Menu Close

Bahasa Melayuย | English

Fakta Menarik tentang Masjid Agung Sultan Qaboos, Muscat, Oman

Masjid Agung Sultan Qaboos, atau juga dikenali sebagai Masjid Agung Muscat, ialah masjid yang terbesar dan teragung di negara Oman, dan juga merupakan antara masjid yang tercantik di dunia.

Menampilkan mozaik indah dan ukiran terperinci di keseluruhan permukaannya, masjid diraja ini merupakan sebuah seni bina Islam moden yang benar-benar megah dan menjadikannya antara tarikan yang mesti dilawati apabila berkunjung ke kota Muscat.

Lokasinya yang berhampiran dengan lapangan terbang (sekitar 15 minit perjalanan menaiki kereta) memudahkan pelancong untuk melawatinya sekalipun hanya transit untuk seketika sahaja di Muscat.

Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai Masjid Agung Sultan Qaboos yang anda perlu ketahui sebelum melawat:

Masjid Agung Sultan Qaboos. Foto: Richard Bartz / Wikimedia Commons

1. Masjid ini merupakan hadiah daripada Sultan kepada rakyatnya

Masjid Agung Muscat iniย telah dirasmikan pada 4 Mei 2001 oleh Sultan Qaboos bin Said Al Said sendiri, sebagai hadiah kepada rakyat sempena ulang tahun ketiga pemerintahan baginda.

Pada waktu kemangkatannya, sultan yang dikagumi itu merupakan pemimpin yang paling lama berkhidmat di Timur Tengah dan dunia Arab. Baginda juga merupakan individu yang telah membuka jalan bagi Oman untuk menjadi sebuah negara moden seperti hari ini.

Sepanjang pemerintahan baginda, Sultan Qaboos telah memerintahkan pembinaan 50 buah masjid, tetapi masjid ini adalah yang terbesar dan terindah.

2. Pembinaan masjid ini memakan masa 6 tahun

Selepas mengadakan pertandingan senibina pada tahun 1993 untuk mencari reka bentuk terbaik, struktur ikonik megah ini mengambil masa enam tahun dan tujuh bulan untuk disiapkan, menggunakan jumlah keseluruhan 300,000 tan batu pasir merah jambu yang diimport dari India, serta granit tempatan dan marmar putih.

Menggabungkan gaya senibina Islam, Timur Tengah, dan Oman, ia mempunyai dewan solat utama berbentuk segi empat, kubah pusat setinggi 50 meter, dan 5 menara yang mewakili 5 rukun Islam.

3. Masjid ini adalah yang terbesar di Oman

Masjid Agung Sultan Qaboos ini meliputi keluasan yang mencecah 416,000 meter persegi (102 ekar), menjadikannya masjid terbesar di Oman.

Ia mempunyai kapasiti untuk memuatkan 20,000 jemaah pada satu-satu masa โ€” 6,500 di dewan solat utama, 750 di dewan solat wanita, 8,000 di kawasan luar berbatu dalam taman, dan yang lainnya di ruangan koridor.

4. Ia juga merupakan bangunan tertinggi di Oman

Foto: Paasikivi / Wikimedia Commons

Berbeza dengan negara-negara jiran seperti Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu yang terkenal dengan bangunan-bangunan pencakar langit, gaya seni bina Oman masih mengekalkan reka bentuk tradisional yang lebih bersederhana.

Sebagai sebuah negara yang mengutamakan nilai-nilai keagamaan, Oman memilih untuk menjadikan Masjid Agung sebagai fokus perhatian dan struktur tertinggi di negara ini.

Menara utama masjid itu mempunyai ketinggian 91.5 meter, manakala empat menara lain mencapai ketinggian 45 meter. Kelima-lima menara ini melambangkan lima rukun Islam.

5. Ia pernah memiliki lampu chandelier terbesar di dunia

Foto: Safa.daneshvar / Wikimedia Commons

Pada awal pembukaannya, masjid ini memiliki lampu chandelier terbesar di dunia.

Terletak di tengah-tengah dewan solat lelaki, chandelier buatan Itali ini memiliki ketinggian 14 meter dan beratnya 8,500 kilogram. Bingkainya disadur dengan emas 24 karat dan dihiasi dengan 600,000 kristal Swarovski serta memuatkan 1,122 biji mentol.

Ia mengambil masa lebih daripada empat tahun untuk disiapkan dan merupakan chandelier terbesar di dunia sehingga chandelier Reflective Flow di Qatar merebut gelaran tersebut pada tahun 2010.

6. Ia pernah memiliki permaidani terbesar di dunia

Masjid Agung Muscat bukan sahaja pernah memiliki chandelier terbesar di dunia, ia turut mempunyai permaidani terbesar dunia.

Karpet Persia yang ditenun tangan menutupi lantai dewan solat utama, dengan 1,700 juta simpulan, berukuran 60 x 70 meter, berat 21 tan, dan dihasilkan oleh 600 tukang tenun Iran dalam masa 4 tahun.

Sebanyak 28 warna berbeza daripada pewarna semula jadi digunakan dalam tenunan tersebut, menggabungkan tradisi reka bentuk klasik Parsi, Isfahan, dan Kashan.

Ia merupakan karpet tenunan tangan terbesar di dunia sehingga Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi meraih gelaran tersebut.

