Menu Close

Bahasa Malaysia | English

Menginap di Rumah Pohon Nusa Penida Bali Indonesia

Nusa Penida adalah sebuah pulau kecil yang terletak berdekatan dengan Bali, Indonesia. Sejak beberapa tahun lepas, nama pulau ini semakin viral dan melonjak naik di media sosial kerana keindahan landskapnya yang begitu memukau.

Salah satu perkara yang paling ikonik di pulau ini ialah penginapan ‘rumah pohon’, iaitu chalet atau rumah tumpangan yang terletak di atas pokok!

Di Nusa Penida terdapat beberapa pilihan rumah pohon untuk percutian anda. Yang paling terkenal ialah Rumah Pohon Molenteng. Terletak di sebelah timur berhampiran Pulau Seribu (Thousand Island) dan Pulau Atuh, ia dikatakan paling cantik berbanding yang lain kerana lokasinya di tepi pantai. Tidak hairanlah ramai influencer di media sosial gemar berkongsi gambar rumah pohon ini.

Rumah Pohon Molenteng
Rumah Pohon Molenteng. Sumber: Agoda

Sebenarnya, sewaktu merancang untuk ke pulau ini, saya cuma membuat pembacaan secara ala kadar sahaja dan tidak tahu bahawa terdapat lebih daripada satu rumah pohon di Nusa Penida. Tambahan pula, semasa menempah penginapan di Booking.com, saya telah menaip “Rumah Pohon” dan hanya satu saja hasil carian yang terpapar. Maka, saya menyangka itulah Rumah Pohon Molenteng.

Rupa-rupanya, rumah pohon yang saya tempah itu terletak jauh di dalam hutan, iaitu di Jalan Petinggian, dan langsung tidak serupa dengan apa yang saya bayangkan. Walau apa pun, ia turut mempunyai keunikannya sendiri serta menawarkan pengalaman yang tidak kurang menyeronokkan.

Selain daripada Rumah Pohon Molenteng dan Jalan Petinggian, ada beberapa lagi rumah pohon yang boleh anda pilih:

Cara Menempah Rumah Pohon di Nusa Penida

Rumah Pohon Molenteng hanya boleh ditempah di Agoda. Memandangkan cuma ada 3 unit rumah sahaja yang tersedia, pastikan anda menempah seawal mungkin.

Sementara itu, Penida Bambu Green Tree House pula hanya boleh ditempah melalui Airbnb.

Tiga rumah pohon yang lain boleh ditempah melalui Booking.com. Taip ‘Rumah Pohon’ atau klik pautan di bawah:

Cara Untuk ke Rumah Pohon Jalan Petinggian

Nusa Penida tidak mempunyai bas atau pengangkutan awamnya sendiri, jadi cara yang paling mudah untuk bergerak ialah dengan menyewa skuter atau kereta (boleh pilih sama ada mahu pandu sendiri atau upah pemandu). Terdapat banyak kedai sewa kereta/motor berdekatan dengan jeti.

Jika memilih untuk memandu sendiri, pastikan anda seorang pemandu yang betul-betul cekap. Jalan di Nusa Penida kebanyakannya sempit, curam, berbatu, dan berlubang-lubang.

Baca: Kelas Memandu Skuter di Bali (Sesuai Untuk Pemula)

Saya dan rakan agak beruntung kerana bertemu dengan seorang lagi pelancong Malaysia yang bersetuju untuk berkongsi kereta sewa dengan pemandu. Kami bertiga sempat melawat beberapa tempat menarik di pulau tersebut sebelum berpecah ke penginapan masing-masing.

Perjalanan ke rumah pohon kami agak jauh dan melalui jalan yang berbukit-bukau di tengah-tengah hutan. Kemudian, kami diturunkan di tepi jalan saja (di tempat letak kereta). Untuk ke rumah pohon, kami perlu hiking sedikit.

Jangan bimbang, jalan untuk ke rumah pohon itu memang dikelilingi dengan pokok-pokok, tapi ia bukan hutan tebal. Ada papan tanda yang menunjukkan arah, jadi anda tak mungkin akan sesat. Semasa turun dari kereta, kami disambut dengan dua ekor anjing yang datang untuk menunjukkan jalan. (Mereka sangat friendly, tapi bagi yang takut anjing, mungkin tak sesuai menginap di sini).

Black and white dogs. One sniffing someone's extended hand
Penyambut tetamu yang sangat peramah

Pengalaman di Rumah Pohon Jalan Petinggian

Daftar Masuk

Rumah Pohon Nusa Penida reception
Penyambut tetamu yang mengiringi kami sehingga ke rumah pohon.
Sepanjang kami di sana, cuma ada seorang sahaja kakitangan yang menjaga rumah pohon tersebut, iaitu seorang lelaki separuh umur bernama Pak Wayan. Beliaulah yang menerima tetamu, membersihkan kawasan, menjaga keselamatan, dan juga menyediakan makan minum. Saya kurang pasti sama ada beliau juga merupakan pemilik penginapan itu.
 
