Menu Close

EnglishBahasa Melayu

Melawat Tokong Ular Pulau Pinang

Terletak lebih kurang tiga kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, tokong ular ini dibina untuk memperingati seorang sami Buddha yang terkenal di Fujian, China suatu ketika dulu.

Beliau yang bernama Chor Soo Kong dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri, iaitu mampu mengubati penyakit dan memanggil hujan. Beliau mulai disanjung oleh masyarakat setempat setelah berjaya menamatkan musim kemarau teruk di sana. Sepanjang hayatnya juga, sami Buddha ini dikatakan sering memberikan tempat tinggal dan perlindungan kepada ular-ular liar yang dipercayai menjadi anak muridnya.

Menurut legenda, setelah Tokong Ular Pulau Pinang siap dibina pada era 1800-an, beberapa ekor ular kapak telah muncul secara tiba-tiba dan mula berumah di situ.

Cara Untuk ke Tokong Ular Pulau Pinang

Foto: Khalzuri Yazid / Wikimedia Commons

Untuk pergi ke Tokong Ular ini mudah saja. Bagi yang tidak memiliki kenderaan sendiri, anda boleh menaiki Grab/teksibas shuttle percuma, atau menyewa kereta. Jika anda memandu dari Georgetown, ikut saja tanda arah ke Bayan Lepas dan lapangan terbang.

Tokong tersebut terletak cuma 10 kilometer (25 minit perjalanan) dari bandar Georgetown. Terdapat tempat letak kereta percuma di luar perkarangan tokong.

Waktu Operasi Tokong Ular Pulau Pinang

09:00 – 17:30 setiap hari.

Caj Masuk Tokong Ular Pulau Pinang

  • Tokong: Percuma
  • Ladang Ular: RM5 (Dewasa) / RM3 (Kanak-kanak)

Pengalaman Melawat Tokong Ular Pulau Pinang

Walaupun namanya agak menggerunkan, tokong ular ini sebenarnya tidaklah sedahsyat yang disangka. Tiada ular-ular yang berkeliaran di merata tempat atau bersembunyi di sudut-sudut sambil menanti mangsa.

Sebaliknya, semua ular di situ berada dalam keadaan tidak aktif dan kebanyakannya tidur di rak-rak khas yang telah disediakan

Menurut penjaga tokong berkenaan, ular-ular di situ bersifat nokturnal dan cuma aktif pada waktu malam. Selain itu, tokong itu juga sentiasa diharumkan dengan asap colok yang dikatakan mampu menidurkan ular.

‘Rak ular’

Sebagai langkah keselamatan, tanda amaran ada diletakkan di beberapa tempat untuk mengingatkan pengunjung supaya tidak menyentuh atau mengganggu ular-ular di situ.

Di satu penjuru, terdapat sebuah bilik kecil di mana anda boleh bergambar dengan ular sawa dan ular kapak yang telah dibuang bisanya. Ular-ular ini telah dijinakkan sehingga kanak-kanak pun ramai yang mengambil gambar bersama mereka.

Caj yang dikenakan untuk mengambil sekeping gambar ialah RM30 (RM40 untuk dua keping). Saya berjaya menawar dan mendapatkan satu keping gambar dengan harga RM20. Walaupun pekerja di sana ada menyediakan kamera profesional, mereka turut boleh membantu anda mengambil gambar menggunakan telefon sendiri supaya anda mempunyai salinan digital untuk dibawa pulang.

Antara tarikan-tarikan lain yang ada di Tokong Ular Pulau Pinang ialah sebuah loceng seberat hampir 300 kilogram yang dibawa khas dari China pada zaman Dinasti Manchuria. dua buah telaga dan sebuah ladang ular yang menempatkan lebih 50 spesis ular.

Akhir Kata

Walaupun saya sebenarnya agak geli dengan apa jua jenis reptilia, bagi saya tokong ini tidaklah terlalu menakutkan atau menggelikan. Kalau ada ‘tokong cicak’ atau ‘tokong biawak’, mungkin saya tak berani langsung untuk menjejakkan kaki.

Pengalaman yang saya kira paling menarik di tokong ini ialah melilitkan ular sawa di tengkuk. Pada hari yang sama, saya telah mencuba cabaran tali (rope-course challenge) tertinggi dunia di Komtar. Jadi, dalam masa satu hari, saya bukan sahaja telah berjaya mengatasi rasa takut pada ketinggian, tetapi juga rasa takut pada ular sawa.

Walau bagaimanapun, saya masih tidak berani untuk bergambar bersama ular kapak kerana ia kelihatan jauh lebih aktif dan banyak bergerak berbanding si sawa.

Lain kalilah!

Tokong Ular Pulau Pinang

Alamat: Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas Industrial Park, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Telefon: 04-643 7273

Pernahkah anda melawat Tokong Ular Pulau Pinang? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen di bawah.

Posted in BM

Related Posts

1 Comment

  1. Pingback:Hug a Python at Penang Snake Temple – Ummi Around Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *