Menu Close
Safari Murah di Kenya

Bahasa Melayu | English

Safari Murah Mampu Milik di Masai Mara, Kenya

Mengikuti safari di Afrika memang menjadi impian ramai orang. Bayangkan, berdepan dengan singa, gajah, dan zirafah dalam habitat semula jadi mereka – memang macam dalam filem! Tapi, bila tengok harga pakej safari, terus rasa macam impian tu jauh sangat. Jangan risau, sebenarnya ada cara untuk nikmati safari bajet tanpa perlu belanja besar.

Dalam artikel ni, saya akan kongsikan pengalaman saya mengikuti safari bajet di Masai Mara, Kenya dengan hanya USD300 (RM1400) untuk 3 hari 2 malam pakej serba lengkap. Apa lagi, jom!

Pada bulan Oktober 2019, saya telah mengikuti safari selama 3 hari 2 malam di Masai Mara.

Kenapa saya pilih Masai Mara?

Sebab filem The Lion King. Serius.

Masai Mara bukanlah tempat yang paling murah di Afrika untuk safari, tapi selepas menonton filem itu, saya jadi terlampau minat, sampai hampir obsesi (siap beli merchandise Simba). Jadi, saya membuat keputusan untuk melawat sama ada Serengeti atau Masai Mara, dua tempat yang menjadi inspirasi latar filem tersebut.

Masai Mara dan Serengeti sebenarnya adalah taman yang sama yang terletak di sempadan Kenya dan Tanzania. Bahagian di Kenya dipanggil Masai Mara dan bahagian di Tanzania dipanggil Serengeti. Oleh sebab safari di Tanzania lebih mahal daripada di Kenya, jadi saya pilih Masai Mara.

Cara Untuk ke Masai Mara

Taman Nasional Masai Mara terletak kira-kira 270 kilometer dari ibu kota Kenya, iaitu Nairobi. Perjalanan darat dari Nairobi ke Masai Mara boleh mengambil masa sekitar 4 – 5 jam. Salah satu cara adalah dengan menyewa kereta dan memandu sendiri ke taman nasional tersebut.

Bagi yang tidak mahu menghabiskan masa dalam perjalanan, anda boleh terbang terus dari Nairobi ke Masai Mara dengan menggunakan pesawat ringan. Disebabkan terdapat banyak lapangan terbang kecil di Masai Mara, sesebuah pesawat itu mungkin akan terbang ke beberapa destinasi sekali gus — seolah-olah seperti sistem bas henti-henti!

Namun, cara ini pastilah bukan pilihan yang paling murah. Bagi pelancong yang ingin berjimat, kebanyakannya akan menempah pakej safari yang sudah termasuk pengangkutan darat dari Nairobi.

Landskap

Taman Nasional Masai Mara adalah sebuah kawasan savana yang terdiri daripada 370,000 ekar padang rumput. Kawasan meragut yang luas ini menjadikannya tempat yang ideal untuk menyaksikan haiwan pemakan rumput serta pemangsa mereka.

Masai Mara, Kenya
Foto: Danijel Mihajlovic / Wikimedia Commons

Beratus-ratus tahun dahulu, haiwan-haiwan yang besar dan berat seperti gajah telah meratakan tanah kawasan ini, lalu mengubah bentuk muka buminya dari sebuah hutan kepada sebuah kawasan savana. Namun begitu, ia masih lagi mempunyai rumpunan pokok dan sungai yang bermusim.

Perkataan ‘mara’ sebenarnya membawa maksud ‘bertompok’ dalam bahasa Maa — bahasa yang dituturkan oleh orang Maasai, yang merupakan penduduk asal di kawasan ini. Ia merujuk kepada rupa bentuk taman savana ini yang dipenuhi dengan tompokan pokok akasia, lekukan tanah, dan kawah.

Di taman nasional ini, anda berpeluang untuk melihat gajah, kerbau, kuda belang, zirafah, dubuk, dan spesies-spesies kucing besar seperti singa, harimau bintang, dan citah. Tetapi yang tarikan yang paling popular adalah Migrasi Wildebeest yang berlaku antara bulan Julai hingga November setiap tahun.

Waktu Terbaik Untuk Mengikuti Safari di Kenya

Satu-satunya masa yang patut dielakkan adalah semasa musim hujan panjang di Kenya iaitu sekitar April hingga Jun. Pada waktu ini, sesetengah kem safari mungkin ditutup.

