang Peramah dan Suka Menolong

A group of people wearing pink at Pink Dot Singapore | Ummi Goes Where?
Bersama kenalan-kenalan baru di Singapura.

Okay, mungkin tak seramah rakyat Malaysia. Haha.

Apa yang boleh kita lihat, di mana-mana bandaraya metropolitan sekalipun, memang sudah menjadi kelaziman rakyatnya sentiasa sibuk. Masing-masing ingin cepat sampai ke tempat yang dituju dan tiada masa untuk beramah mesra.

Seperti juga di Malaysia, kita sering beranggapan orang bandar lebih ‘sombong’ berbanding orang kampung.

Tetapi, daripada pengalaman saya sendiri di Singapura, setiap kali saya ingin bertanyakan sesuatu atau memerlukan apa-apa bantuan, mereka tidak teragak-agak untuk menolong.

7. Banyak Tarikan Pelancong

Supertrees Singapore
Supertrees Singapura. Foto: Rod Waddington / Wikimedia Commons

Biarpun Singapura teramatlah kecil saiznya, ia memiliki banyak tempat dan aktiviti menarik yang sering menjadi tumpuan pelancong.

Tak kisah sama ada anda lebih menggemari pusat membeli-belah, muzium, zoo, taman tema, atau apa sekalipun, pasti ada sesuatu yang bakal menambat hati anda.

Antaranya ialah:

  • Gardens by the Bay – struktur pokok gergasi buatan manusia yang futuristik, dibaluti dengan lampu-lampu gemerlapan. Turut mempamerkan air terjun indoor yang tertinggi di dunia.
  • Marina Bay Sands Resort – sebuah hotel mewah bertaraf lima bintang yang mempunyai kolam renang infiniti terbesar dan tertinggi di dunia.
  • Singapore Flyer  roda Ferris gergasi setinggi 165 meter, di mana anda boleh menikmati hidangan makanan dan minuman eksklusif beserta pelayan peribadi.
  • Singapore Zoo – berkonsepkan zoo terbuka di mana hampir kesemua haiwan tidak dikurung di dalam sangkar, sebaliknya diasingkan antara satu sama lain menggunakan parit atau sungai-sungai kecil. Menempatkan lebih 300 spesis haiwan dan merupakan zoo hutan hujan tropika terbaik di dunia.
  • Universal Studios Singapore – sebuah taman tema berkeluasan 49 ekar yang bertemakan filem dan rancangan televisyen terkenal seperti Hollywood, Madagascar, Shrek’s Far Far Away, the Lost World, dan Battlestar Galactica.
  • GX-5 Extreme Swing & Reverse Bungee – buaian ekstrem dan ‘bungee terbalik’ dengan ketinggian 50 meter, sesuai untuk mereka yang menggemari sukan ekstrem.
  • Changi Airport – Ya, lapangan terbangnya sendiri merupakan tarikan pelancong. Telah dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik dunia selama lapan tahun berturut-turut, Lapangan Terbang Changi mempunyai pelbagai fasiliti menarik termasuk taman orkid, taman kaktus, taman bunga matahari, gelongsor gergasi, kolam renang, panggung wayang, dan banyak lagi!

Boleh dikatakan, dalam semua perkara, Singapura sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik di dunia.

8. Keseimbangan Antara Kemodenan dan Kehijauan Alam

Chinese and Japanese Garden Singapore | Ummi Goes Where?
Saya di Chinese & Japanese Gardens, Singapura. 2010.

Walaupun Singapura merupakan hutan konkrit yang pesat dalam arus pemodenan, ia masih lagi memiliki kehijauan alam.

Bagi mereka yang menginginkan suasana damai dan dikelilingi keindahan alam semula jadi, bolehlah berkunjung ke Windsor Nature Park, Thomson Nature Park, Bukit Timah Nature Reserve, MacRitchie, Sungei Buloh Wetland Reserve, Chinese & Japanese Gardens, Pulau Ubin, dan Taman Botani Singapura yang merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.

9. Segalanya Boleh Dijelajahi Dengan Berjalan Kaki

Singapura memang terkenal sebagai negara termahal di Asia Tenggara dan antara yang termahal di Asia.

Tetapi disebabkan saiznya yang kecil, anda tidak perlu menghabiskan banyak wang untuk membayar kos pengangkutan. Kebanyakan tempat menarik di pusat bandar Singapura boleh diterokai dengan hanya berjalan kaki.

Contohnya, semua tempat dalam senarai di bawah ini terletak dalam lingkungan radius tidak lebih daripada 5 kilometer.

  • Merlion Park
  • Gardens by the Bay
  • Marina Bay Sands
  • Esplanade
  • Chinatown
  • Little India
  • Kampung Glam
  • Raffles Hotel
  • Chijmes
  • Fort Canning
  • Clarke Quay
  • Boat Quay
  • Art & Science Museum
  • National Gallery Singapore
  • Singapore National Museum

10. Sistem Pengangkutan Awam Yang Efisien

Singapore public transport
Pengangkutan awam di Singapura. Foto: Seloloving / Wikimedia Commons

Sekiranya anda sudah penat berjalan kaki atau ingin keluar dari pusat bandar, mudah saja. Kesemua tempat di Singapura mempunyai kemudahan MRT, LRT, dan bas.

Sistem pengangkutan awam di Singapura adalah sangat efisien dan komprehensif, serta mudah untuk dinavigasi kerana semua papan tanda ditulis dalam Bahasa Inggeris dengan terjemahan ke beberapa bahasa lain termasuk Bahasa Melayu, Tamil, dan Mandarin.

Akhir Kata

Bagi anda yang inginkan destinasi yang mudah dan menyeronokkan untuk kembara solo pertama anda, Singapura adalah satu pilihan yang amat sesuai atas sebab-sebab yang disenaraikan di atas.

Walaupun tidak begitu mencabar, ia adalah tempat yang terbaik untuk membina keyakinan serta melatih skil anda sebagai seorang pengembara solo. 

Selamat mengembara!

Apa pendapat anda tentang Singapura? Kongsikan di ruangan komen di bawah.

Baca juga:

Tip Memilih Destinasi Kembara Solo Pertama Anda

Lihat senarai artikel dalam Bahasa Melayu

Posted in BM

Related Posts

5 Comments

  1. Pingback:Tip Memilih Destinasi Kembara Solo Pertama – Ummi Goes Where?

  2. Pingback:10 Reasons Why Singapore is the Perfect Solo Destination – Ummi Goes Where?

  3. Pingback:Ingin Travel Solo Tapi Takut? Ini Cara-cara Mengatasinya – Ummi Goes Where?

  4. Pingback:10 Sebab Kenapa Anda Perlu Travel Solo – Ummi Goes Where?

  5. Pingback:30+ Tip Keselamatan Untuk Pengembara Solo Wanita – Ummi Goes Where?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Verified by MonsterInsights