10 Kelebihan Kembara Solo
Kali pertama saya mengembara solo adalah pada usia 21 tahun. Destinasi pertama saya ialah Singapura (boleh baca dengan lebih lanjut di sini). Walaupun trip itu cuma balik hari, kepuasan yang saya rasakan sukar untuk diungkap dengan kata-kata.
Kali kedua, saya ke Indonesia pula. Sekali lagi, saya berasa seperti seorang ‘superwoman‘ apabila berjaya menaiki kapal terbang seorang diri untuk pertama kalinya dalam hidup saya, dan berjaya menjelajah dari Medan ke Danau Toba, tanpa sebarang bantuan pemandu pelancong.
Tak dinafikan, memang pada mulanya saya berasa teramat takut. Tapi rasa takut itu kemudiannya berselang-seli dengan rasa teruja, bangga, bebas, kagum, dan bermacam-macam lagi.
Sekarang, walaupun telah menjejakkan kaki ke 49 buah negara, saya masih lagi belum puas.
Bagi yang tidak pernah mendengar tentang ‘kembara solo’, mungkin akan berasa pelik atau tidak percaya.
“Mengapa ada orang yang suka bercuti sendirian? Tak sunyikah?”
Bagaimana kalau saya katakan bahawa kembara solo ini sebenarnya mempunyai banyak kelebihan, dan setiap orang harus mencubanya walau cuma sekali seumur hidup?
Berikut adalah 10 manfaat yang akan anda terima sewaktu travel solo:
Table of Contents
1. Keluar Dari Zon Selesa
Mengembara seorang diri sememangnya sesuatu yang mencabar bagi kebanyakan orang. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak pernah hidup berdikari atau menguruskan percutian sendiri tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan.
Apa tidaknya, kita bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan tempat dan budaya baru, malah juga terpaksa belajar menguruskan diri sendiri, dari segi kewangan, keselamatan, makan minum, dan sebagainya.
Di negara Barat, sudah menjadi kebiasaan bagi para ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka mengembara seorang diri ke luar negara selepas tamat persekolahan. Ia dianggap sebagai satu proses ‘pembelajaran di luar bilik darjah’ untuk mempersiapkan diri anak-anak muda sebelum melangkah ke alam dewasa.
Apa kata kita ambil contoh tersebut dan terapkan dalam hidup kita? Sesekali, kita perlu mencabar diri untuk keluar dari zon selesa agar kita boleh maju ke hadapan dan tidak kekal berada di takuk lama.
2. Mempelajari Kemahiran Baru
Jika sebelum ini semua percutian anda mungkin diuruskan oleh agensi pelancongan, ibu bapa, pasangan, atau kawan-kawan, dalam kembara solo, anda harus melakukan semuanya sendiri dari awal hingga ke akhir.
Antara lainnya, anda perlu tahu bagaimana untuk menempah hotel, mendapatkan visa, mendaftar masuk penerbangan, menggunakan pengangkutan awam di luar negara, berkomunikasi dengan orang asing, dan banyak lagi.
Bayangkan dengan hanya satu trip, anda boleh mempelajari semua kemahiran ini sekaligus. Mungkin ia kedengaran agak rumit, tapi dengan sedikit masa dan kesabaran, anda pasti dapat menguasainya.
Baca juga: 12 Kemahiran Yang Perlu Ada Pada Setiap Pengembara
3. Meningkatkan Keyakinan Diri
Dalam kembara solo, tak semua perkara akan berjalan lancar seperti yang dirancang. Ada kalanya, sesuatu yang berlaku itu berada di luar kawalan anda, contohnya masalah kelewatan tren, kecurian, kemalangan, bencana alam, dan lain-lain.
Baca: Hilang Telefon Sewaktu Kembara Solo – Ini Pengajaran Yang Saya Terima
Apabila anda bersendirian, anda tiada pilihan lain selain terpaksa mencari jalan penyelesaian sendiri bagi setiap masalah yang timbul.
Dan setiap kali anda berjaya menghadapi keadaan yang sukar, secara tidak langsung anda dilatih untuk menjadi lebih yakin dan tabah dalam mengharungi apa jua kemungkinan yang mendatang, bukan sahaja dalam pengembaraan, tetapi juga dalam kehidupan seharian.
4. Mencari Kenalan Baru
Antara sebab utama mengapa ramai orang tidak mahu mengembara seorang diri adalah kerana bimbang akan mengalami kesunyian tanpa teman. Ironinya, melancong bersendirian adalah peluang terbaik untuk anda mencari kenalan baru.
Apabila kita bercuti secara berkumpulan, biasanya kita akan meluangkan masa bersama rakan-rakan kita sahaja. Sebaliknya, apabila mengembara solo, kita mempunyai lebih banyak peluang untuk berinteraksi dan berkenalan dengan orang lain, sama ada pelancong atau rakyat tempatan.
Untuk mencari kenalan baru semasa bercuti, cara yang paling mudah adalah dengan menginap di hostel.
5. Melatih Kemahiran Berbahasa
Sama ada anda ingin mempelajari bahasa baru atau ingin meningkatkan lagi kemahiran berbahasa Inggeris yang sedia ada, bercuti bersendirian adalah cara yang amat berkesan untuk melatih diri anda.
