Bahasa Malaysia | English
Bagaimana Untuk ke Maldives Secara Bajet Tanpa Pakej. Itinerari Maldives
Kepulauan Maldives adalah sebuah destinasi pelancongan yang tidak perlu diperkenalkan lagi, terutamanya bagi mereka yang menggemari percutian di tepi pantai. Dengan airnya yang jernih kebiruan, hidupan laut yang pelbagai dan resort-resort ultra mewah, sudah pastinya destinasi ini menjadi impian setiap pelancong.
Namun, jika selama ini anda beranggapan bahawa percutian ke Maldives merupakan sesuatu yang berada di luar kemampuan, mungkin artikel ini akan mengubah fikiran anda.
Table of Contents
Percutian Bajet ke Maldives?
Maldives sering dikaitkan dengan percutian eksklusif untuk golongan kelas atasan sahaja. Apa tidaknya, kebanyakan harga bilik di resort atau villa yang diiklankan boleh mencecah sehingga USD 5,000 (RM20,000) untuk satu malam (dan itu belum lagi termasuk cukai dan caj-caj tambahan lain)!
Namun begitu, ini tidak bermakna tiada harapan langsung bagi pelancong bajet untuk berkunjung ke sana.
Kalau dahulu, para pelancong cuma dibenarkan melawat ke pulau-pulau resort (pulau persendirian yang dimiliki sepenuhnya oleh resort tersebut), namun pada tahun 2008, kerajaan Maldives telah melonggarkan peraturan ini dan mula membuka pulau-pulau lain untuk pelancongan, termasuklah pulau-pulau yang dihuni oleh masyarakat tempatan.
Maksudnya, kini anda boleh bercuti ke Maldives dan menginap di rumah-rumah tumpangan dengan harga serendah USD 30 (RM150) satu malam dengan sarapan percuma dan segala kelengkapan asas yang lain. Kebanyakan rumah tumpangan ini juga ada menawarkan pakej menyelam atau snorkeling dengan harga yang berpatutan.
Ini merupakan berita yang amat baik bagi semua backpacker dan pelancong bajet seperti saya. Jadi apa lagi, sebaik sahaja menemui tiket murah melalui Air Asia, saya dan rakan terus merebut peluang untuk ke sana. Pulau yang kami pilih ialah Pulau Maafushi.
Sepintas Lalu Tentang Pulau Maafushi
Kepulauan Maldives adalah terdiri daripada 20 gugusan pulau, atau dalam Bahasa Inggerisnya atoll. Pulau Maafushi terletak di Kaafu Atoll, kira-kira 26 kilometer ke arah selatan dari Male (ibu negara Maldives).
Pada tahun 2004, pulau ini mengalami kerosakan teruk akibat tsunami besar di Lautan Hindi yang telah memberi kesan kepada lebih 100,000 orang daripada keseluruhan populasi Maldives yang berjumlah 300,000 orang. Dengan kerjasama Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, penduduk Maafushi berjaya membaik pulih semula pulau mereka.
Pada tahun 2008, ketika kerajaan Maldives mula membuka pulau-pulau bukan resort untuk kedatangan pelancong asing, Maafushi ialah pulau yang pertama menyahut seruan kerajaan. Sekitar tahun 2017, Maafushi sudah mempunyai sebanyak 70 buah hotel dan rumah tumpangan, menjadikannya pulau yang mempunyai paling banyak tempat penginapan di Maldives dan yang kedua paling banyak menerima pelancong.
Waktu Terbaik Untuk ke Pulau Maafushi
Cuaca di Maldives agak sukar untuk diramal kerana setiap pulau mempunyai iklimnya sendiri, dan semakin terpencil pulau itu, semakin berbeza cuacanya berbanding pulau-pulau lain.
Walau bagaimanapun, disebabkan Pulau Maafushi terletak berdekatan dengan ibu negara, cuacanya lebih kurang sama dengan Male dan kebanyakan pulau lain yang berhampiran.
Musim Kering
(Disember – Mac)
Pada musim kering, jumlah hujan dan kelembapan adalah sangat rendah, dengan suhu sekitar 29°C – 31°C. Oleh itu, waktu ini merupakan waktu puncak, dengan kadar kemasukan pelancong yang lebih tinggi. Akibatnya, harga hotel dan pakej pada waktu ini juga melambung naik.
Musim Hujan
(Mei – Oktober)
Walaupun suhunya kekal sama, namun hujan lebih kerap berlaku dalam tempoh masa ini. Bulan yang menerima paling banyak hujan ialah bulan September.
