Bahasa Malaysia | English
Ilmu Hutan Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Hiking atau Berkhemah
Pada zaman moden sekarang ini, mungkin ramai yang merasakan tidak perlu untuk belajar ilmu kelangsungan hidup, seperti cara-cara menghidupkan api menggunakan batu dan kayu, serta mencari makanan di dalam hutan.
Tapi sebenarnya ilmu ini sangat penting bagi sesiapa saja yang ingin melakukan aktiviti hutan seperti mendaki atau berkhemah.
Walaupun anda mungkin biasanya masuk hutan secara berkumpulan, ini tidak bermakna anda terlepas dari risiko tersesat atau terpisah daripada ahli-ahli kumpulan.
Jadi, apakah kemahiran-kemahiran yang perlu anda tahu sebelum masuk hutan?
Table of Contents
1. Mencari Sumber Air
Air ialah elemen paling penting dalam melangsungkan hidup. Manusia boleh terus hidup selama beberapa minggu tanpa makanan, tapi dalam cuaca yang sangat panas (contohnya di gurun), manusia boleh mati dalam masa beberapa jam sahaja sekiranya kehabisan air.
Oleh yang demikian, apabila tersesat di dalam hutan, antara perkara pertama yang harus anda lakukan ialah mencari sumber air.
- Berhenti sejenak dan cuba dengar bunyi aliran sungai, kemudian berjalanlah menuju ke arah bunyi tersebut.
- Jika anda berada di kawasan berbukit, ingat bahawa air sentiasa mengalir ke tempat rendah. Jadi, kebarangkalian untuk menjumpai sumber air adalah lebih tinggi jika anda bergerak menuruni bukit.
- Cari tempat yang mempunyai banyak serangga atau tanda-tanda sering dikunjungi haiwan. Biasanya haiwan dan serangga akan kerap mengerumuni tempat yang mempunyai sumber air.
- Hati-hati dengan air yang tidak mengalir seperti lopak atau kolam kerana ia biasanya mengandungi banyak bakteria berbahaya dan akan memburukkan lagi keadaan.
- Air yang mengalir juga boleh mengandungi parasit. Kalau boleh, bersihkan dulu air tersebut, sama ada dengan mendidihkan, menapis, atau menggunakan tablet pembersih air (boleh dibeli di kedai-kedai hiking / outdoor).
2. Menyalakan Api
Selepas menjumpai sumber air, perkara kedua yang perlu anda lakukan ialah membuat unggun api. Api boleh membantu anda memanaskan badan dalam cuaca sejuk, memasak, mendidihkan air, menakutkan binatang buas, dan juga mendapatkan pertolongan.
Jika anda membawa mancis atau pemetik api, tentunya tugas ini menjadi lebih mudah. Jika tidak, anda perlu tahu cara-cara menyalakan api menggunakan bahan-bahan di sekeliling anda:
- Cari benda-benda yang boleh dibuat pemangkin api, seperti ranting-ranting kayu, daun-daun, dan rumput kering. Lebih kering, lebih bagus, kerana rumput / daun yang masih hijau hanya akan menghasilkan asap.
- Terdapat beberapa teknik berbeza untuk menghasilkan api. Boleh cari di YouTube atau klik pautan ini untuk mengetahui cara-caranya.
- Mulakan dengan bahan-bahan yang lebih kecil dahulu, kerana ia lebih mudah untuk dinyalakan. Apabila api sudah besar, baru gunakan ranting dan dahan-dahan kayu.
- Jika anda mempunyai kanta pembesar, boleh juga digunakan untuk menumpukan cahaya matahari ke arah pemangkin api.
- Jangan cepat putus asa dan teruskan mencuba. Sedikit percikan api pun berupaya untuk menjadi lebih besar jika menggunakan teknik yang betul.
3. Mendirikan Khemah
Jika hari sudah beransur gelap dan anda masih belum menjumpai jalan keluar, anda harus membuat tempat berlindung untuk melindungi diri anda daripada hujan atau binatang liar.
Sekiranya anda memiliki kanvas atau tarpaulin, boleh bina khemah seperti dalam gambar di atas. Jika tidak, boleh gunakan ranting-ranting kayu yang disandarkan antara satu sama lain menjadi bentuk kon.
Tempat terbaik untuk mendirikan khemah adalah di tempat yang tinggi dan kering. Elakkan membuat khemah berdekatan sumber air kerana bimbang risiko banjir kilat / kepala air. Sumber air juga sering dikunjungi haiwan liar.
4. Mencari Makanan
Sekiranya situasi anda masih berlanjutan sehingga beberapa hari, anda perlu mencari sumber makanan untuk terus hidup. Ada beberapa cara untuk melakukannya:
- Mencari tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan. Walaupun tumbuh-tumbuhan tidak membekalkan tenaga dan protein yang banyak seperti daging, ia cukup untuk meneruskan hidup. Sebelum masuk ke hutan, cuba pelajari dulu tentang tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan di kawasan itu. Sebagai panduan, biasanya tumbuhan yang berwarna terang adalah beracun. Elakkan juga memakan cendawan jika anda tidak pasti jenisnya.
