Menu Close
Gelembung Pelancongan Langkawi travel bubble

Bahasa Malaysia | English

Apa Itu Gelembung Pelancongan Langkawi? Ini Yang Anda Perlu Tahu

Sedar tak sedar, sudah genap setahun setengah negara kita menutup sempadan antarabangsa. Bahkan rakyat Malaysia sendiri sudah berbulan-bulan tidak dibenarkan merentas negeri.

Akibatnya, sektor pelancongan terjejas teruk dan kita semua semakin jelak, muak, dan gelisah terkurung di rumah tanpa dapat berlibur atau menjenguk sanak saudara.

Baru-baru ini negara jiran kita Thailand telah memperkenalkan skim “Phuket Sandbox” iaitu satu gelembung pelancongan (travel bubble) yang membolehkan pelancong dari luar negara melawat pulau tersebut tanpa sebarang kuarantin. Susulan daripada kejayaan skim ini, ada ura-ura yang mengatakan Malaysia juga akan melakukan perkara yang sama.

Dan akhirnya pada 9 September yang lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya secara rasminya telah mengumumkan bahawa Langkawi bakal menjadi destinasi gelembung pelancongan pertama di negara kita yang akan bersedia menerima kedatangan pelancong mulai hari ini, 16 September 2021.

Walau bagaimanapun, gelembung pelancongan tersebut hanya dibuka kepada pelancong tempatan sahaja buat masa ini sementara negara membuat persediaan selanjutnya untuk menerima pelancong luar.

Jika anda bercadang untuk melawat Pulau Langkawi semasa pelaksanaan gelembung pelancongan ini, berikut ialah perkara-perkara yang anda perlu tahu:

Untuk memastikan inisiatif ini berjalan dengan lancar dan selamat, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri telah menggariskan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Langkawi eagle. Travel bubble 2021
 Kredit: Fathan / Wikimedia Commons

Siapa Yang Dibenarkan Melawat

  • Gelembung pelancongan Langkawi ini terbuka kepada pelancong dari semua negeri termasuk negeri yang masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara, kecuali kawasan-kawasan yang sedang dikenakan PKPD.
  • Pelancong mestilah sudah lengkap vaksinasi*, tidak positif Covid dan bukan kontak rapat kepada mana-mana individu positif Covid.
  • Pelancong dikehendaki mengemukakan sijil vaksinasi sebelum dibenarkan masuk atau pada bila-bila masa sekiranya diminta oleh pihak berkuasa, pekerja hotel / restoran dan sebagainya.
  • Tiada had umur dikenakan kepada pelancong.
  • Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang belum divaksin perlu ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang lengkap divaksin.
* “Lengkap divaksinasi” adalah merujuk kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin Pfizer, AstraZeneca, atau Sinovac sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh perjalanan, atau satu dos Johnson & Johnson atau Cansino sekurang-kurangnya 28 hari sebelum tarikh perjalanan.

Cara Untuk Melawat Langkawi Sewaktu Gelembung Pelancongan

  • Semua pelancong harus mendapatkan permit polis di negeri masing-masing sebelum melawat Langkawi.
  • Pelancong boleh melawat Langkawi melalui jalan udara atau darat. Walau bagaimanapun, mereka yang memilih jalan darat haruslah menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya pengangkutan dari destinasi permulaan sehingga ke jeti feri Kuala Kedah*/Kuala Perlis. Kenderaan persendirian adalah tidak dibenarkan. Agensi pelancongan juga boleh menguruskan permit polis untuk pelancong.
  • Pelancong dari Kedah dan Perlis serta pelancong yang memilih jalan udara tidak wajib menggunakan khidmat agensi pelancongan. Mereka yang memilih jalan udara juga tidak perlu mendapatkan surat polis.
  • Jumlah penumpang yang dibenarkan di dalam setiap kenderaan adalah terhad kepada kapasiti maksimum kenderaan tersebut.
  • Feri dibenarkan beroperasi dari Kuala Kedah* dan Kuala Perlis dengan kekerapan terhad.
  • Jenis-jenis percutian yang dibenarkan adalah percutian bermalam, percutian secara harian (pergi dan pulang pada hari yang sama), percutian yang telah ditempah lebih awal serta pakej percutian melalui agensi pelancongan berlesen yang diiktiraf oleh MOTAC.
  • Sekiranya menaiki feri, pelancong dibenarkan untuk bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah atau Perlis.
  • Anda dinasihatkan supaya menyimpan semua resit dan pengesahan tempahan hotel, penerbangan, feri, pakej pelancongan dan sebagainya sebagai bukti bahawa perjalanan anda ke Langkawi adalah untuk tujuan pelancongan.
* Perkhidmatan feri Kuala Kedah – Langkawi dihentikan selama dua minggu bermula 5 September berikutan PKPD.