Selepas daftar masuk, kami dihidangkan dengan minuman teh ais percuma sebagai tanda selamat datang. Terasa sungguh menyegarkan setelah hampir seharian berpanasan di bawah matahari terik. Kemudian, Pak Wayan membawa kami ke bilik.
 

Bilik

Terdapat beberapa buah rumah pohon di kawasan itu. Ada yang tinggi dan ada yang rendah, bergantung pada ketinggian pokok dan kedudukan dahan. Rumah pohon kami adalah yang kedua tertinggi, terletak bersebelahan dengan bilik mandi.

Di bahagian bawah tangga, terdapat pagar kayu untuk mengelakkan anjing atau haiwan lain masuk. Dan di atas pula, ada sebuah anjung kecil dengan bangku untuk beristirehat sambil melihat pemandangan laut. Ya, walaupun lokasinya di dalam hutan yang jauh dari pantai, rumah pohon kami cukup tinggi, lantas membolehkan kami menikmati panorama laut dari tingkap dan balkoni.

Bilik kami serba ringkas, cuma dilengkapi dengan katil, bantal, bantal peluk, selimut, tuala, meja,  kipas elektrik, cermin dan sebuah rak untuk meletak barang.

Rumah Pohon Nusa Penida

Cuma ada sebiji mentol sahaja yang menerangi keseluruhan bilik, dan kipasnya juga bersaiz comel. Secara jujur, memang terasa agak bahang pada waktu siang, walaupun pintu dan tingkap telah dibuka. Mujurlah kami sampai sewaktu hari sudah petang dan matahari sudah mulai redup sedikit.

Table fan on a table with orange background
Kipas comel.

Kelambu tidak disediakan di dalam rumah pohon ini, tapi yang peliknya kami tidak pula diserang nyamuk. Mungkin kami cuma bernasib baik. Bagi yang sering diganggu nyamuk atau serangga, saya sarankan bawa krim atau semburan penghalau serangga.

Rumah Pohon Jalan Petinggian Nusa Penida
 Rumah pohon kami.
Rumah Pohon Nusa Penida
Pemandangan laut melalui tingkap.

Jika bilik terlalu panas pada waktu siang, anda boleh keluar ke balkoni atau turun bersantai di ruangan resepsi yang juga merupakan tempat makan. Berhampiran ruangan tersebut juga terdapat sebuah kawasan lapang yang diletakkan beberapa hammock. Tapi kelihatannya seperti sudah lama tidak digunakan dan telah menjadi tempat semut membuat sarang.

Rumah Pohon Nusa Penida
Balkoni dengan pemandangan hutan dan laut.

Sejurus sebelum matahari terbenam, saya memanjat naik ke rumah pohon yang paling tinggi. Rumahnya kecil sahaja dan lebih usang, mungkin bukan untuk disewakan. Tetapi menurut Pak Wayan, di situlah tempat terbaik untuk melihat matahari terbenam.

A rickety treehouse
Rumah pohon usang.

Rumah Pohon Nusa Penida

Rumah Pohon Nusa Penida

Sebaik sahaja matahari terbenam, suasana bertukar gelap dengan begitu cepat. Maklum sahajalah di dalam hutan, tidak banyak pencahayaan. Cahaya yang ada cuma di ruang resepsi, bilik air dan di dalam rumah-rumah pohon, itu pun hanya sebiji mentol kecil setiap satu. Kerana tiada apa lagi yang boleh dibuat, selepas makan malam kami terus masuk ke bilik dan mematikan lampu untuk tidur.

Tiba-tiba kami terdengar satu bunyi yang aneh. Bunyi mencicit yang agak kuat. Bila diamati, di hujung-hujungnya seakan bunyi mengilai.

Kami percaya ia sejenis bunyi binatang, tapi kami ini orang bandar yang jarang masuk hutan. Memang tak pernah mendengar bunyi serupa itu sebelum ini. Adakah ia burung hantu? Katak? Kodok? Monyet?

Atau…

Adakah itu bunyi pontianak?

Bunyi itu kedengaran jelas, seolah-olah dekat dengan kami. Datangnya dari arah bumbung.

Perlahan-lahan kami menjengukkan kepala dari bawah selimut sambil menyuluh dengan lampu dari telefon bimbit.

Dan di suatu sudut, di atas siling yang rendah itu, makhluk itu memperlihatkan dirinya. Matanya yang besar dan bulat memandang tepat ke arah kami. Badannya berbelang dan bertompok.

Itu kali pertama kami melihat secara dekat cicak tokek, atau dalam bahasa Inggerisnya Tokay gecko (boleh cari di YouTube untuk mendengar bagaimana bunyinya). Saiznya mungkin 5 kali lebih besar dari cicak yang biasa dilihat di rumah.

Terus terang, kami berdua memang penakut. Ditambah pula perasaan geli/fobia terhadap reptilia. Sekali lagi, kami bersembunyi di bawah selimut dan berbincang sesama sendiri. Adakah cicak ini berbahaya? Adakah kami patut buat tak endah saja? Atau patutkah kami menjerit meminta tolong?