Selain daripada itu, tidak ada satu ‘masa yang terbaik’ untuk pergi. Disebabkan kewujudan hidupan liar yang pelbagai, pasti ada sesuatu yang menarik untuk dilihat di Masai Mara sepanjang tahun.

Oleh itu, pemilihan waktu untuk mengikuti safari di Masai Mara bergantung sepenuhnya kepada jadual peribadi anda, bajet, dan apa yang anda ingin lihat dan alami.

Waktu Puncak

  • Bila? Julai hingga Oktober
  • Musim: Musim luruh dan musim sejuk
  • Cuaca: Sejuk tanpa hujan
  • Migrasi wildebeest? Ya
  • Landskap: Kering dan berdebu
  • Tarikan utama: Migrasi wildebeest

Waktu Luar Puncak

  • Bila? Disember hingga April
  • Musim: Musim bunga dan musim panas
  • Cuaca: Panas dengan hujan pada waktu petang
  • Migrasi wildebeest? Tiada
  • Landskap: Lembap dan hijau
  • Tarikan utama: Burung yang bermigrasi dan musim melahirkan anak bagi haiwan-haiwan di savana

Barang-barang Yang Perlu Dibawa

Bawa saja apa yang biasa dibawa semasa percutian, seperti pasport, dompet, telefon, earphone, adapter antarabangsa, barang mandian dan lain-lain, tetapi yang paling penting:

  • Topi – Anda akan berada di luar hampir sepanjang hari. Walaupun kenderaan yang anda naiki mungkin mempunyai bumbung, matahari masih boleh memancar terus ke arah anda melalui tingkap.
  • Tabir suria
  • Kaca mata hitam
  • Kamera yang bagus – Kamera telefon mungkin tidak dapat menunjukkan keindahan Masai Mara dengan sempurna, kecuali jika ia mempunyai zoom optik. Terdapat sesetengah haiwan yang tidak dapat didekati kerana mereka bahaya atau pemalu. Tambahan pula, kenderaan safari tidak dibenarkan keluar daripada laluan yang telah ditetapkan.
  • Binokular (dengan kuasa magnifikasi sekurang-kurangnya 8x).
binoculars for safari
Foto: BijayBasnet24 / Wikimedia Commons
  • Ubat-ubatan – Di kawasan savana, tidak ada kedai atau farmasi yang berdekatan. Pastikan anda membawa keperluan peribadi seperti ubat-ubatan, tuala wanita, semburan pencegah serangga, dan sebagainya.
  • Tisu tandas – Anda akan berada di tengah-tengah savana hampir sepanjang hari. Jika perlu menggunakan tandas, sama ada suka atau tidak, anda perlu melakukannya di dalam semak. Jadi, tisu tandas atau tisu basah adalah amat penting. Kebanyakan pengendali safari ada menyediakan tisu tandas, tetapi jumlahnya mungkin agak terhad.
  • Beg kecil – Untuk membawa kesemua barang di atas semasa safari.

Pakaian Yang Sesuai Untuk Safari

Sesetengah kem dan penginapan di savana ada menyediakan perkhidmatan dobi, jadi, anda tidak perlu membawa pakaian yang banyak. Semak dengan ejen pelancongan anda sama ada perkhidmatan dobi ada disediakan di kem anda.

Selain itu, tanyakan juga tentang keadaan cuaca semasa. Ini akan sangat membantu anda dalam memilih apa yang perlu dibawa. Sesetengah tempat boleh menjadi sangat sejuk pada musim sejuk, jadi anda mungkin memerlukan sarung tangan, skaf, jaket tebal, dan topi bulu. Sesetengah tempat pula mungkin panas pada waktu siang tetapi mengalami perubahan suhu yang mendadak selepas matahari terbenam.

