Bahasa Malaysia | English
Tip Travel Bajet Paling Penting Yang Anda Perlu Tahu
Bagi anda yang mengenali saya secara peribadi atau yang telah lama mengikuti blog saya, pasti sedia maklum yang saya merupakan seorang budget traveler yang agak hardcore, terutamanya sewaktu saya mula berjinak-jinak dengan kembara solo lebih sepuluh tahun lalu.
Pernah pada tahun 2013, saya melancong ke Eropah selama 2 minggu dan menjelajah empat negara, dengan hanya berbekalkan RM1,000 dalam poket!
Sekarang, walaupun saya lebih berkemampuan untuk berbelanja lebih, saya masih cuba mengekalkan kos perbelanjaan di tahap yang paling rendah.
Mungkin ada tertanya-tanya bagaimana saya menjimatkan wang semasa travel.
Apa rahsia saya sebenarnya?
Adakah saya pakar dalam mendapatkan tiket penerbangan murah?
Atau hotel percuma?
Tidak.
Walaupun kedua-dua yang disebutkan di atas sudah semestinya dapat membantu dalam mengurangkan kos percutian, ada satu lagi rahsia yang lebih penting tetapi ramai yang terlepas pandang, kerana sering dianggap remeh.
Rahsia tersebut adalah…
“PACKING LIGHT”
Dalam erti kata lain, tidak membawa banyak barang semasa travel.
Biasanya untuk percutian beberapa minggu, saya cuma akan membawa sebuah beg galas berkapasiti tidak lebih 20L dan sebuah beg silang kecil. Lihat contoh di bawah:
2018. Dua minggu di Eropah dan Siberia (Kuala Lumpur – Berlin – Vilnius – Riga – Liepaja – Tallinn – St. Petersburg – Moscow – Irkutsk – Beijing – Kuala Lumpur)
2019. Tiga minggu di Eropah Timur (Tanzania, Kenya, Uganda, and Rwanda)
Mengapa saya katakan “packing light” ini merupakan tip paling penting untuk menjimatkan wang semasa travel?
Teruskan membaca.
NOTA: Artikel ini adalah untuk mereka yang benar-benar serius ingin belajar cara-cara travel secara bajet. Bagi yang lebih mengutamakan keselesaan dan kemewahan, artikel ini mungkin tidak sesuai untuk anda.
Table of Contents
4 Cara Bagaimana"Packing Light" Dapat Menjimatkan Wang
1. Menaiki Penerbangan Tambang Murah
Suatu ketika dulu, sebelum wujudnya syarikat-syarikat penerbangan tambang murah, hanya orang-orang berada saja yang mampu menaiki kapal terbang.
Tapi sekarang semuanya sudah berubah. Bak kata Air Asia, semua orang boleh terbang. Malah, ada kalanya menaiki kapal terbang lebih murah daripada menaiki bas atau tren.
Contohnya di Eropah, kita boleh terbang dari satu negara ke negara yang lain dengan harga tiket serendah 10 euro (lebih kurang RM50), sedangkan harga tiket kereta api boleh menjangkau sehingga empat atau lima kali ganda lebih mahal.
Menarik, bukan?
Tapi…
Ada syaratnya.
Kebanyakan syarikat penerbangan tambang murah mengenakan syarat yang sangat ketat terhadap saiz bagasi yang boleh dibawa ke dalam kabin.
Ryan Air di Eropah misalnya, hanya membenarkan beg bersaiz tidak lebih daripada 40 cm x 20 cm x 25 cm. Jika anda didapati membawa beg melebihi saiz yang ditetapkan, anda boleh dikenakan denda yang mungkin berpuluh kali ganda lebih mahal daripada harga tiket.
Jika anda ingin meletakkan bagasi di ruangan kargo pula, anda akan dikenakan caj tambahan.
Jadi, untuk menjimatkan wang dengan cara menaiki penerbangan tambang murah, pastikan anda tidak membawa beg besar atau barang yang banyak semasa travel!
2. Menginap di Hostel
Menginap di hostel dapat menjimatkan banyak wang berbanding hotel, terutamanya di negara-negara yang mempunyai kos sara hidup yang tinggi seperti di Singapura, Jepun, atau negara-negara Skandinavia.
Jika anda bercuti bersama teman, boleh juga anda berkongsi untuk membayar duit hotel. Tetapi jika anda travel berseorangan, anda terpaksa menanggung semua kos itu sendiri.
Oleh itu, hostel adalah pilihan yang bijak bagi pengembara solo yang ingin travel secara bajet.
Walau bagaimanapun, disebabkan anda terpaksa berkongsi dorm dengan orang lain (kadang-kadang sehingga 14 orang dalam satu bilik), anda hanya akan mempunyai ruang yang sedikit untuk meletakkan barang-barang.
Sekiranya anda membawa beg besar dan barang yang banyak, ia akan menyusahkan diri anda dan orang lain, di samping meningkatkan risiko berlakunya kecurian.
Walaupun sesetengah hotel ada menyediakan loker penyimpanan barang, biasanya loker ini bersaiz kecil, sekadar untuk menyimpan barang-barang berharga.