Kami buat keputusan untuk tidur sahaja. Walaupun panas, kami tetap berselimut sampai ke kepala. Dalam hati, masing-masing berdoa supaya cicak itu tidak terjatuh ke atas katil. Tak tahulah bagaimana kami boleh terlelap juga akhirnya.

Apabila jam saya berdering keesokan harinya, cicak itu sudah tiada.

Sunrise on Nusa Penida
Pemandangan matahari terbit dari balkoni kami.

Kemudahan

Bilik mandi dan tandas kongsi terletak di bahagian bawah, bersebelahan rumah pohon kami. Tahap kebersihan memuaskan, tapi pastikan anda membawa barang mandian sendiri kerana sabun dan syampu tidak disediakan.

Walaupun tempat ini menyediakan WiFi percuma dan isyaratnya cukup kuat, tetapi sewaktu kami di sana, ia tidak memiliki akses internet.

Selain itu, rumah pohon ini juga menyediakan perkhidmatan sewa motor dan pakej lawatan ke tempat-tempat menarik sekitar Nusa Penida.

Makanan

Harga bilik sudah termasuk dengan makan malam dan sarapan pagi. Untuk makan malam, kami dihidangkan dengan sebungkus nasi goreng dengan ayam, telur dan keropok goreng.

Dinner at Rumah Pohon Nusa Penida
Hidangan makan malam di Rumah Pohon.

Untuk sarapan pagi pula, terdapat beberapa pilihan roti, biskut dan mi segera. Minuman kopi dan teh tersedia sepanjang hari di ruangan resepsi secara layan diri.

Breakfast at Rumah Pohon Nusa Penida
Sarapan pagi di rumah pohon.

Jika anda seperti saya yang sentiasa mahu mengunyah sesuatu, sila beli snek sebelum datang, kerana tiada kedai yang berhampiran. Pastikan makanan disimpan dengan baik, supaya tidak menarik perhatian serangga. Atau cicak.

Daftar Keluar

Selepas check out, Pak Wayan ada satu kejutan untuk kami. Rupanya kami tidak perlu berjalan kaki semula untuk ke jalan besar. Sebaliknya, kami boleh menaiki zipline sahaja secara percuma. Menarik, bukan?

Rumah Pohon Nusa Penida zipline
Menunggu giliran untuk menaiki zipline.

Pemandu ojek (teksi motosikal) kami yang telah ditempah lebih awal, sudah menunggu di seberang untuk membawa kami ke jeti. Kami bakal meneruskan perjalanan ke Nusa Lembongan.

Akhir Kata

Perlu diingat bahawa rumah pohon ini bukanlah sejenis penginapan glamping yang serba mewah dan selesa. Jadi, janganlah datang dengan mengharapkan kemewahan seperti pendingin udara, katil empuk, tab mandi, TV plasma dan sebagainya.

Sebaliknya, konsep back-to-basics di sini amat sesuai bagi mereka yang mencintai kehijauan alam semula jadi dan ingin lari dari kesibukan kota. Bagi kami yang seumur hidup tidak pernah memanjat pokok, apatah lagi tidur di atas pokok, ia merupakan pengalaman yang sangat unik sekali.

Rumah Pohon Jalan Petinggian vs Molenteng

Berbeza dengan Rumah Pohon Molenteng yang lebih popular, Rumah Pohon Jalan Petinggian menawarkan suasana yang lebih aman dan lebih privasi. Harganya juga jauh lebih murah.

Saya ada terbaca perkongsian seorang blogger, yang mengatakan beliau berasa terganggu di Rumah Pohon Molenteng, kerana ramai pelancong yang dengan sesuka hati sahaja naik ke balkoni beliau untuk mengambil gambar.

~ ~ ~

Walaupun saya amat berpuas hati dengan pengalaman di Rumah Pohon Jalan Petinggian ini, namun apa yang paling menambat hati saya adalah layanan yang diberikan oleh pemilik/penjaga rumah pohon ini, iaitu Pak Wayan.

Rumah Pohon Nusa Penida
Bersama Pak Wayan.

Baik hati dan berbudi bahasa, beliau benar-benar mengambil berat tentang keselesaan tetamu-tetamu yang datang menginap di rumah pohon ini. Jika anda membaca reviu-reviu di Booking.com, rata-ratanya memuji layanan yang diberikan oleh beliau.

Temui Pak Wayan dengan membuat tempahan di sini.

“Rumah Pohon” Tree House (Jalan Petinggian)

Alamat: Jalan Petinggian, Nusapenida, Kutampi Kaler, Nusapenida, Kabupaten Klungkung, Bali 80771, Indonesia 

Telefon: +62 857-3764-8050

Pernahkah anda menginap di rumah pohon? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen di bawah.

Posted in BM

Related Posts

1 Comment

  1. Pingback:Staying at “Rumah Pohon” Tree House in Nusa Penida, Bali – Ummi Goes Where?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Verified by MonsterInsights