Bahasa Malaysia | English
Cara Menggunakan Berlainan Jenis Tandas Di Serata Dunia
Anda rasa anda seorang pengembara sejati? Mungkin anda tidak takut untuk mencuba pengalaman baru, merasa makanan yang tak pernah anda temui sebelum ini, dan mendalami budaya asing. Tapi beranikah anda mencuba semua jenis tandas di dunia?
Menggunakan tandas awam adalah antara perkara yang paling tidak menyeronokkan sewaktu keluar ke mana-mana. Sedangkan di negara sendiri pun, ramai yang tidak gemar menggunakan tandas awam, apatah lagi di negara asing yang mungkin mempunyai jenis tandas dan tahap kebersihan yang berbeza.
Di sini, saya senaraikan 9 jenis tandas di serata dunia:
Table of Contents
1. Tandas Duduk
Tandas seperti ini biasa kita lihat di negara-negara Barat seperti di Eropah, Australia, dan Amerika Syarikat. Negara-negara lain, termasuk Malaysia juga sudah banyak yang mengikut jejak langkah mereka dan menggunakan tandas jenis ini, baik di rumah atau fasiliti awam.
Bagi yang sudah biasa menggunakan tandas duduk sejak kecil, sudah tentu tiada masalah lagi. Tapi yang lebih gemar menggunakan tandas cangkung, pasti akan merasa agak kekok apabila melancong ke tempat-tempat yang tidak mempunyai tandas cangkung. Lebih-lebih lagi, tandas di Barat biasanya tidak menyediakan paip air seperti di Malaysia.
Walau apa pun, apabila berada di negara orang, kita haruslah pandai menyesuaikan diri dan tidak merosakkan harta benda awam di sana, lantas mencemarkan nama negara sendiri.
Jadi, apabila menggunakan tandas duduk, janganlah mencangkung.
Sekiranya tidak selesa menggunakan tisu tandas semata-mata, bawalah bersama tisu basah atau botol air untuk tujuan mencuci.
Namun, pastikan anda tidak membuang tisu basah ke dalam mangkuk tandas. Pastikan juga anda tidak meninggalkan permukaan tandas atau lantai dalam keadaan basah.
Di sesetengah negara membangun seperti di Asia Tenggara, Amerika Latin, dan Afrika, anda juga tidak dibenarkan membuang tisu ke dalam mangkuk tandas kerana sistem pembetungan di sana tidak mampu mengendalikan terlalu banyak tisu tandas dan akan menyebabkan tersumbat.
Sebaliknya, gunalah tong sampah yang disediakan.
2. Tandas Dengan Bidet di Eropah
Walaupun tandas yang digunakan di Eropah adalah tandas duduk, tetapi ia dilengkapi dengan satu lagi fitur tambahan, iaitu bidet.
Bidet adalah berbentuk seperti sink rendah yang diletakkan bersebelahan tandas (rujuk gambar di atas). Dicipta di Perancis sekitar tahun 1600, ia semakin kurang digunakan sekarang, tetapi masih lagi boleh ditemui di rumah-rumah dan bangunan-bangunan lama di Perancis, Itali, Sepanyol, dan Portugal.
Cara Menggunakan Bidet
- Pasang air mengikut suhu yang anda suka.
- Duduk di atas bidet sebagaimana anda duduk di atas mangkuk tandas.
- Cuci bahagian yang perlu dicuci menggunakan air dan sabun.
- Lap dan matikan air.
Pertama kali saya menemui bidet adalah ketika berada di Portugal. Pada mulanya, saya menyangka ia merupakan sink rendah untuk orang berkerusi roda.
Setelah mengetahui kegunaan sebenarnya, saya merasakan ia agak leceh dan membazir ruang. Lebih baik tandas di negara kita, iaitu:
3. Tandas Duduk Dengan Paip Air
Tandas duduk dengan paip air biasanya digunakan di negara-negara Islam kerana Islam menggalakkan umatnya bersuci menggunakan air bersih.
Bagi rakyat Malaysia, rasanya semuanya sudah biasa menggunakan tandas jenis ini. Yang kelakarnya, ada pelancong dari luar negara yang tidak mengetahui apa kegunaan paip air yang disediakan. Ada yang menyangka ia digunakan untuk tujuan mandi atau minum!
4. Tandas Cangkung
Tandas cangkung masih digunakan dengan meluas di Malaysia, Indonesia, serta banyak negara lain di Asia sehingga ia digelar “Tandas Asia” oleh orang Barat. Namun begitu, ia sebenarnya digunakan juga di Afrika dan beberapa kawasan pedalaman di Eropah.
Di bandar-bandar besar Asia seperti Kuala Lumpur sendiri, tandas awam biasanya menyediakan dua jenis tandas, iaitu tandas duduk dan tandas cangkung.
Tandas cangkung sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Ia dianggap lebih bersih kerana permukaan punggung kita tidak bersentuhan dengan permukaan tandas seperti mana tandas duduk.
Selain daripada itu, tandas cangkung juga telah terbukti secara saintifik sebagai tandas yang lebih baik untuk kesihatan kerana kedudukan mencangkung dapat membantu individu yang mengalami masalah penghadaman.