File:Safari-Jacket.JPG
Foto: FrankWilliams / en.wikipedia
 
Berikut adalah panduan asas untuk memilih pakaian untuk dibawa:
  1. Kasual dan selesa – Sama ada pakaian, pakaian dalam, atau kasut, utamakan keselesaan daripada gaya. Ingat — anda akan memakai pakaian yang sama sepanjang hari (dan mungkin sehingga ke malam). Jenis fabrik yang cepat kering adalah pilihan yang baik.
  2. Pakai secara berlapis –Apabila anda melawat tempat dengan suhu yang berubah-ubah, elakkan daripada membawa baju yang terlalu tebal. Sebaliknya, bawa beberapa helai baju yang lebih nipis — supaya anda boleh memakainya secara berlapis atau menanggalkannya mengikut kesesuaian cuaca.
  3. Pakai warna-warna neutral – Ada sebab mengapa kebanyakan peserta safari memakai pakaian berwarna khaki. Warna khaki, beige, dan kelabu adalah warna terbaik untuk dipakai semasa safari kerana warna-warna gelap seperti hitam dan biru gelap dikatakan akan mengundang nyamuk dan lalat tse tse Afrika. Warna merah pula akan menarik perhatian haiwan pemangsa kerana mereka mengaitkan warna merah dengan haiwan yang cedera. Manakala putih bukanlah warna yang sesuai dipakai kerana kawasan savana yang berdebu.
  4. Berikut adalah barang-barang yang harus ada dalam senarai semak safari anda:
    • T-shirt, kemeja, atau blaus longgar. Lengan panjang dan kolar boleh membantu melindungi anda daripada nyamuk dan panahan matahari.
    • Seluar panjang atau pendek
    • Baju renang sekiranya kem anda mempunyai kolam renang
    • Pakaian smart casual sekiranya pakej anda ada menyediakan makan malam di hotel
    • Topi / bandanna
    • Kasut atau sandal yang selesa months
    • Stokin
    • Baju sejuk (bergantung pada cuaca)
    • Pakaian dalam

Berapakah Kos Safari di Afrika?

Sekarang kita sampai ke soalan yang paling penting: berapa harganya?

Harga safari sangat berbeza antara satu sama lain. Ia bergantung pada:

  • Lokasi – Safari di negara-negara Afrika Timur umumnya lebih mahal daripada yang di selatan. Bahkan dalam satu wilayah yang sama, harga boleh berbeza dari satu negara ke negara yang lain. Sebagai contoh, Tanzania lebih mahal daripada Kenya dan Uganda. Begitu juga, dalam negara yang sama, harga masih boleh berbeza dari satu taman ke taman nasional yang lain.
  • Musim – Melancong di luar waktu puncak ialah cara yang bijak untuk menjimatkan wang. Pengunjung tidak ramai, dan pakej safari cenderung menjadi lebih murah. Mengikuti safari semasa musim hujan tidaklah begitu teruk sebenarnya. Malah, anda mungkin mendapat gambar yang lebih unik dan menarik. 
  • Tempoh – Tempoh safari adalah berbeza-beza bergantung bajet dan keinginan anda. Ada yang merasakan tempoh satu minggu terlalu singkat dan ada pula yang merasakan satu hari sudah mencukupi. Semakin lama tempohnya, semakin murah bayaran per hari, tetapi kos keseluruhan masih akan lebih tinggi.
  • Persendirian atau berkumpulan – Sudah tentulah safari secara berkumpulan adalah jauh lebih murah daripada secara persendirian. Semakin ramai ahli kumpulan, semakin kurang jumlah yang perlu dibayar setiap orang.
  • Jenis penginapan – Terdapat pelbagai jenis penginapan yang tersedia, dari khemah yang perlu dikongsi, sehinggalah suite bulan madu.
  • Aktiviti – Sesetengah pakej safari juga turut menyertakan aktiviti-aktiviti lain seperti lawatan ke kampung-kampung, makan malam dengan cahaya lilin, rawatan spa, menaiki belon udara panas, dan sebagainya.

Safari mewah bertaraf 5 bintang pada waktu puncak boleh mencecah harga $1,500 setiap orang untuk satu malam.

Tetapi seperti kebiasaan, saya akan cuba mencari tawaran yang paling murah. Selepas berhari-hari mencari di internet, akhirnya saya menemui pakej safari yang sesuai dengan bajet saya.

Malvic Tours & Safaris

Saya menemui Malvic Tours & Safaris dalam aplikasi Couchsurfing semasa mencari seseorang yang boleh menyediakan tempat tinggal untuk saya di Nairobi. Syarikat pelancongan tersebut dimiliki oleh pasangan adik-beradik: Cecelia dan Victor, kedua-duanya merupakan hos Couchsurfing.

Harga yang ditawarkan untuk safari 3 hari 2 malam pada ketika itu hanyalah USD300, termasuk penginapan, makanan, pengangkutan, dan lain-lain. Saya bukan sahaja mendapat tawaran yang hebat, malah juga mendapat tempat tinggal untuk dua malam (sebelum dan selepas safari) secara percuma!

Nak tahu apa itu Couchsurfing? Tonton video ini:

Pengalaman Safari di Masai Mara, Kenya

Hari Pertama

Pada pukul 6 pagi, saya dan Victor bertolak dari rumah ke pusat bandar Nairobi dengan menaiki bas. Menggunakan pengangkutan awam di Nairobi adalah satu pengalaman yang cukup menarik. 