- Menangkap ikan, jika anda berada berdekatan sungai dan mempunyai sesuatu yang boleh digunakan sebagai alat menangkap ikan.
- Memasang perangkap. Anda juga boleh menggunakan barang-barang yang ditemui di hutan untuk membuat perangkap haiwan. Boleh baca cara-caranya di sini.
- Memburu haiwan, jika anda mempunyai senjata tajam atau kayu yang boleh dibuat senjata.
5. Memasak
Jika anda berjaya mendapatkan ikan atau haiwan lain yang boleh dimakan, langkah seterusnya adalah memasak daging tersebut untuk menghapuskan bakteria berbahaya dan menghindarkan risiko keracunan.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diingat:
- Jika tidak pasti bahagian mana yang boleh dimakan, buang semua organ dalaman haiwan tersebut, terutamanya bahagian usus.
- Pastikan daging betul-betul masak (walaupun anda suka makan stik separuh masak!)
- Sesudah makan, pastikan semua sisa dibuang jauh dari khemah (kalau boleh, tanam atau hanyutkan), supaya tidak menarik perhatian binatang lain.
6. Mencari Arah
Sekiranya anda melakukan aktiviti hiking, terutamanya secara bersendirian, antara kemahiran paling penting yang perlu anda kuasai adalah mencari arah.
- Membaca kompas. Sebagai seorang hiker, anda perlu tahu cara menggunakan kompas. Di dalam hutan, anda tidak boleh bergantung pada GPS kerana kemungkinan besar tiada signal dan dalam masa beberapa hari, telefon anda juga akan kehabisan bateri. Sebaliknya, kompas boleh digunakan tanpa signal atau bateri.
- Cari tempat tinggi. Kadang-kadang, berada di tempat tinggi dapat membantu anda menentukan lokasi anda ketika itu dan seterusnya mencari jalan keluar.
- Menggunakan arah matahari terbit dan terbenam untuk menentukan arah timur dan barat.
- Ikut arah aliran sungai. Sekiranya anda menemui sungai, ikut aliran air sungai tersebut. Air sungai mengalir ke hilir, dan semakin hilir anda berada, semakin besar peluang untuk menemui penempatan orang.
7. Asas Ikatan
Teknik-teknik simpulan tali biasanya digunakan dalam aktiviti sukan dan rekreasi seperti pelayaran, memanjat dinding batu (rock climbing), dan abseiling.
Selain itu, ia juga penting di dalam hutan kerana boleh membantu anda mendirikan khemah, membuat perangkap haiwan, menyelamatkan orang yang tercedera, dan bermacam-macam lagi.
Terdapat pelbagai jenis simpulan tali untuk tujuan-tujuan tertentu. Sebelum masuk hutan, eloklah belajar beberapa simpulan asas.
8. Pertolongan Cemas
Kecederaan, walaupun sedikit, boleh menyukarkan usaha anda untuk mencari jalan keluar dan menyelamatkan diri, dan dalam kes yang lebih teruk, boleh membawa maut jika tidak dirawat.
Kemahiran asas pertolongan cemas adalah tersangat penting untuk mengelakkan kehilangan darah yang terlalu banyak, mengurangkan risiko jangkitan, dan mengelakkan kecederaan menjadi lebih teruk.
Ikuti beberapa langkah yang boleh diambil sekiranya tercedera:
- Tutup luka. Menutup luka dengan menggunakan pembalut atau plaster boleh menghentikan pengaliran darah dan mencegah jangkitan kuman. Cuba bersihkan luka itu sebaik mungkin sebelum dibalut. Jika perlu, gunakan torniket.
- Tukar balutan dan bersihkan luka dengan kerap, kerana balutan yang kotor boleh menyebabkan jangkitan.
- Jika terdapat tulang yang patah, anda perlu mengikatnya supaya tidak menjadi lebih teruk. Cari ranting yang lurus dan kuat, kemudian ikatkan pada anggota yang patah menggunakan kain atau tali.
Kursus Kelangsungan Hidup Oleh LORAS
Pada tahun 2018, saya tergerak hati untuk mempelajari ilmu kelangsungan hidup.
Walaupun sudah beberapa kali berkhemah dan mendaki gunung, biasanya saya pergi secara berkumpulan dan segalanya telah disiapkan oleh penganjur, termasuk khemah dan makan minum.
Saya juga tidak pernah menyertai persatuan pengakap atau apa-apa aktiviti di sekolah yang mengajar kemahiran-kemahiran sebegini. Namun, saya menyedari kepentingannya andai kata berlaku sebarang kejadian yang tak diingini.
Setelah membuat carian di laman media sosial, saya menemui sebuah kursus yang diadakan di Kem Alang Sedayu, berdekatan sempadan di antara Selangor dan Pahang.
Kursus itu dianjurkan oleh LORAS, sebuah syarikat yang juga memiliki kedai menjual peralatan rekreasi dan aktiviti lasak di Kuala Lumpur yang telah beroperasi selama lebih 10 tahun.