Kami berkunjung ke sana pada bulan Oktober. Langit kerap mendung, angin kuat dan hujan turun beberapa kali sepanjang kami di sana, tetapi kami masih berpeluang untuk berenang, bermain kayak, snorkel dan berbasikal sekeliling pulau. Oleh kerana musim itu bukan waktu puncak, jumlah pelancong tidak begitu ramai dan keadaan tidak terlalu sesak.
Musim Perantara
(April & November)
Dua bulan ini merupakan waktu pertengahan antara musim kering dan musim hujan. Pada ketika ini, air laut lebih jernih, menjadikannya waktu yang terbaik untuk melakukan aktiviti selam skuba atau snorkeling. Harga masih murah berbanding musim kering, jadi jika anda merancang untuk ke Maldives, cuba dapatkan tarikh ini.
Cara Untuk ke Pulau Maafushi
Dari Lapangan Terbang Velana ke Male
Lapangan Terbang Antarabangsa Velana terletak di Pulau Hulhule. Setakat ini, belum ada lagi feri dari Pulau Hulhul terus ke Pulau Maafushi. Anda perlu ke ibu negara terlebih dahulu, iaitu pulau Male. Sejurus melepasi pintu keluar di lapangan terbang, anda akan nampak sebuah kaunter tiket yang bertanda “Ferry to Male“.
Perkhidmatan feri ke Male adalah setiap 10 – 30 minit. Tambangnya berharga MVR 10 (dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam) dan MVR 20 (dari 12 tengah malam hingga 6 pagi). Perjalanan mengambil masa kira-kira 15 minit.
Setiap penumpang dibenarkan membawa 3 buah bagasi secara percuma. Jika lebih daripada itu, akan dicaj sebanyak MVR 10 setiap satu.
Jika kesuntukan masa, anda juga boleh menaiki bot laju dengan harga MVR 20, yang cuma memakan masa 4 minit. Kaunter tiket bot laju turut terdapat di lapangan terbang.
Sila rujuk laman web rasmi lapangan terbang untuk mendapatkan jadual dan harga tambang terkini.
Dari Male ke Maafushi
Setelah sampai ke Pulau Male, anda perlu ambil teksi ke Terminal Feri Vilingili pula. Tambang teksi untuk ke sana adalah dalam lingkungan MVR 30 – 40, dengan caj tambahan MVR 5 untuk bagasi besar.
Dari Terminal Feri Vilingili, anda mempunyai tiga pilihan untuk ke Maafushi:
1. Menggunakan Feri Lokal
Cara ini merupakan yang paling murah, tetapi juga yang paling lambat, iaitu mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Tiket feri tidak boleh dibeli secara dalam talian, jadi anda perlu membelinya sendiri di kaunter dengan harga USD3.
Sebelum naik, pastikan feri itu menuju ke Maafushi! Berikut ialah jadual feri antara Male dan Maafushi, tetapi sila rujuk dengan tempat penginapan anda untuk mengetahui jika ada sebarang perubahan jadual. Biasanya, pihak penginapan akan menghantarkan petugas untuk menyambut anda di jeti.
Sila ambil maklum bahawa feri lokal tidak beroperasi pada hari Jumaat. Jika anda harus membuat perjalanan pada hari tersebut, anda boleh menggunakan bot laju.
2. Menaiki Bot Laju Lokal
Menaiki bot laju sudah tentulah lebih mahal berbanding feri, tetapi ia merupakan alternatif terbaik sekiranya jadual feri tidak menepati keperluan anda atau anda inginkan perjalanan yang lebih cepat. Tambang bot adalah sebanyak USD20 – 25 setiap seorang dan mengambil masa selama 45 minit.
Anda boleh menempah tiket sendiri melalui agensi pelancongan seperti Icom Tours atau melalui tempat penginapan anda. Jadual bot boleh dilihat di laman web mereka.
3. Menaiki Bot Laju Sewa Khas
Agensi-agensi yang sama turut menawarkan perkhidmatan bot sewa khas. Ia merupakan pilihan yang tepat jika anda bercuti dalam kumpulan yang besar atau jika anda ingin membuat perjalanan pada waktu pilihan anda sendiri. Perjalanan bakal mengambil masa 25 minit dan berharga lebih kurang USD150.
Pengangkutan di Pulau Maafushi
Walaupun Pulau Maafushi adalah antara pulau yang terbesar di Maldives, keluasannya cuma 1.2 kilometer panjang dan 265 meter lebar sahaja!