Ini bas ya, bukan kelab malam!

Pertama sekali, saya dibawa ke pejabat mereka terlebih dahulu untuk membuat pembayaran. Setelah selesai, barulah saya diperkenalkan kepada pemandu pelancong dan ahli-ahli kumpulan yang lain. Termasuk saya, ada 6 orang semuanya.

Apabila semua sudah sedia, kami bertolak pada pukul 8 pagi. Dalam perjalanan, kami sempat singgah di sebuah viewpoint untuk melihat keindahan Great Rift Valley. Keluasannya mencecah  9,600 kilometer dari Mozambique sehingga ke Laut Merah (Red Sea).

Rift Valley East Africa | Ummi Goes Where?
The Great Rift Valley.

Rift Valley East Africa | Ummi Goes Where?

Untuk makan tengah hari, kami dihidangkan dengan nasi dan bufet lauk-pauk tradisional Afrika. Untuk makluman, makanan di sini kebanyakannya menggunakan daging lembu, dan rasanya sesuai dengan selera Asia. Tapi kalau was-was dengan status halalnya, boleh periksa dulu dengan ejen pelancongan anda. Atau boleh juga minta hidangan vegetarian.

Kenya safari buffet | Ummi Goes Where?

Budget Safari Masai Mara Kenya | Ummi Goes Where?
Nasi, kentang, daging, dan sayur. Makanan di Afrika Timur amat sesuai dengan selera saya!

Selepas makan tengah hari, kami meneruskan perjalanan ke tempat penginapan. Sewaktu daftar masuk, kami diberikan kunci, tuala, air minuman, dan tisu tandas.

My roommate in Masai Mara safari camp | Ummi Goes Where?
My roommate (Mata) and me

Rakan sebilik saya adalah seorang wanita dari Nairobi bernama Mata.

Bilik kami berdindingkan tarpaulin seperti khemah, tetapi di dalamnya sangat luas sehingga boleh memuatkan empat buah katil, lampu, kipas, soket elektrik, dan bilik mandi yang dilengkapi tandas duduk, sinki dan pancuran air panas!

Walaupun terdapat empat katil, kami hanya berkongsi dua orang sahaja kerana tiada pengunjung lain yang datang secara solo. Semuanya berpasangan, jadi mereka semua ditempatkan di bilik double.

Kami diberi masa selama dua jam untuk mandi dan berehat, sebelum membuat lawatan pertama ke savana. Safari yang sebenar akan bermula esok. Hari ini cuma sneak peek sahaja.

Kira-kira pukul 3 petang, kami memulakan perjalanan ke Rizab Nasional Masai Mara. Bumbung van kami boleh ditinggikan. Jadi, tidak susah untuk menikmati pemandangan dan mengambil gambar. Ketinggiannya juga membolehkan kami berdiri dengan selesa.

Dalam jarak hanya beberapa ratus meter dari pintu masuk, kami sudah dapat melihat haiwan-haiwan liar seperti kuda belang, gazel, dan zirafah. Rasa seperti tidak percaya dapat melihat haiwan-haiwan ini secara dekat di habitat semula jadi mereka, dan bukan terkurung di zoo.

budget safari masai Mara Kenya | Ummi Goes Where?

Kami terpaksa bergerak meninggalkan savana sebelum pukul 5 petang, jika tidak, pemandu akan dikenakan denda. Walau apa pun, dalam masa hanya dua jam, kami berjaya melihat hampir kesemua spesies haiwan pemakan rumput di savana, iaitu zirafah, kuda belang, gazel, gajah, dan wildebeest. Satu pencapaian yang agak membanggakan!

Hari Kedua

Kami diarahkan untuk bangun awal pada hari kedua untuk mengejar matahari terbit. Selepas mandi dan sarapan, kami bertolak sebelum jam 7.

Haiwan pertama yang kami jumpa pada hari itu ialah zirafah yang sedang menikmati sarapan pagi.

Giraffe Budget safari Masai Mara Kenya | Ummi Goes Where?

Tidak lama selepas itu, barulah kami dapat melihat spesies-spesies kucing besar yang tidak muncul semalam. Terdapat beberapa ekor citah sedang berjemur di bawah matahari pagi. Mereka kelihatan tidak takut langsung dengan kenderaan kami.

Cheetah Budget safari Masai Mara Kenya | Ummi Goes Where?

