Bahasa Melayu | English
Melawat Ladang Kopi: Aktiviti Menarik di Nairobi Kenya
Table of Contents
Keistimewaan Kopi Kenya
Saya sebenarnya agak terkejut apabila mendapat tahu bahawa Kenya bukanlah pengeluar kopi terbesar di Afrika. Kalau tak silap, di Malaysia, kebanyakan kopi import adalah dari Kenya (dan beberapa negara Amerika Selatan).
Apa tidaknya, kopi Kenya dikenali di seluruh dunia kerana kualitinya yang hebat dan rasanya yang unik. Apa yang membuat kopi Kenya begitu istimewa adalah cara mereka menanam dan memproses biji kopi dengan penuh teliti dan tradisi.
Nilai keasidan di kawasan tanah tinggi Kenya Tengah, ditambah pula dengan jumlah cahaya matahari dan hujan yang mencukupi, memberikan persekitaran yang kondusif untuk tumbuhan kopi berkembang. Kopi Kenya terkenal dengan rasa yang kuat dan aroma yang harum.
Pada tahun 2012, dianggarkan terdapat kira-kira 150,000 peladang kopi di Kenya, dan sekurang-kurangnya enam juta rakyat Kenya yang bekerja secara langsung atau tidak langsung dalam industri kopi.
Jadi, pengembaraan anda di Kenya tidak akan lengkap jika tidak melawat ke salah satu ladang kopi di negara Afrika Timur yang indah ini.
Cara Membuat Tempahan
Pengalaman Melawat Ladang Kopi Mbumi
Cara Ke Sana
Ladang Kopi Mbumi terletak di sebuah daerah bernama Kiambu, kira-kira 16 kilometer dari Nairobi. Jika keadaan trafik baik, perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 30 minit dari pusat bandar.
Cara yang paling mudah untuk ke ladang kopi ini adalah dengan menggunakan Uber atau boda-boda, iaitu sejenis teksi motosikal yang anda boleh tahan di tepi jalan atau tempah menggunakan aplikasi dalam talian seperti Uber Boda dan Safe Boda.
Anda juga boleh menaiki bas dari Nairobi, tetapi cara ini agak melecehkan kerana anda masih perlu berjalan jauh dari perhentian bas ke ladang kopi tersebut.
Saya memilih untuk menaiki boda-boda, yang menyebabkan Susan, tuan punya ladang itu, terkejut besar. Katanya dia tidak pernah sekali-kali membenarkan anak-anaknya menaiki kenderaan itu.
Tapi bagi saya, jalan raya di Nairobi sebenarnya terasa lebih selamat daripada di negara jiran, Uganda. Bahkan semasa di Uganda juga, saya sering menaiki boda-boda.
Susan dan suaminya telah mengusahakan Ladang Kopi Mbumi selama lebih 20 tahun. Di situlah mereka membesarkan tiga orang anak mereka. Pada mulanya, hanya suaminya sahaja yang menguruskan operasi harian ladang kopi milik keluarga mereka itu, tetapi lama-kelamaan, Susan juga turut serta.
Kini, beliau membuka ladang kopi tersebut kepada orang ramai bagi membolehkan mereka mempelajari lebih lanjut tentang keunikan khazanah nasional Kenya.
Malangnya, Susan tidak berkesempatan untuk membawa saya bersiar-siar di ladang pada hari itu kerana perlu menjemput anak-anaknya dari sekolah. Jadi, beliau mengarahkan pembantunya, Stanley untuk mengambil alih.
Ladang Kopi
Kami tidak melawat ke seluruh ladang kerana kawasan itu berkeluasan hampir 150 ekar! Sebaliknya, Stanley membawa saya ke tapak semaian di mana anak-anak pokok ditanam. Beliau menerangkan tentang peringkat kematangan tumbuhan kopi sambil menceritakan sejarah dan latar belakang kopi Kenya.
Industri kopi Kenya menjana kira-kira AS$200 juta setahun, menjadikannya industri eksport ketiga terbesar di negara itu, selepas bunga dan teh.
Berbeza dengan pengeluar-pengeluar kopi yang lebih besar di Afrika, kopi yang dihasilkan di Kenya masih dipetik 100% menggunakan tangan untuk memastikan kualiti yang terbaik. Itulah sebab mengapa jumlah kopi yang dihasilkan adalah lebih sedikit, kerana mereka mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.
Stanley mengajar saya bagaimana membezakan antara buah kopi, ceri kopi, dan biji kopi. Kemudian, kami memetik beberapa biji kopi pada tahap kematangan yang berlainan untuk melihat perbezaannya.