Kereta adalah tidak dibenarkan di pulau ini, jadi mod pengangkutan yang ada hanyalah basikal dan motosikal. Dengan saiz pulau yang begitu kecil, anda sebenarnya boleh mengelilingi pulau dengan berjalan kaki sahaja, dalam masa tidak lebih satu jam.
Terdapat beberapa kedai sewa motor dan basikal di sana. Atau anda boleh juga menggunakan kenderaan di bawah 😉
Aktiviti-aktiviti Menarik di Pulau Maafushi
1. Berenang dan Bersantai
Harus diingat bahawa Maldives adalah sebuah negara Islam. Anda boleh berenang dan berkelah di mana-mana pantai di Pulau Maafushi, dengan syarat berpakaian tertutup. Jika ingin memakai pakaian renang atau bikini, hanya ada satu tempat sahaja yang dibolehkan, iaitu di Bikini Beach berhadapan Arena Beach Hotel.
2. Selam Skuba dan Snorkeling
Snorkeling dan selam skuba adalah antara aktiviti paling popular di Maldives. Memang tidak hairanlah, kerana kepulauan ini mempunyai kumpulan terumbu karang yang terbesar di Lautan Hindi, dengan 250 spesis terumbu karang dan lebih 1000 spesis hidupan marin.
Hotel kami ada menyediakan snorkel percuma, tetapi malangnya angin dan ombak begitu kuat, jadi kami tidak berani untuk berenang jauh dari pantai.
Anda juga boleh mengikuti pakej snorkeling yang akan membawa anda ke beberapa tempat terumbu karang dengan menaiki bot. Harga pakej biasanya dalam lingkungan USD15 hingga USD30 (boleh rujuk dengan hotel atau agensi pelancongan).
Jika anda sudah mempunyai lesen menyelam, kos untuk satu selaman adalah bermula dari USD40. Jika belum ada lesen, anda boleh mengikuti program percubaan iaitu Discover Scuba Dive dengan harga bermula USD75.
Baca: Bolehkah Anda Melakukan Aktiviti Selam Skuba Jika Tidak Pandai Berenang?
3. Aktiviti Sukan Air yang Lain
Selain snorkeling dan selam skuba, ada pelbagai lagi aktiviti air lain yang boleh anda cuba, termasuk jetski, kayak, luncur air, kitesurfing, windsurfing, flyboarding, parasailing, dan paddleboarding.
Kami hanya menaiki kayak sepanjang pantai. Pada mulanya, kami berhasrat untuk berkayak mengelilingi pulau, tetapi tidak dibenarkan kerana ombak terlalu kuat.
4. Berjalan / Berbasikal Menjelajah Pulau
Salah satu kelebihan menginap di pulau yang didiami masyarakat tempatan ialah kita berpeluang untuk mengenali budaya dan cari hidup mereka.
Jika anda memilih resort-resort mahal di pulau persendirian, anda tidak akan bertemu orang lain selain tetamu dan pekerja resort sahaja, dan sesetengah pekerja juga mungkin terdiri daripada warga asing.
Di Pulau Maafushi, anda dapat menyaksikan sendiri kehidupan seharian masyarakat di sini dan beramah mesra bersama mereka. Dan cara yang paling menyeronokkan untuk meneroka pulau ini adalah dengan berbasikal.
Salah satu tempat menarik di pulau ini ialah Penjara Maafushi, yang merupakan satu daripada dua penjara di Maldives. Dahulunya merupakan kilang pakaian, ia telah ditukar menjadi sebuah penjara lebih sedekad yang lalu untuk menempatkan pesalah dadah dari seluruh kepulauan Maldives.
Apa pun, jangan bimbang. Maafushi masih lagi pulau yang selamat untuk dikunjungi.
5. Melawat Pulau-pulau Resort
Disebabkan cuaca yang kurang memuaskan (dan bajet yang kurang mencukupi) kami tidak melakukan apa-apa aktiviti lain di Pulau Maafushi. Jika anda lebih bernasib baik, anda boleh melawat ke pulau-pulau resort yang berdekatan secara balik hari.
Semasa lawatan ke pulau-pulau persendirian tersebut, anda boleh melakukan aktiviti seperti berenang, makan di restoran dan bar, serta melawat villa-villa terapung. Ada antaranya yang membenarkan pelawat untuk menggunakan kemudahan-kemudahan resort seperti kolam renang dan sebagainya dengan bayaran tertentu.
Jadi, sekiranya anda ingin merasai pengalaman berada di resort mewah tanpa menginap di sana, anda boleh mengikuti pakej lawatan ini dengan harga dari USD90 hingga USD150 seorang. Jauh lebih murah daripada harga bilik untuk satu malam di sana.