Kemudian, terserempak pula dengan ‘Pumba’ yang sibuk membuat hal sendiri:

Pumba in Masai Mara safari

Dan tak lupa juga Simba yang sedang bermalasan:

Lion in Masai Mara

Namun, perkara yang paling tidak dapat dilupakan adalah menyaksikan dua ekor singa betina yang memburu, membunuh, dan kemudian memakan seekor anak babi hutan. Bunyi tulang yang patah, dan isi perut yang terburai di rumput. Memang bukan untuk mereka yang lemah semangat.

Pemandu-pemandu safari bekerja sebagai satu pasukan dan sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain melalui walkie-talkie. Sesiapa yang ternampak sesuatu yang menarik akan memberitahu yang lain, dan semua akan bergegas ke lokasinya.

Untuk makan tengah hari, kami berkelah di tengah-tengah padang rumput dengan buah-buahan dan sandwic yang telah dibekalkan.

Masai Mara safari picnic | Ummi Goes Where?
Lunch picnic in the savanna.

Sebelum pulang ke penginapan, kami melawat ke sungai di mana migrasi wildebeest berlaku setiap tahun. Semasa lawatan kami, tidak ada seekor pun wildebeest di situ. Cuma ada badak air yang sedang berendam.

Hippos in Mara River | Ummi Goes Where?
Can you see the hippos?

Hari Ketiga

Pada hari ketiga, kami dibenarkan bangun lambat. Mereka yang berminat boleh melawat kampung tradisional Masai (yang terletak betul-betul di sebelah kem kami) dengan bayaran tambahan sebanyak USD10.

Kami disambut dengan tarian tradisional. Orang Masai, terutamanya lelaki, dilatih untuk melompat tinggi. Semakin tinggi seorang lelaki melompat, semakin sedikit hantaran yang perlu dibayar ketika meminang seorang gadis.

Selepas itu, kami dibawa melawat ke tempat tinggal mereka, untuk menyaksikan bagaimana mereka menjalani gaya hidup nomadik dalam rumah-rumah yang dibuat daripada lumpur dan najis haiwan.

Apa yang menariknya, semua rumah di kampung Masai dibina oleh wanita. Tugas lelaki adalah pergi berburu. Remaja-remaja lelaki sering dihantar seorang diri ke hutan savana untuk membunuh singa dan membawa pulang gigi singa sebagai ritual simbolik untuk melangkah ke alam dewasa. Gigi-gigi itu kemudian dijadikan kalung untuk dipakai atau dijual kepada pengunjung. 

Traditional Masai village market | Ummi Goes Where?
Traditional Masai village market.

Setelah selesai dengan lawatan, kami memulakan perjalanan pulang ke Nairobi. Lebih kurang pukul 5 petang, kami tiba di ibu kota itu dan dihantar ke penginapan masing-masing.

Akhir Kata

Masai Mara safari transportAdakah saya berpuas hati dengan Malvic Tours & Safaris?

Ya. Dalam pengembaraan saya, harga selalu menjadi keutamaan. Jika tidak, sudah tentu saya tidak mampu untuk sampai sejauh ini.

Tetapi, kadang-kadang harga yang murah bermaksud servis yang teruk dan hasil yang kurang memuaskan.

Namun, walaupun harga yang ditawarkannya antara yang termurah di pasaran, Malvic Tours & Safaris tidak mengecewakan. Saya mendapat segala yang diiklankan tanpa sebarang kos tersembunyi.

Bahkan, teman sebilik saya, Mata, yang menempah dengan syarikat lain, terpaksa membayar lebih banyak untuk perkhidmatan yang sama.

Anda boleh menghubungi Victor & Cecelia melalui aplikasi Couchsurfing, laman web atau halaman Facebook mereka, seperti yang dinyatakan di atas.

Adakah 3 hari 2 malam mencukupi?

budget safari in Masai Mara Kenya | Ummi Goes Where?

Ya, bagi saya, ia lebih daripada cukup. Jika dilanjutkan lagi, mungkin saya akan berasa penat dan bosan.

Tidak dinafikan, melihat haiwan-haiwan liar secara dekat untuk kali pertama memang sangat mengujakan. Rasa kagum dan tidak percaya.

Tetapi lama-kelamaan keghairahan itu akan semakin pudar. Dalam sehari saja, kami berjaya melihat empat dari lima haiwan “The Big Five”, iaitu singa, gajah, harimau bintang, dan kerbau (satu lagi yang tidak berjaya dijumpai ialah badak sumbu, yang merupakan spesies terancam dan jarang dapat dilihat).