Lagipun, biasanya hostel tidak menyediakan kemudahan lif. Bayangkan jika anda terpaksa mengangkut beg troli anda yang besar dan berat itu menaiki tangga ke tingkat empat.
3. Menaiki Pengangkutan Awam
Jika anda membawa beg troli yang besar, anda mungkin tiada pilihan lain selain menaiki teksi atau menyewa kereta untuk ke mana-mana. Dan rasanya semua orang tahu bahawa teksi bukanlah pilihan yang ideal jika ingin menjimatkan wang.
Cara yang paling murah untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat adalah dengan menggunakan pengangkutan awam, seperti bas, kereta api, tuk tuk, teksi motosikal, dan lain-lain.
Walaupun kebanyakan bas ekspres ada menyediakan ruang penyimpanan barang dalam perut bas, secara peribadi saya tidak selesa meninggalkan beg di situ, kerana terdapat banyak kes kecurian melibatkan penumpang lain atau pemandu / konduktor bas itu sendiri.
Dengan membawa beg kecil, saya dapat menaiki pengangkutan awam dengan lebih selesa. Malah, jika jarak perjalanan tidak terlalu jauh, mungkin saya akan berjalan kaki atau menaiki basikal saja.
Pada tahun 2019, saya berjalan kaki sejauh 240 kilometer dari Portugal ke Sepanyol. Rasanya itu pasti mustahil jika saya membawa barang yang banyak.
4. Anda Tidak Perlu Membayar Kos Penyimpanan Barang
Katakanlah waktu penerbangan pulang anda adalah pada pukul 10 malam. Tetapi anda perlu check out dari hotel sebelum jam 12 tengah hari. Tentu anda tidak mahu menunggu selama 10 jam di lapangan terbang, bukan?
Anda boleh menggunakan masa tersebut untuk berjalan-jalan atau mungkin mencari sedikit cenderamata untuk dibawa pulang.
Masalahnya, di mana anda mahu tinggalkan bagasi anda? Takkan hendak diangkut ke hulu ke hilir sepanjang hari. Apatah lagi kalau beg yang berat.
Maka, anda terpaksa mencari loker penyimpanan barang. Perkhidmatan ini tentulah berbayar. Dan semakin besar loker yang ingin disewa, semakin tinggilah harganya.
Atau anda mungkin boleh meninggalkan bagasi anda di kaunter resepsi hotel. Itu pun kalau dibenarkan.
Bagaimana jika tiada tempat untuk menyimpan barang? Adakah anda sanggup membayar sewa bilik untuk satu malam lagi semata-mata untuk meninggalkan barang?
Lagi Manfaat "Packing Light"
1. Ia Tidak Menarik Perhatian Pencuri
Apabila anda membawa beg besar dan barang yang banyak, ia seolah-olah memberitahu penjenayah tiga perkara:
- Anda seorang pelancong (maka senang ditipu).
- Anda mempunyai banyak wang dan barang untuk dicuri.
- Anda tidak boleh bergerak dengan pantas, dan tidak mungkin dapat mengejar mereka sekiranya mereka melarikan dompet anda.
Dengan membawa barang yang banyak, anda telah menjadikan diri anda target mudah untuk penjenayah.
2. Memudahkan Proses Mengemas
Semasa travel, saya biasanya tidak statik di satu destinasi saja. Saya akan bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain, dari satu penginapan ke penginapan yang lain.
Dengan tidak membawa barang yang banyak, ia memudahkan saya mengemas barang setiap kali hendak berpindah ke penginapan seterusnya, dan juga mengelakkan ada barang yang tertinggal atau hilang. Lebih banyak barang yang dibawa, lebih banyaklah kebarangkalian untuk ada barang yang hilang.
3. Kebebasan Untuk Bergerak
Membawa barang yang sedikit memudahkan saya untuk bergerak ke lebih banyak tempat dan melakukan lebih banyak aktiviti tanpa perlu memikirkan di mana mahu meninggalkan beg.
4. Lebih Ruang Untuk Cenderamata
Bagi yang suka membeli-belah, anda boleh menggunakan ruang kosong di dalam beg anda untuk menyimpan barang-barang yang baru dibeli.
Jika anda telah membawa barang yang banyak dari rumah, mungkin anda akan berfikir dua kali untuk membeli apa-apa kerana tiada ruang untuk menyimpannya atau bimbang melebihi had berat bagasi yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan.
Akhir Kata
“Packing light” mungkin kedengaran seperti isu yang sangat remeh bagi kebanyakan orang. Tetapi, jelas sekali ia mempunyai banyak manfaat dan memainkan peranan penting dalam penjimatan wang semasa travel.
Jadi, jika anda benar-benar ingin menjadi seorang budget traveler, latihlah diri anda untuk mengurangkan muatan bagasi yang dibawa.
Selamat mengembara!
Adakah “packing light” sesuatu yang sukar bagi anda? Kongsikan pendapat di ruangan komen di bawah.
Pingback:#1 Secret to Traveling Cheap – It’s Probably Not What You Think – Ummi Goes Where?
Pingback:30+ Tip Keselamatan Untuk Pengembara Solo Wanita – Ummi Goes Where?