Yang hijau dan muda mempunyai tekstur yang keras dan sangat susah untuk dikupas, manakala yang terlalu masak pula berwarna hitam, mudah dikupas tetapi sangat kering di dalam.
Saya terkejut apabila mengetahui bahawa biji kopi yang belum dipanggang sebenarnya berwarna putih. Teksturnya sedikit berlendir dan rasanya agak manis.
Kilang Kopi
Seterusnya, kami bergerak ke kilang kopi pula.
Sementara itu, yang merah pula diproses menggunakan ‘kaedah basah’, di mana buah kopi diasingkan mengikut ketumpatan di dalam air untuk tujuan penggredan. Buah kopi yang lebih berat dan berkualiti akan tenggelam ke dasar, manakala yang kurang padat akan terapung di permukaan.
Kemudian, ia akan disalirkan ke tangki penapaian, di mana ia akan dikopek, dan enzim semula jadi buah akan membersihkan lapisan berlendir yang mengelilingi biji kopi, lalu menghasilkan rasa kopi Kenya yang sangat unik. Peringkat penapaian ini biasanya tidak dilakukan di kebanyakan negara lain.
Walaupun kilang itu tidak beroperasi pada hari itu (kerana di luar musim puncak), Stanley menghidupkan beberapa mesin untuk menunjukkan kepada saya cara kerjanya.
Proses Memanggang Biji Kopi
Kilang itu bukan sahaja mengandungi mesin-mesin berat, tetapi juga menempatkan timbunan guni-guni berisi biji kopi pelbagai gred. Stanley mengambil segenggam biji kopi terbaik untuk saya panggang dan bawa pulang.
Untuk proses pemanggangan, kami perlu ke bilik pemanggangan yang terletak di sebelah pejabat mereka. Terdapat dua mesin pemanggangan — satu kecil dan satu berkelas industri. Oleh kerana kami hanya mahu memanggang jumlah yang kecil, kami menggunakan mesin yang lebih kecil.
Sebelum memulakan proses, Stanley meminta saya memilih sama ada panggangan sederhana atau panggangan gelap. Untuk panggangan gelap, kami perlu memanggang biji kopi lebih lama dan pada suhu yang lebih tinggi. Beliau menunjukkan contoh hasilnya seperti di bawah:
Pada mulanya, saya memilih panggangan gelap kerana warnanya yang lebih menarik dan baunya yang lebih aromatik.
Tetapi, Stanley menasihati sebaliknya. Disebabkan saya mahu biji kopi itu dikisar selepas dipanggang, panggangan sederhana adalah lebih baik. Menurut beliau, panggangan gelap adalah lebih sesuai untuk ‘whole beans‘, iaitu biji kopi yang tidak dikisar. Jika dikisar, ia akan kehilangan bau dan rasa dengan lebih cepat.
Maka, saya serahkan saja pada yang pakar.
Mengopi di Atas Bumbung
Sementara menunggu biji kopi yang dipanggang tadi sejuk, kami naik ke tingkat atas untuk minum petang.
Setibanya di sana, hidangan kuih-muih, buah-buahan dan seteko kopi sudah siap menanti kami.
Pemandangan ladang kopi dari tingkat atas ini begitu menakjubkan. Barulah kelihatan betapa luasnya Ladang Kopi Mbumi ini.
Setelah selesai, kami kembali ke bilik pemanggangan dan mengisar kopi untuk dibawa pulang.
Stanley membantu saya memanggil boda-boda untuk ke jalan besar. Dari sana, saya meneruskan perjalanan ke Nairobi dengan menaiki matatu (bas awam).
Akhir Kata
Sebenarnya, saya kurang gemar minuman yang mengandungi kafein. Kopi cenderung menyebabkan saya sakit kepala, kembung perut, dan palpitasi.
Tetapi, kadang-kadang apabila melancong ke luar negara, saya cuba juga. Tambahan pula, saya memang suka pengalaman interaktif seperti ini di mana anda boleh menambah ilmu secara hands-on dan imersif, bukan sekadar menonton dan mendengar sahaja. Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh membawa pulang biji kopi sebagai cenderahati untuk diri sendiri atau orang tersayang.
Jadi, jika anda berada di Nairobi, jangan lepaskan peluang untuk melawat Ladang Kopi Mbumi. Pastikan anda membawa kamera, kasut yang selesa, tabir suria, dan topi.
Pernahkah anda melawat ke mana-mana ladang kopi? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen di bawah.
Baca:
Pingback:Uncovering the Magic of Kenyan Coffee: A Coffee Farm Tour – Ummi Goes Where?