Safari yang lebih lama mungkin sesuai untuk jurugambar profesional, penyelidik, atau peminat tegar haiwan liar. Jika tidak, saya rasa 3 hari 2 malam sudah mencukupi.

Tips Tambahan

Sekarang anda sudah tahu bagaimana cara menempah safari dan apa yang perlu dibawa, berikut adalah beberapa tips lain yang mungkin berguna:

  • Sebelum anda pergi, periksa dahulu dengan ejen pelancongan mengenai vaksinasi atau ubat yang perlu diambil. Ada sesetengah tempat yang memerlukan pil malaria dan ada yang tidak. Ia juga bergantung kepada musim. Saya tidak perlu mengambil pil malaria untuk Masai Mara pada bulan Oktober kerana ia merupakan musim kering.
  • Jangan impikan yang indah-indah saja. Ada kalanya, mengikuti safari ini sesuatu yang memenatkan. Anda terpaksa duduk di dalam van selama berjam-jam, dalam cuaca yang panas dan jalan yang tidak rata.
  • Sentiasa bersikap positif dan fleksibel. Alam semula jadi tidak dapat diramalkan. Ada hari yang mungkin agak sukar untuk menemui sebarang haiwan, dan anda mungkin terpaksa meronda di kawasan yang sama berulang-ulang kali sementara menunggu mereka muncul.
  • Amalkan sikap bertimbang rasa. Jika anda menyertai safari secara berkumpulan, bertimbang rasalah dengan ahli-ahli kumpulan yang lain. Sentiasa tepati masa. Jangan disebabkan anda bangun lambat atau bersiap terlalu lama, orang lain juga terpaksa menanggung akibatnya.
  • Patuhi peraturan dan arahan pemandu. Jangan cuba mendekati mana-mana haiwan, walaupun anda rasa ia comel. Pastikan tangan dan kamera anda tidak keluar dari tingkap apabila ada haiwan liar berhampiran. Jangan cuba menarik perhatian mereka dengan membuat bunyi-bunyi tertentu, kerana ini mungkin akan menakutkan mereka atau membuat mereka bertindak agresif.

Ini adalah salah satu contoh kelakuan yang patut dielakkan semasa safari:

  • Jangan sesekali keluar dari kem bersendirian pada waktu malam, walaupun dalam kawasan berpagar.
  • Jangan malu untuk bertanya soalan. Pemandu safari biasanya sangat berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam bidang ini. Jadi, ambil kesempatan untuk mempelajari sebanyak mungkin tentang haiwan dan landskap yang anda lihat sepanjang safari.
  • Jika anda ingin menyaksikan migrasi wildebeest, pastikan anda menempah safari anda jauh lebih awal, sekurang-kurangnya 6-9 bulan sebelum. Fenomena migrasi wildebest ini adalah tarikan utama di Masai Mara dan Serengeti, maka kem-kem biasanya akan habis ditempah lebih awal. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa agak mustahil untuk meramalkan secara tepat tarikh fenomena ini akan berlaku, kerana ia tidak semestinya mengikut jadual atau laluan yang sama setiap tahun. Jadi, pergilah dengan minda yang positif dan harapkan yang terbaik saja.
File:Wildebeest Migration Masai mara.jpg
Foto: Nature Exploration Safaris / Wikimedia Commons
  • Ambil gambar dan video sebanyak mungkin, terutamanya adegan-adegan yang unik seperti haiwan dengan anak-anak mereka, haiwan sedang berburu, atau haiwan sedang mengawan! Sebaik sahaja anda nampak sesuatu yang menarik, jangan berlengah, kerana peluang yang sama mungkin tidak akan berulang lagi. Lebih baik pulang dengan terlalu banyak gambar daripada terlalu sedikit.
  • Alam semula jadi tidak selalunya indah. Anda mungkin akan melihat perkara-perkara yang kurang menyenangkan, seperti haiwan yang cedera, kelaparan, atau dibunuh oleh pemangsa. Safari bukan untuk orang yang lemah semangat.
  • Pastikan anda minum air dengan banyak. Berada di savana sepanjang hari boleh menyebabkan dehidrasi jika tidak berwaspada.

Pernahkah anda mengikuti safari di Afrika? Ceritakan pengalaman anda di ruangan komen di bawah.

Posted in BM

Related Posts

1 Comment

  1. Pingback:How to Go on a Budget Safari in Kenya (for Only $300!) – Ummi Goes Where?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Verified by MonsterInsights