Malah, di Barat ada dijual sejenis alat untuk menghasilkan posisi seakan mencangkung:
Tip Menggunakan Tandas Cangkung
- Jika memakai seluar panjang, pastikan hujung seluar digulung secukupnya supaya tidak meleret di lantai.
- Pastikan juga anda mengeluarkan barang-barang dari dalam poket, supaya tidak terjatuh ke dalam mangkuk tandas nanti!
- Untuk keseimbangan semasa mencangkung, pastikan keseluruhan tapak kaki terletak pada lantai (tidak menjinjing), bongkokkan badan sedikit ke depan, dan letakkan lengan di atas lutut.
- Semasa bangun, pegang seluar anda supaya tidak jatuh ke lantai.
5. Tandas Kombinasi
Di India, terdapat sejenis tandas unik yang jarang dijumpai di tempat lain, iaitu tandas kombinasi.
Tandas jenis ini memberikan anda pilihan sama ada untuk mencangkung atau duduk. Berbeza dengan tandas duduk biasa, tandas kombinasi lebih stabil dan lebar, serta tidak mudah pecah.
Sekiranya anda memilih untuk mencangkung, pastikan anda membersihkan kesan tapak kasut selepas menggunakannya.
6. Urinal Awam di India
Satu lagi kemudahan awam yang unik di India ialah urinal awam. Ia tidak terletak di dalam tandas, sebaliknya berada di tempat-tempat terbuka dan tidak mempunyai sebarang penghadang.
India memang sudah terkenal dengan masalah kepadatan populasi dan tahap kebersihan yang sangat teruk, maka anda boleh bayangkan sendiri keadaan urinal awam ini.
Saya cadangkan jangan lalu berdekatan mana-mana tandas atau urinal awam di India, kerana baunya boleh dihidu dari jauh lagi. Jika ingin menggunakan tandas awam di sana, pergilah ke restoran-restoran yang agak mahal kerana tandasnya lebih terjaga. Syaratnya, anda perlulah membeli sesuatu di situ.
7. Tandas Lubang di Afrika
Tandas lubang, atau dalam Bahasa Inggerisnya ‘pit latrine‘ ialah sejenis tandas yang mengumpul najis di dalam lubang besar di bawah tanah. Lubang ini biasanya berkedalaman lebih kurang tiga meter.
Bahagian atasnya diletakkan mangkuk tandas berupa tandas cangkung biasa, namun ada juga yang cuma meletakkan papan sebagai tempat mencangkung.
Tandas jenis ini sebenarnya pernah digunakan di negara kita sendiri pada zaman dahulu sebelum adanya sistem pembetungan yang menyeluruh. Mungkin di kawasan-kawasan pedalaman, masih ada lagi sehingga ke hari ini.
Cara Menggunakan Pit Latrine
Cara penggunaannya lebih kurang sama dengan tandas cangkung. Cuma pit latrine biasanya tidak menyediakan air atau tisu tandas. Anda harus membawanya sendiri. Tandas ini juga tidak mempunyai flush.
Berhati-hatilah semasa menggunakan pit latrine yang cuma ditutup dengan papan kerana papan ini boleh pecah semasa anda mencangkung.
Negara Afrika Selatan sedang dalam proses untuk menghapuskan pit latrine di seluruh negaranya kerana telah terdapat beberapa kes kanak-kanak mati lemas setelah terjatuh ke dalam lubang tandas.
8. Tandas Pintar di Jepun dan Korea
Rasanya kita semua sedia maklum bahawa teknologi di Jepun memang tiada tandingannya. Sehinggakan tandas di sana juga dipanggil ‘smart toilet‘ atau tandas pintar yang dilengkapi dengan pelbagai butang (mungkin lebih banyak butang daripada mesin basuh anda di rumah).
Tandas di sana membolehkan anda mengawal suhu, tekanan, serta sudut pancuran air supaya anda boleh membersihkan bahagian depan dan belakang dengan mudah. Ia bukan sahaja boleh membersihkan, malah juga boleh mengeringkan!
Selain itu, tandas ini juga boleh memainkan lagu, menyahbau, dan memanaskan tempat duduk sewaktu cuaca sejuk. Canggih, bukan?
Biasanya, butang-butang pada tandas tersebut dilabel dalam Bahasa Jepun, tetapi ia juga mempunyai simbol-simbol piktorial yang membolehkan anda meneka kegunaannya.
Selain Jepun, tandas sebegini juga sudah digunakan dengan agak meluas di Korea.
9. Tandas Semula Jadi
Dan yang akhir sekali ialah tandas yang paling organik dan semula jadi.
Tak kiralah tandas mana yang anda lebih suka daripada senarai di atas, sama ada tandas pintar, tandas cangkung, atau tandas duduk, apabila anda masuk hutan, anda terpaksa meninggalkan itu semua dan berbalik kepada tandas yang ini.
TIP: Pastikan tandas ini berada sekurang-kurangnya 300 meter daripada khemah.
Baca juga: Ilmu Hutan Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Pergi Berkhemah
Sudahkah anda mencuba kesemua jenis tandas yang disenaraikan di sini? Yang mana satu paling anda suka? Sila tinggalkan komen di bawah.
Klik pautan ini untuk melihat semua artikel dalam Bahasa Melayu.
Pingback:12 Kemahiran Yang Perlu Ada Pada Setiap ‘Traveler’ – Ummi Goes Where?