Menu Close

Bahasa Malaysia | English

Padi Box, Sekinchan - Hotel Unik di Tengah Sawah

Bagi mereka yang dilahirkan dan dibesarkan di kampung, mungkin akan berasa pelik apabila mendengar ada orang yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk tidur di sawah padi.

Tapi itulah hakikatnya. Kalau saya sanggup terbang beribu batu untuk tidur di dalam kandang lembu di Switzerland, apalah sangat setakat menaiki kereta beberapa jam untuk ke Sekinchan?

Tambah-tambah lagi, sejak larangan merentas negeri dilaksanakan, kami yang di Lembah Klang ini sudah ketandusan tempat untuk dilawati. Kebetulan pula, saya belum pernah lagi menjejakkan kaki ke Sekinchan, yang merupakan salah satu destinasi percutian ‘balik hari’ terbaik dari Kuala Lumpur.

Cuma kali ini, saya dan rakan-rakan tidak mahu balik hari. Sebaliknya, kami akan bermalam di sebuah kontena di tengah-tengah sawah.

Baca juga: Pengalaman ‘Glamping’ di Tadom Hill Resort – Penginapan Unik Bertemakan Buluh

Padi Box, Sekinchan

Di Sekinchan ini sebenarnya ada beberapa lagi tempat penginapan lain yang menarik perhatian kami. Mungkin kami perlu datang lagi ke mari untuk mencuba kesemuanya, tapi untuk kali ini, kami sepakat memilih Padi Box.

Terletak kira-kira 2 jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Padi Box merupakan sebuah homestay yang diperbuat daripada kontena. Yang menariknya, kontena-kontena ini telah dicat dengan warna-warna pastel yang nampak sungguh ceria apabila berlatar belakangkan kehijauan bendang.

Padi Box, Sekinchan

Sama ada anda ingin berbulan madu bersama insan tersayang, atau bercuti bersama teman-teman, Padi Box ada menawarkan ruang yang sesuai untuk anda, dengan bilik yang mampu memuatkan sehingga 6 orang.

Anda juga boleh memilih bilik yang mempunyai tingkap di tepi katil supaya anda boleh menikmati pemandangan sawah padi sebaik saja bangun dari tidur.

Di tingkat atas Padi Box, terdapat sebuah ruang santai yang dilengkapi dengan sofa, meja snuker, permainan video game Mario, daun terup, dan soket elektrik.

Basikal untuk disewa juga turut tersedia dengan harga RM10 untuk dua jam atau RM30 sehari untuk basikal single, manakala basikal tandem pula disewakan dengan harga RM15 untuk dua jam atau RM50 sehari. Pengunjung yang tidak menginap di Padi Box juga boleh menyewa basikal dengan harga RM10 sejam untuk basikal single dan RM15 sejam untuk basikal tandem.

Kafe Bas, Sekinchan. Foto: Fadilah Ahmed Supian

Kesemua bilik adalah bebas asap rokok serta dilengkapi dengan penyaman udara dan bilik air. Kesemua bilik juga mempunyai WiFi percuma dan televisyen (kecuali bilik keluarga 6 orang tanpa tingkap). Tempat letak kereta percuma untuk tetamu ada disediakan di luar perkarangan homestay.

Tempahan bilik boleh dibuat di laman web mereka atau di aplikasi Airbnb.

Cara Untuk ke Padi Box Sekinchan

Dengan Kereta

Memandu kenderaan sendiri ialah cara yang paling mudah untuk ke Padi Box, Sekinchan. Ikut Lebuhraya LATAR dan keluar di Ijok – Kuala Selangor – Sekinchan.

Lima minit sebelum tiba di bandar Sekinchan, anda akan nampak stesen minyak Petron di sebelah kiri. Di sebelah kanan pula, ada simpang dengan papan tanda Jalan Tali Air 4. Masuk ke simpang ini dan anda akan menjumpai Padi Box kira-kira 500 meter dari jalan besar.

Dengan Pengangkutan Awam

Ambil bas Sabak Bernam Express dari stesen Pudu Sentral, Kuala Lumpur (sebelum ini dikenali dengan nama Terminal Bas Puduraya) ke Terminal Bas Sekinchan Sentral.

Sila hubungi syarikat Sabak Bernam Express untuk mendapatkan maklumat terkini tentang tambang dan jadual bas.

Sabak Bernam Express

Jarak antara terminal bas Sekinchan dengan Padi Box adalah kira-kira 5 minit perjalanan menaiki kereta. Untuk ke sana, anda boleh mendapatkan teksi atau memaklumkan pihak Padi Box lebih awal untuk menjemput anda di stesen.

Sebagai alternatif, anda juga boleh memberitahu kepada pemandu bas Sabak Bernam untuk menurunkan anda di simpang Jalan Tali Air 4. Dari situ, anda boleh terus berjalan kaki kira-kira 500 meter untuk ke Padi Box.

Reviu Kami Tentang Padi Box, Sekinchan

Walaupun tempahan bilik dibuat pada saat-saat akhir, kami bernasib baik kerana berjaya mendapatkan bilik yang mempunyai tingkap.

Waktu untuk daftar masuk adalah pada pukul 3 petang, tapi kami tiba sejam lebih awal dengan harapan boleh masuk awal. Malangnya, bilik kami masih belum sedia, jadi kami terpaksa menunggu sehingga jam 2.30 petang.

Sementara menunggu, sempat juga kami mengambil gambar di perkarangan homestay kerana dekorasi landskapnya begitu menarik dan lebih seronok lagi, tiada tetamu lain selain kami.

Credit: Fadilah Ahmed Supian
Credit: Fadilah Ahmed Supian

Pada awalnya, kami ingin mendapatkan bilik di tingkat atas kerana pemandangannya sudah tentu lebih cantik, tapi sayangnya semua bilik untuk 6 orang adalah di tingkat bawah.

Walau bagaimanapun, kami tidak kecewa kerana pemandangan dari bilik kami juga sudah cukup cantik walaupun dari tingkat bawah. Tambahan pula, katil super king yang diletakkan di tepi tingkap itu tinggi (seperti katil double decker), jadi kami berasa seolah-olah berada di tingkat atas.

Pemandangan dari katil.

Selain daripada katil super king tersebut, bilik itu juga mempunyai:

  • 2 katil double-decker (bersaiz super single)
  • bilik mandi dan tandas
  • sinki
  • TV LED 42 inci
  • rak kasut
  • tuala, syampu, dan gel mandian
  • tisu tandas
  • air minuman
  • pengering rambut
  • seterika
  • cerek elektrik
  • cawan

Walaupun ada cawan dan cerek elektrik, sudu, kopi, dan teh tidak disediakan. Jadi, kalau anda ingin minum pagi di bilik, anda perlu membawa sachet minuman dan sudu sendiri.

Disebabkan bilik itu pada asalnya adalah sebuah kontena, ruangnya agak terhad, namun masih selesa untuk bergerak. Dan yang paling penting, segalanya bersih, kemas, dan lengkap.

Bilik keluarga untuk 6 orang di Padi Box. Sumber: Airbnb

Kreativiti pemilik homestay untuk memanfaatkan segenap ruang di dalam kontena itu memang harus dipuji. Walaupun ruangan terhad, segala kelengkapan mencukupi. Hiasan dalamannya juga begitu elegan dan banyak sudut menarik untuk bergambar. Jadi, anda tidak perlu pergi jauh untuk OOTD!

Selain itu, tempat tidur kami juga sangat selesa dengan tilam dan bantal empuk serta selimut tebal ala hotel mewah. Saiz katilnya cukup besar, terutama katil super king di tepi tingkap yang boleh memuatkan sehingga 3 orang.

Di bawahnya ada ruang rehat untuk menonton TV yang dihiasi dengan kusyen, beruang teddy bersaiz gergasi, dan karpet rumput yang sama warna dengan sawah padi di luar. 

Secara keseluruhan, kami amat berpuas hati dengan bilik tersebut. Cuma yang kurang memuaskan ialah TV yang disediakan tidak mempunyai sebarang siaran dan signal WiFi tidak sampai ke bilik kami.

Pada pagi keesokan harinya, kami menyewa basikal untuk melihat kawasan sekitar. Terdapat lebih kurang 10 buah basikal single dan sebuah basikal tandem yang disediakan, tetapi tidak semuanya elok. Salah seorang daripada staf mereka akan memeriksa terlebih dahulu keadaan basikal sebelum menyerahkannya kepada anda.

Pilihan Makanan di Padi Box Sekinchan

  • Harga bilik adalah tidak termasuk sarapan, tetapi anda boleh menempahnya dengan harga RM5 setiap set. Tempahan harus dibuat selewat-lewatnya pukul 9 malam hari sebelum.
  • Padi Box turut menawarkan pakej BBQ (perlu ditempah lebih awal). Pakej ini termasuk pit barbeku, penyala api, 3 kilo arang, minuman, sos pencicah, dan bahan-bahan mentah seperti kepak ayam, filet, sosej, bebola daging, makanan laut, jagung, dan sayur-sayuran lain. Sila rujuk laman web mereka untuk maklumat lanjut.
  • Di hadapan Padi Box terdapat sebuah kafe bas (N16 Cafe), tetapi malangnya ia tidak dibuka semasa kami di sana.
  • Sekiranya anda memiliki kenderaan sendiri, anda boleh pergi ke bandar Sekinchan untuk mencuba restoran-restoran di sana. Atau anda juga boleh menyewa basikal untuk mencari kedai makan berhampiran Padi Box.
  • Sekinchan terkenal dengan makanan laut. Jangan lupa untuk mencuba mentarang, sejenis hidupan laut bercengkerang yang sangat popular di Sekinchan.

Akhir Kata

Tidak dapat disangkal lagi, Padi Box Homes & Cafe, Sekinchan sememangnya antar tempat penginapan yang paling unik di Malaysia. Dengan konsep dan dekorasi yang lain daripada yang lain, ia sudah tentu menjadi tarikan bagi penggemar hotel butik dan tempat-tempat hipster.

Tidak seperti sesetengah hotel yang hanya cantik dari luaran, Padi Box bukan sekadar rupa, tetapi juga bersih, selesa, dan serba lengkap.

Hanya satu jam setengah dari Kuala Lumpur, anda dapat lari dari kesibukan kota dan merehatkan diri dalam kedamaian suasana desa dengan diasyikkan oleh keindahan sawah menghijau.

Credit: Fadilah Ahmed Supian
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Sekinchan, seperti aktiviti-aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sana, pilihan tempat makan, jadual penuaian padi, serta tempat penginapan yang ada, sila baca artikel ini:
 
 
* Artikel asal telah diterbitkan di Ummi Goes Where? pada tahun 2021.

Padi Box Homes & Cafe

Alamat: Lot 11126, Jalan Tali Air 4, 45400 Sekinchan, Selangor, Malaysia.

Laman Web: Padi Box

Tel / WhatsApp: 019-320 5688

Posted in BM

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *