Menu Close

Bahasa Melayu | English

Aktiviti Unik di Nairobi - Eksplorasi Ibu Kota Bersama Anak Jalanan

Tiada siapa yang lebih mahir tentang selok-belok serta perit jerih kehidupan di kota melainkan anak-anak jalanan di kota itu sendiri.

NAI NAMI, yang membawa maksud “Nairobi Bersama Saya” adalah sebuah aktiviti eksplorasi secara berjalan kaki selama 3 jam di pusat bandar Nairobi. Program ini diasaskan pada tahun 2016 oleh Gianmarco Marinello dan Sriram Damodaran yang mengorbankan kerjaya masing-masing untuk mencipta perubahan sosial di Nairobi.

Mereka melatih belia dari kawasan setinggan untuk menjadi pemandu pelancong, lalu membolehkan mereka mempunyai pekerjaan, pendapatan yang stabil, dan peluang untuk berinteraksi dengan masyarakat dari seluruh dunia.

Bermula bulan Januari 2019, Nai Nami Tour telah mula dikendalikan dan dimiliki sepenuhnya oleh para belia itu sendiri.

Cara Membuat Tempahan

Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi atau laman web Airbnb, sekurang-kurangnya 24 jam sebelum. Pada musim puncak (Jun-September), anda mungkin perlu membuat tempahan sebulan lebih awal.

Tempahan juga boleh dibuat melalui laman web rasmi mereka dan beberapa lagi platform dalam talian.

Powered by GetYourGuide

Pengalaman Mengikuti Nai Nami Tour

Para peserta diminta berkumpul di hadapan Hotel Hilton, yang terletak di City Hall-Way, berhampiran perhentian bas Kencom.

Pada hari itu, terdapat enam orang pemandu pelancong dan cuma tiga orang peserta termasuk saya. Setiap peserta diberikan seorang pemandu pelancong untuk memudahkan komunikasi. Tiga pemandu pelancong yang lain turut berjalan bersama-sama.

Kesemua mereka mempunyai nama gelaran masing-masing. Pemandu saya dipanggil Typhoon.

Bersama Typhoon.

Pengisian Program

Aktiviti ini tidak seperti tour pelancongan yang biasa, di mana peserta akan dibawa melihat tempat-tempat tumpuan pelancong dan mengambil gambar.

Sebaliknya, ia lebih kepada dialog dan penceritaan. Pemandu-pemandu pelancong ini akan menunjukkan tempat tinggal mereka, jalan-jalan dan lorong yang selalu mereka lalui, stesen keretapi, pasar Kariakor, dan tempat-tempat lain yang anda mungkin tidak akan kunjungi sendiri.

Menurut mereka, di sinilah keluarga Barack Obama pernah menetap.
Pusat bandar Nairobi adalah sebuah tempat yang penuh dengan kesibukan kota. Setiap jalan mempunyai cerita dan rahsianya tersendiri. Semuanya akan anda pelajari semasa lawatan ini.
 
Jika anda ingin membeli sesuatu di pasar, pemandu pelancong anda juga boleh membantu dalam proses tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang terbaik.

Pada penghujung program, kami singgah di sebuah warung untuk makan tengah hari (sila sediakan wang tunai yang mencukupi kerana anda mungkin perlu membayar untuk pemandu-pemandu pelancong sekali).

Sesudah makan, mereka menemani saya ke stesen bas, di mana saya akan meneruskan perjalanan ke Kampala, Uganda. Sambil itu, mereka sempat juga melayan kerenah saya yang ingin mencuba jajanan yang dijual di tepi jalan, termasuk daun khat yang sering dikunyah oleh masyarakat tempatan seperti daun sirih.

 Snek tepi jalan.
Daun khat

Info Tambahan

  • Peserta dikehendaki membawa pasport (original atau salinan muka hadapan dan muka surat yang mengandungi visa). Di Kenya, anda harus sentiasa bersedia kerana pihak polis boleh melakukan pemeriksaan secara rambang pada bila-bila masa.
  • Jangan bawa DSLR atau sebarang kamera yang besar. Mengikut undang-undang negara Kenya, mengambil gambar di tempat awam adalah satu kesalahan. Anda boleh menggunakan kamera telefon bimbit, tetapi sila tanya pemandu pelancong anda terlebih dahulu. Mereka akan memberitahu anda bila masa yang sesuai untuk mengambil gambar.
  • Cuaca di Nairobi sukar untuk diramal. Bawa payung, baju hujan, atau jaket nipis.
  • Pakai kasut yang selesa, dan bukan selipar atau kasut tumit tinggi.

Akhir Kata

Lawatan ini membuka mata saya kepada realiti kehidupan yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini. Ia bukan sahaja memberikan saya perspektif baharu tentang Nairobi, tetapi juga tentang kekuatan dan ketabahan manusia.

Saya sangat mengesyorkan pengalaman ini kepada sesiapa yang ingin melihat Nairobi dari sisi yang berbeza serta berkenalan dengan mereka yang mempunyai kisah hidup yang luar biasa.

Dengan menyertai aktiviti ini, anda bukan sahaja akan menerima pengalaman yang tidak ternilai, malah juga dapat membantu remaja-remaja yang kurang bernasib baik, agar mereka terus bermotivasi untuk mencipta masa depan yang lebih cerah.

Satu lagi gambar bersama Typhoon

Adakah anda ingin/pernah menyertai aktiviti seperti ini? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.

Posted in BM

Related Posts

1 Comment

  1. Pingback:Exploring Nairobi While Empowering Slum Kids Through This Walking Tour – Ummi Goes Where?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Verified by MonsterInsights