Bahasa Malaysia | English
Tips Pemilihan Destinasi Travel Solo Buat Kali Pertama
Jadi anda sudah buat keputusan untuk mengembara solo buat kali pertama?
Tahniah terlebih dahulu saya ucapkan!
Tak ramai yang berani untuk travel seorang diri, baik lelaki mahupun wanita. Jadi, tahniah kepada sesiapa yang mempunyai keberanian untuk mencuba.
Sama ada anda ingin mencubanya untuk sekali seumur hidup saja, ataupun ingin menjadikan travel solo ini suatu kebiasaan, pengalaman ini pastinya akan menjadi sesuatu yang amat berharga dalam hidup.
Tapi, apakah langkah pertama yang perlu anda ambil? Sudahkah anda memilih destinasi mana yang akan ditujui untuk pengembaraan solo pertama anda nanti?
Di sini saya kongsikan beberapa tip untuk memilih destinasi kembara solo pertama:
Table of Contents
1. Ikut Kata Hati Sendiri
Apa yang paling menarik tentang travel solo ialah kita tak perlu meminta persetujuan sesiapa untuk membuat pemilihan destinasi.
Jadi, ikut sajalah citarasa sendiri.
Anda suka membeli-belah?
Suka hiking dan aktiviti lasak?
Inginkan tempat yang menyeronokkan?
Atau tempat yang mendamaikan fikiran?
Tepuk dada, tanya selera. Jangan pilih sesuatu tempat itu hanya kerana ia tular dalam media sosial, walhal kita langsung tak meminatinya.
Saya pernah buat kesilapan tersebut semasa melancong ke Eropah buat kali pertama (tahun 2013), di mana saya memilih Paris sebagai destinasi saya, walaupun sebenarnya…
- Saya ingin lari dari kesibukan kota.
- Saya sangat-sangat tak meminati muzium, galeri seni lukis ataupun seni bina.
- Paris terkenal sebagai “Kota Cinta” sedangkan saya baru lepas putus cinta. Haha.
2. Ikut Kemampuan Kewangan
Bak kata orang, ukur baju di badan sendiri.
Tak salah simpan cita-cita tinggi, tapi apa guna mengimpikan untuk pergi ke Milan kalau bajet kita cuma cukup untuk Medan?
Jadi, jujurlah dengan diri sendiri, buat penilaian berapa bajet yang kita ada.
Kalau bajet cuma sedikit, cuba pilih negara-negara jiran yang kos sara hidupnya lebih rendah daripada negara kita. Contohnya Indonesia, Vietnam, Laos, dan Filipina.
Kalau tak cukup juga untuk beli tiket penerbangan, mulakan dengan bercuti dalam negara.
3. Pilih Yang Ada Persamaan Budaya
Sekali lagi, ini terpulang pada citarasa masing-masing. Kalau anda memang sudah lama menyimpan niat untuk merantau ke negara yang sangat jauh berbeza dengan tempat kita, tiada masalah.
Tapi sekiranya anda masih ragu-ragu atau kurang yakin dengan kemampuan diri, ada baiknya pilih destinasi yang lebih dekat atau yang ada persamaan budaya dan cara hidup dengan kita.
Nanti tidak la terlalu terkejut.
Untuk trip solo saya yang pertama (tahun 2010), saya memilih negara jiran terdekat kita, iaitu Singapura.
Sebab yang pertama adalah kerana saya tahu Singapura merupakan negara yang selamat, bersih, dan moden. Sebab yang kedua adalah kerana ia lebih kurang sama dengan Malaysia, dari segi makanan, bahasa, cuaca dan sebagainya.
4. Fikirkan Faktor Keselamatan
Memang betul bahaya itu ada di mana-mana. Bahkan di rumah sendiri pun sentiasa ada bahaya.
Tetapi ada juga negara yang memang terkenal dengan masalah jenayah, ketidakstabilan politik, pengganas, dan sebagainya.
Kalau boleh, elakkanlah tempat-tempat sebegini. Bukannya tidak boleh pergi langsung, tapi tunggulah sehingga anda lebih berpengalaman mengembara dan membawa diri di tempat orang.
Untuk trip pertama, pilih tempat yang mudah dan selamat terlebih dahulu.
5. Periksa Cuaca & Iklim
Kedua-dua faktor ini adalah amat penting dalam pemilihan destinasi. Tambah-tambah lagi untuk rakyat Malaysia yang sememangnya tidak biasa dengan iklim sejuk.
Bagi saya, bukan setakat salji, malah suhu pendingin hawa bawah 20 darjah Celsius juga saya kira terlalu dingin. Jika anda seperti saya, tanyalah diri sendiri — sanggupkan anda menahan sejuk di destinasi yang anda pilih?
Jika tidak, pilihlah negara beriklim tropika. Ataupun pergi pada musim panas.