Jika melancong bersama teman, sudah tentu sebahagian besar masa anda akan dihabiskan dengan bertutur dalam bahasa ibunda sesama sendiri.
Namun, jika mengembara solo tanpa ada seorang pun yang memahami Bahasa Melayu, anda terpaksa berkomunikasi dalam bahasa asing secara total sepanjang percutian.
6. Bebas Membuat Keputusan
Merancang percutian secara berkumpulan bukanlah sesuatu yang mudah kerana tak semua orang mempunyai minat dan bajet yang sama. Bahkan, memilih tarikh yang sesuai juga sukar kerana masing-masing mempunyai jadual yang berbeza.
Tetapi, apabila bercuti bersendirian, anda tak perlu bimbang tentang itu semua kerana semua pilihan terletak di tangan anda. Anda boleh memilih destinasi, hotel, tarikh, dan aktiviti, serta mengatur itinerari mengikut citarasa anda sendiri tanpa perlu mendapat persetujuan orang lain.
7. Belajar Mengenali Diri
Pernahkah anda meluangkan masa bersendirian dalam tempoh masa beberapa hari? Kenalkah anda pada diri sendiri, apa minat anda, dan apa keinginan anda?
Bagi yang tinggal bersama keluarga atau terpaksa berkongsi ruang peribadi dengan orang lain semenjak kecil, anda mungkin tidak pernah merasai nikmat bersendirian. Mungkin segala aktiviti harian anda selama ini bukan dibuat berdasarkan kehendak sendiri tetapi dipengaruhi oleh orang di sekeliling anda.
Apabila anda bersendirian di perantauan tanpa ada seorang pun yang mengenali diri anda, anda bebas menjadi diri sendiri. Mengembara solo adalah peluang terbaik untuk anda belajar mengeksplorasi dan menghargai diri.
8. Mencari Ketenangan
Bagi yang bekerja atau mempunyai tanggungan hidup, percutian solo adalah satu-satunya masa untuk anda berhenti memikirkan masalah buat seketika dan memanjakan diri sendiri tanpa sebarang tekanan dari tempat kerja atau ahli keluarga.
Sekiranya selama ini anda yang bertanggungjawab merancang percutian keluarga, tentu anda sudah terbiasa mendahulukan keselesaan dan kegembiraan orang lain berbanding diri sendiri. Tetapi, dalam percutian solo, anda boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap keselesaan anda sendiri.
Tidak hairanlah mengapa bercuti bersendirian telah terbukti secara klinikal sebagai terapi untuk menghilangkan stres.
9. Lebih Banyak Masa Lapang
Mungkin anda gemar membaca, melukis, atau membuat kraftangan, tetapi sering ditangguhkan kerana jadual seharian yang padat. Mungkin juga anda ingin memulakan sesuatu yang baru seperti menulis travelog sendiri tetapi belum berkesempatan kerana kesibukan kerja.
Inilah masanya untuk anda melakukan semua itu tanpa gangguan sesiapa. Apabila tiada teman berbual, anda akan mempunyai lebih banyak masa terluang, seperti ketika menunggu bas, semasa di hotel, atau sewaktu dalam penerbangan.
Mengembara solo memberikan kebebasan untuk anda berkarya tanpa segan silu kerana tiada siapa yang akan menghakimi dan mengkritik hasil kerja anda.
10. Melihat Dunia Dari Perspektif Baru
Bak kata pepatah, “Jauh perjalanan, luas pemandangan”, berkelana ke tempat orang sememangnya akan mengajar kita banyak perkara baru.
Namun, jika anda mengikuti pakej pelancongan, pergerakan anda mungkin terhad kepada itinerari yang telah ditetapkan oleh agensi anda. Anda dan rombongan akan dibawa ke sana ke mari di dalam bas persiaran, tanpa sebarang interaksi dengan masyarakat setempat.
Sebaliknya, mengembara solo tanpa teman atau pemandu pelancong akan memberi anda lebih banyak ruang untuk benar-benar mendalami budaya dan cara hidup masyarakat di tempat itu.
Dengan bertanyakan sesuatu atau meminta pertolongan daripada warga tempatan, anda dapat mengenal hati budi mereka dan ini mungkin dapat membantu anda melihat dunia dari sudut pandangan yang berbeza.
Akhir Kata
Bagi saya, pengalaman travel solo adalah sesuatu yang jauh lebih berharga daripada harta benda dan wang ringgit.
Ilmu yang kita pelajari daripada pengalaman itu tidak akan dapat diperolehi dalam mana-mana buku atau dokumentari. Ia merupakan cenderamata paling bermakna untuk dibawa pulang dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Malah, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kembara solo berupaya mengubah diri dan kehidupan anda selamanya.
Pernahkah anda mengembara seorang diri? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen di bawah.
Baca juga:
Semua artikel di dalam blog ini adalah hak cipta penulis. Ia tidak boleh diulang cetak dalam apa bentuk atau bagi apa tujuan sekalipun kecuali dengan kebenaran penulis. Penulis berhak mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak jika berlaku pelanggaran hak ini.
Pingback:Tip Kembara Solo Untuk Golongan Introvert – Ummi Goes Where?
Pingback:30+ Tip Keselamatan Untuk Pengembara Solo Wanita – Ummi Goes Where?