Antara pulau-pulau resort yang boleh dilawati dari Pulau Maafushi ialah:
6. Melawat Tebing Pasir
Satu lagi aktiviti menarik dan instagrammable yang boleh dilakukan ialah melawat ke ‘tebing pasir’. Tebing pasir atau sandbank ialah longgokan pasir seakan-akan pulau kecil di tengah-tengah laut yang terhasil oleh pukulan ombak.
Pulau-pulau ini terlalu kecil untuk didiami tetapi saiznya sesuai untuk berkelah, bersantai, berparti dan sebagainya. Dalam pakej lawatan ke tebing pasir, biasanya anda akan dihantar menaiki bot, kemudian ditinggalkan di sana untuk beberapa jam sebelum dijemput pulang. Di sana, anda bebas untuk melakukan apa saja kerana tiada orang lain, bagaikan pulau kecil itu anda yang punya. Jika bercuti bersama pasangan atau rakan-rakan, ini merupakan satu aktiviti menarik untuk dilakukan bersama.
Di sesetengah tebing pasir, anda juga boleh bermalam di sana. Khemah dan keperluan asas akan disediakan.
7. Melihat Ikan Lumba-lumba
Maldives merupakan habitat semula jadi untuk ribuan ikan lumba-lumba, dan cara paling mudah untuk menyaksikan haiwan ini ialah dengan menaiki bot atau kapal layar. Ada sesetengah pakej yang menggabungkan aktiviti melihat ikan lumba-lumba ini dengan aktiviti lain seperti snorkeling dan sebagainya.
8. Memancing
Berita baik bagi kaki pancing — aktiviti memancing adalah sangat popular di Pulau Maafushi. Anda boleh mengikuti trip memancing selama sehari atau separuh hari, kemudian mengakhirinya dengan makan malam BBQ di tepi pantai dengan hasil tangkapan.
9. Mengunjungi Bar Terapung
Oleh kerana Maldives merupakan negara Islam, minuman beralkohol tidak dibenarkan di pulau-pulau yang dihuni masyarakat tempatan, termasuklah Pulau Maafushi.
Sebagai jalan penyelesaian, salah sebuah hotel di pulau ini telah menyediakan “bar terapung”, iaitu sebuah kapal layar yang berlabuh di tengah laut. Pengunjung yang hendak ke sana akan dibawa menggunakan bot kecil. Selain bar, kapal layar ini juga mempunyai sebuah restoran.
Berapa Hari yang Diperlukan di Pulau Maafushi?
Pada pendapat saya, berapa hari yang diperlukan di Pulau Maafushi bergantung pada bajet dan citarasa masing-masing. Jika anda memang menggemari pantai atau aktiviti air, tinggallah selama yang anda mampu.
Jika tidak, 2 – 3 hari sudah memadai kerana tidak banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan. Bagi saya yang bukan peminat pantai, 3 hari dirasakan terlalu lama.
Berapa Bajet yang Diperlukan di Pulau Maafushi
Jika anda menginap di rumah tumpangan yang murah, makan di warung-warung kecil dan tidak mengambil apa-apa pakej, jumlah perbelanjaan di Pulau Maafushi dianggarkan lebih kurang USD 40 – 50 sehari.
Sama seperti mana-mana destinasi lain, perbelanjaan yang paling besar di Pulau Maafushi ialah penginapan. Rumah tumpangan yang paling murah di sini berharga dalam lingkungan USD 30 untuk satu malam. Jika anda menginap bersama rakan atau pasangan, kos ini boleh dikongsi bersama. Setakat ini, masih belum ada lagi penginapan jenis hostel atau dormitori untuk pengembara solo.
Hidangan makanan tempatan di warung-warung kecil berharga kurang daripada USD 5 sepinggan, sementara makanan Barat di restoran yang lebih besar boleh mencecah dua atau tiga kali ganda.
Selain penginapan dan makanan, anda juga perlu mengambil kira tambang feri dan kos aktiviti-aktiviti lain seperti island hopping, sewa basikal dan sebagainya. Setiap pelancong juga dikehendaki membayar cukai alam sekitar sebanyak USD 3 seorang untuk setiap hari berada di sana.
Penginapan di Pulau Maafushi
Sepanjang percutian kami di Pulau Maafushi, kami menginap di Chutty Maldives. Malangnya hotel ini tidak lagi beroperasi pada masa sekarang. Menurut Booking.com, kini terdapat sebanyak 38 buah hotel dan rumah tumpangan di pulau ini (tetapi mungkin ada banyak lagi yang tidak tersenarai dalam aplikasi tersebut).
Berikut adalah beberapa hotel yang mempunyai markah reviu tertinggi:
Sunrise Beach, Maafushi – terletak 200 m dari Bikini Beach serta dilengkapi dengan restoran, lounge, dan taman. Dari USD 40 untuk Standard Double Room dengan sarapan pagi.
Stingray Beach Inn – Memiliki hanya 10 unit bilik, hotel butik ini memastikan setiap tetamu mendapat layanan istimewa. Sebagai bonus, anda juga boleh menggunakan kemudahan jacuzzi, kolam renang, dan restoran di Hotel Triton Beach dengan percuma. Dari USD 60 untuk Standard Double Room dengan sarapan pagi.
Arena Beach Hotel – Antara hotel yang terbaru, terletak betul-betul berhadapan dengan Bikini Beach. Turut menyediakan kolam renang di atas bumbung, lounge dan restoran. Dari USD 85 untuk Standard Room, dengan sarapan pagi.
Selain yang di atas, rangkaian hotel Kaani juga memiliki empat buah hotel di Pulau Maafushi:
Kesemuanya memiliki markah reviu yang tinggi. Harga untuk satu malam adalah antara USD 85 hingga USD 300.
Maklumat Tambahan
- Maldives ialah sebuah negara Islam yang mengguna pakai undang-undang syariah. Pengunjung tidak dibenarkan membawa barang-barang yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti daging babi, apa-apa makanan yang mengandungi babi, alkohol, kitab-kitab agama lain atau patung-patung keagamaan.
- Jumaat ialah hari cuti di Maldives. Feri tidak beroperasi pada hari ini dan kebanyakan kedai juga tutup.
- Pada hari lain, kedai-kedai dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam. Kedai mungkin tutup selama 15-20 minit pada waktu solat.
- Semua pelancong diwajibkan membayar cukai hijau (cukai alam sekitar) sebanyak USD 6 setiap seorang untuk setiap hari jika menginap di pulau resort, atau USD 3 seorang setiap hari jika menginap di hotel kecil yang tidak lebih 50 bilik di pulau yang didiami masyarakat tempatan (sila rujuk hotel masing-masing untuk kepastian). Ini adalah tidak termasuk 8% GST dan 10% caj perkhidmatan. Cukai biasanya perlu dibayar secara tunai menggunakan matawang USD.
- Matawang USD diterima dan lebih digalakkan untuk transaksi yang besar seperti bil hotel, tambang bot laju, pakej perjalanan dan sebagainya. Di restoran, kedai-kedai kecil dan feri, biasanya matawang tempatan MVR (Maldivian rufiyaa) akan digunakan.
- Terdapat satu ATM di Pulau Maafushi, tetapi caj pengeluaran bagi kad negara asing agak tinggi (lebih kurang MVR 100, atau USD 6.50).
- Elakkan daripada mengeluarkan terlalu banyak rufiyaa, kerana susah untuk ditukar semula kepada matawang lain sekiranya tidak habis digunakan.
Etika Berpakaian di Pulau Maafushi
Pakaian renang dan bikini adalah tidak dibenarkan sama sekali melainkan di Bikini Beach. Begitu juga dengan pakaian yang jarang. Menurut notis yang ditampal di hotel kami, jenis-jenis pakaian yang dibenarkan di pulau ini ialah:
- Seluar pendek
- T-shirt
- Vest/singlet
- Jeans
- Seluar panjang
- Pakaian kasual lain
Peraturan ini tidak terpakai jika anda keluar dari pulau, contohnya semasa mengikuti trip island hopping, snorkeling dan sebagainya.
Akhir Kata
Maafushi ialah destinasi terbaik jika anda teringin bercuti ke Maldives dengan harga bajet. Masih ragu-ragu? Baca 10 sebab mengapa anda perlu mengunjungi Pulau Maafushi.
Sekarang adalah masa yang ideal untuk ke sana. Semasa pandemik, aktiviti pelancongan di Maafushi tergendala buat sementara. Kini, ia perlahan-lahan dibuka semula. Siapa tahu, dalam masa beberapa tahun lagi, mungkin Maafushi tidak lagi semurah sekarang.
Jadi, jangan lepaskan peluang ini!
Pernahkah anda bercuti ke Maldives? Pulau manakah yang menjadi pilihan anda? Kongsikan pengalaman di ruangan komen di bawah.
Pingback:A Complete Guide to Maafushi Island – Maldives on a Budget – Ummi Goes Where?