Periksa suhu dan cuaca sebelum membeli tiket. Jika tiket penerbangan dijual terlalu murah berbanding harga biasa, jaga-jaga! Ada kemungkinan ia disebabkan low season, contohnya ketika negara tersebut mengalami musim hujan atau musim ribut taufan.
6. Pilih Destinasi Yang Tidak Memerlukan Visa
Visa ialah kebenaran untuk memasuki sesebuah negara. Berbeza dengan pasport, ya. Biasanya visa adalah dalam bentuk stiker yang akan ditampal pada salah satu mukasurat pasport kita.
Permohonan visa selalunya perlu dibuat sebelum berangkat ke negara tersebut, dan proses ini boleh memakan masa beberapa hari. Tapi ada juga visa yang diberikan on arrival iaitu sebaik tiba di negara tersebut.
Sesetengah permohonan visa boleh dibuat secara online, tapi ada juga yang lebih rumit sehingga memerlukan pemohon hadir ke kedutaan untuk ditemuduga.
Jadi, sebelum memilih destinasi, periksa dahulu sama ada negara yang anda ingin lawati itu mengenakan visa kepada rakyat Malaysia. Anda boleh periksa di laman web seperti Visahq.com.
Jika ingin mudah, pilih saja destinasi yang tidak memerlukan visa.
7. Kenalpasti Negara Yang Memerlukan Vaksinasi
Bukan vaksin Covid-19, ya! Yang itu semua orang patut ada.
Apa yang saya maksudkan ialah vaksinasi lain seperti:
- Demam kuning (Yellow fever)
- Hepatitis A
- Hepatitis B
- Demam taifoid / kepialu
- Rabies
- Demam Meningococcal
- Japanese encephalitis
- Malaria
Sesetengah negara (terutamanya di Afrika dan Amerika Selatan) mengalami penularan penyakit-penyakit di atas dengan agak serius, sehingga memerlukan semua pelancong antarabangsa mengambil suntikan vaksinasi sebelum dibenarkan masuk.
Proses pengambilan vaksin-vaksin ini juga boleh memakan masa yang agak lama kerana sebahagiannya memerlukan beberapa dos suntikan dalam jarak masa yang tertentu.
Untuk mengelakkan segala kesulitan ini, lebih baik pilih saja destinasi yang tidak memerlukan vaksinasi.
Klik sini untuk melihat senarai negara yang mewajibkan vaksinasi untuk pelancong.
8. Fikirkan Kemudahan Pengangkutan
Secara peribadi, saya lebih suka menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan tren, berbanding menyewa kereta atau mengupah pemandu persendirian.
Jadi, saya akan mengutamakan destinasi yang mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang komprehensif.
Di sesetengah kawasan pedalaman di Indonesia misalnya, pelancong tidak mempunyai pilihan lain selain menyewa kereta beserta pemandu sekali.
Jika anda pergi secara berkumpulan, maka bolehlah kos sewaan itu dikongsi beramai-ramai. Namun, jika anda pergi secara solo, ia akan menyebabkan kos perbelanjaan jauh lebih tinggi.
9. Periksa Tarikh Perayaan
Kadang-kadang, festival kebudayaan juga boleh menjadi faktor pemilihan destinasi.
Mungkin anda teringin menyaksikan perayaan Holi di India, misalnya. Atau sambutan pesta air di Thailand.
Jadi, anda boleh memilih destinasi dan tarikh percutian berdasarkan perayaan-perayaan tersebut.
Tapi, perlu diingat. Tempoh perayaan juga merupakan waktu puncak — seperti juga di negara kita, di mana tiket-tiket bas dan penerbangan sering habis ketika musim perayaan.
Akhir Kata
Sembilan perkara di atas ialah faktor-faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan destinasi pelancongan solo.
Jika ini kali pertama anda merancang percutian sendiri, saya sarankan untuk memilih destinasi yang mudah, iaitu yang tidak memerlukan visa, vaksinasi, dan sebagainya.
Apa pun, semuanya bergantung pada citarasa anda sendiri. Untuk pengembaraan solo buat kali pertama, sudah tentu anda ingin menjadikannya sesuatu yang istimewa.
Semoga tip-tip yang saya kongsikan kali ini dapat membantu anda membuat pilihan yang tepat.
Sudahkah anda bersedia untuk pengembaraan solo anda yang pertama? Di manakah destinasi pertama anda? Kongsikan di ruangan komen di bawah.
Pingback:How to Choose Your First Solo Destination – Ummi Goes Where?
Pingback:10 Sebab Kenapa Anda Perlu Pilih Singapura Sebagai Destinasi Solo Pertama – Ummi Goes Where?
Pingback:30+ Tip Keselamatan Untuk Pengembara Solo Wanita – Ummi Goes Where?