Tenaga pengajarnya juga adalah sangat berpengalaman dalam bidang tersebut. Salah seorang daripada mereka pernah mewakili negara untuk mendaki Gunung Everest dan misi berski ke Kutub Selatan.
Perkara pertama yang diajarkan kepada peserta ialah barang-barang yang perlu dibawa setiap kali masuk hutan, serta cara-cara menggunakannya.
Pelajaran kedua ialah cara-cara menghidupkan api tanpa menggunakan mancis atau pemetik api.
Pada zaman dahulu, manusia menyalakan api dengan cara menggeselkan dua batang kayu atau batu sehingga menghasilkan percikan api. Tapi, proses ini memakan masa yang agak lama.
Sekarang, kita boleh membeli ‘fire starter‘ yang dijual di kedai. Fire starter ini lebih tahan lama berbanding mancis atau pemetik api.
Kemudian, tibalah masanya untuk kami mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari. Tugasan yang diberi ialah memasak nasi dalam tempurung kelapa.
Setiap peserta dipasangkan dengan seorang peserta yang lain. Dan setiap pasangan diberikan sebiji kelapa, beras, pisau, fire starter, dan sedikit kapas sebagai pemangkin api.
Pertama sekali, kami harus mencari ranting-ranting kayu untuk membuat unggun api. Sementara pasangan saya mencari ranting, saya pergi mendapatkan daun pandan dan tanah liat
Tempurung kelapa tadi kemudiannya ditebuk untuk memasukkan beras dan disalutkan dengan tanah liat untuk mengelakkannya daripada retak semasa dimasak. Daun pandan pula digunakan untuk menyumbat lubang yang ditebuk pada tempurung.
Bagi saya, menghidupkan api menggunakan fire starter itu tidaklah begitu susah, tetapi malangnya ia asyik padam, sehinggalah kami kehabisan kapas dan terpaksa meminta daripada kumpulan lain.
Setelah api berjaya dihidupkan, kami meletakkan tempurung kelapa di atasnya dan membiarkan nasi masak sambil mengawal api.
Malangnya, nasi yang dimasak kumpulan kami tidak boleh dimakan. Tempurung kelapa yang kami gunakan telah retak kerana tidak disaluti tanah liat yang mencukupi.
Akibatnya, air kelapa telah meleleh keluar dan nasi kami menjadi keras dan hangit.
Terpaksalah kami mengharap belas kasihan kumpulan lain untuk berkongsi nasi.
Selepas makan tengah hari, kami diajar cara-cara mendirikan khemah menggunakan tarpaulin. Di sinilah kemahiran ikatan tadi dapat membantu. Kami juga mempelajari tip-tip pemilihan tempat untuk mendirikan khemah.
Ini diikuti pula dengan aktiviti merentas sungai secara berkumpulan. Kami perlu membuat satu barisan dan berpegangan tangan untuk menyeberang dari satu tebing ke tebing yang satu lagi tanpa memutuskan barisan.
Kemudian, kami mengulangi cara yang sama tapi bergerak menentang arus pula. Walaupun arus sungai tidak begitu kuat pada waktu itu, batu-batunya sangat licin. Cuba teka siapa yang jatuh?
Setelah selesai aktiviti sungai, kami dibawa masuk ke dalam hutan untuk mempelajari tentang tumbuh-tumbuhan yang boleh dimakan dan dibuat ubat.
Kelas berakhir sekitar jam 6, tapi masih ada kejutan lagi untuk para peserta. Pihak penganjur telah menyediakan air bercampur arang untuk dicontengkan di muka peserta sebagai ‘hadiah graduasi’ sebelum kami diberikan sijil.
Kelas itu telah banyak mengajar saya perkara baru yang patut diketahui oleh semua peminat aktiviti hutan. Dengan yuran sebanyak RM85, memang sangat berbaloi.
Namun, semua kemahiran ini haruslah selalu dipraktikkan agar kita tidak mudah lupa. Sekiranya anda pernah mengikuti kursus sebegini tetapi telah lama meninggalkannya, anda disarankan mengikutinya semula, agar segala ilmu hutan ini tetap segar dalam ingatan.
Boleh lawati laman web LORAS atau Facebook mereka untuk mendapatkan info terkini.
Pernahkah anda mengikuti sebarang kursus kelangsungan hidup? Ceritakan pengalaman anda di ruangan komen di bawah.
Pingback:Basic Outdoor Survival Skills You Should Know Before You Go Camping – Ummi Goes Where?
Pingback:Panduan Menggunakan Tandas di Seluruh Dunia – Ummi Goes Where?
Pingback:30+ Tip Keselamatan Untuk Pengembara Solo Wanita – Ummi Goes Where?
Hi Ummi, Roslina here. Just call me kak lina. I feel like travelling solo, love hiking, dream for camping. If you organise simple activity or gathering, I would like to join.
Hi, Kak Lina. Thank you for reaching out. Being an introvert, I don’t usually organize any activity or gathering. But I do occasionally join group tours and hikes. Perhaps we might bump into each other there 😀