7. Ia dihiasi dengan ukiran dan mozek

Masjid Agung Sultan Qaboos hampir keseluruhannya dilitupi dengan hiasan mozek yang rumit serta corak geometri dan bunga yang berwarna-warni. Kesemuanya dibuat dengan teliti secara manual.

Terukir pada setiap pintu dan tiang adalah kalimah-kalimah suci Al-Quran yang berketebalan 2 sentimeter bagi memastikan ukiran tersebut kekal selagi mana masjid ini teguh berdiri.

8. Ia merupakan pusat ilmu

Di samping dewan solat, masjid ini juga mempunyai sebuah dewan kuliah dan sebuah perpustakaan dua tingkat, yang menonjolkan peranannya sebagai pusat sumber ilmu di seluruh dunia Islam.

Dewan kuliah yang mempunyai kapasiti untuk 300 orang sering menjadi tempat berlangsungnya pelbagai acara yang terbuka kepada orang ramai. Banyak acara dijalankan dalam Bahasa Inggeris oleh sarjana Muslim dan bukan Muslim bagi mempromosikan dialog antara agama.

Perpustakaan pula mempunyai lebih daripada 20,000 buku rujukan mengenai budaya Islam, sains, seni halus, falsafah, dan psikologi. Kebanyakan koleksi adalah dalam Bahasa Arab, tetapi terdapat juga pilihan buku-buku dalam Bahasa Inggeris.

9. Ia adalah satu-satunya masjid di Oman yang menerima pelawat bukan Muslim

Masjid Agung Sultan Qaboos adalah satu-satunya masjid di Oman yang membenarkan kunjungan daripada pelawat-pelawat bukan Muslim, dengan syarat mereka menjaga adab dan mematuhi segala peraturan masjid.

10. Ia telah dipilih sebagai salah satu masjid tercantik dunia

Pada tahun 2015, Masjid Agung Sultan Qaboos telah disenaraikan dalam akhbar utama UK “The Telegraph” sebagai salah satu daripada 25 masjid paling indah di dunia.

Cara Untuk ke Masjid Agung Sultan Qaboos

Dari Lapangan Terbang

Masjid Agung Sultan Qaboos hanya berjarak 12.5 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat dan perjalanan akan mengambil masa kira-kira 15 minit dalam keadaan trafik biasa.

Cara paling mudah untuk melawat adalah dengan menggunakan kenderaan sendiri. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan teksi dari lapangan terbang atau dari mana-mana lokasi di Muscat.

Beberapa laluan bas (A1, 1, 8 & 12) juga mempunyai laluan yang lalu berhampiran masjid. Stesen terdekat ke Masjid Agung Sultan Qaboos adalah hentian bas Al Maha, yang berjarak 13 minit berjalan kaki.

Semak laluan bas, jadual waktu, dan tambang di sini.

Sebagai alternatif, anda juga boleh menyertai tour seperti di bawah:

Waktu Operasi Sultan Qaboos

Masjid Agung Sultan Qaboos dibuka dari jam 4 pagi hingga 9:30 malam, tetapi pengunjung bukan Muslim hanya dibenarkan melawat masjid dari jam 8:00 pagi hingga 11:00 pagi sahaja setiap hari kecuali Jumaat.

Di luar waktu ini, anda masih dibenarkan untuk melawat dan mengambil gambar, tetapi hanya di luar bangunan sahaja, bukan di dewan solat, melainkan untuk menunaikan solat. Saya dan rakan yang juga seorang Muslim telah pergi pada kira-kira jam 3 petang dan kami tidak dibenarkan melihat dewan solat utama.

Etika Berpakaian di Masjid Agung Sultan Qaboos

Semua pengunjung diwajibkan mematuhi etika berpakaian apabila melawat Masjid Agung Muscat.

Lelaki dilarang memakai seluar pendek atau baju tanpa lengan, manakala wanita pula harus berpakaian longgar dan labuh, serta bertudung

Jika anda tiada pakaian yang sesuai, kafe dan kedai cenderamata di pintu masuk masjid ada menyewakan abaya tradisional dan selendang.

Semua pelawat harus membuka kasut ketika masuk ke ruangan solat. Rak kasut disediakan di pintu masuk.

Tips & Info Tambahan

  • Kemasukan adalahย percuma.
  • Kanak-kanak bawah 10 tahunย tidak dibenarkan masuk ke ruang solat.
  • Penggunaanย telefon bimbit tidak digalakkan.
  • Makan, minum, atau tidur di dalam masjid adalah dilarang.
  • Disebabkan waktu lawatan yang terhad, masjid ini menjadi agak sesak terutamana sekitar pukul 10 pagi apabila kebanyakan kumpulan lawatan tiba. Jika ingin melawat pada waktu pagi, adalah lebih baik untuk tiba awal sebelum jam 10.
  • Laman web rasmi masjid ini ada menyediakan ‘lawatan maya‘, sama ada dengan menggunakan headset realiti maya (VR), atau tidak.

Apakah masjid tercantik yang pernah anda lawati? Kongsikan di ruangan komen di bawah.

Posted in BM

Related Posts

1 Comment

  1. Pingback:Visiting Sultan Qaboos Grand Mosque, Muscat – A Quick Guide – Ummi Goes Where?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Verified by MonsterInsights