Ujian Saringan Covid Untuk Pelancong ke Langkawi

Kesemua pelancong yang berusia 7 tahun dan ke atas wajib menjalani ujian saringan Covid sebelum berlepas ke Langkawi. Kanak-kanak di bawah umur 6 tahun hanya perlu menjalani saringan gejala, dengan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan sampel air liur.

Pelancong yang didapati negatif akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi, manakala individu yang didapati positif Covid tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan, sebaliknya akan diuruskan sebagaimana prosedur operasi standard pengurusan kes positif Covid yang sedia ada.

Ujian saringan Covid boleh dilakukan menggunakan salah satu kaedah di bawah:

i. RT-PCR atau Ujian RTK-Antigen

Pelancong boleh melakukan ujian RT-PCR atau RTK-Antigen di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas. Keputusan ujian tersebut perlu dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk, sama ada di lapangan terbang atau terminal feri.

ii. Kit Ujian Kendiri

Sebagai alternatif, pelancong juga boleh membeli kit ujian saliva kendiri dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian di tempat saringan yang telah disediakan. Ujian tersebut akan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan bertugas.

Kit ujian kendiri turut ada dijual di sana.

Aktiviti Yang Dibolehkan Sepanjang Gelembung Pelancongan

  • Sebahagian besar aktiviti dan tempat tarikan pelancong (kecuali spa) akan dibenarkan untuk beroperasi sepanjang gelembung pelancongan Langkawi. Ini termasuk muzium, taman tema, taman rekreasi, zoo, akuarium, galeri, pusat hiburan serta aktiviti-aktiviti seperti sukan air, berkhemah, bermain golf, memancing, dan lain-lain.
  • Fasiliti di hotel dan inap desa, termasuk kolam renang, gimnasium, surau, dewan, dan ruang rehat juga akan dibenarkan untuk dibuka, tertakluk kepada SOP Fasa 4.
Untuk maklumat terkini, sila layari laman web rasmi MOTAC dan MKN.

Adakah Kita Wajar Bercuti Sekarang?

Adakah gelembung pelancongan ini wajar dilaksanakan pada masa sekarang? Tidakkah langkah ini akan lebih memburukkan keadaan?

Dengan bilangan kes positif yang kian meningkat saban hari, persoalan-persoalan ini sudah tentu bermain di fikiran anda.

Kita sering diingatkan supaya tidak keluar rumah jika tiada urusan penting. Lengkap vaksinasi tidak bermaksud anda bebas daripada dijangkiti dan anda juga mungkin menjadi pembawa virus tanpa menyedarinya.

Namun, pada masa yang sama, ekonomi negara harus diteruskan. Rakyat perlu mencari sumber rezeki untuk meneruskan hidup.

Pandemik yang melanda negara selama setahun setengah ini telah memberikan impak yang sangat besar kepada industri pelancongan, khasnya pengusaha-pengusaha kecil yang bergantung sepenuhnya pada sektor tersebut. Kehadiran pelancong domestik sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit ruang kelegaan kepada mereka yang terkesan.

Di saat negara sedang bersiap sedia untuk menghadapi Covid sebagai endemik, kita juga seharusnya menyiapkan diri untuk kembali kepada kehidupan sediakala tetapi dengan menerapkan norma-norma baharu.

Akhir Kata

Tidak dinafikan, Malaysia masih berada di kedudukan terendah dalam senarai negara yang paling berdaya tahan untuk melawan Covid, namun kita harus bermula dari sekarang untuk keluar daripada krisis ini.

Percutian yang selamat bukanlah satu perkara yang mustahil jika semua yang terlibat menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk mematuhi SOP yang ditetapkan. Sentiasalah berwaspada, pakai pelitup muka, dan kekalkan penjarakan sosial walaupun anda sudah lengkap divaksinasi.

Sekiranya berjaya, projek rintis gelembung pelancongan ini akan menjadi titik tolak untuk kita kembali bangkit mendepani cabaran mendatang. Semuanya terpulang kepada kita untuk sama-sama menjayakannya.

Adakah anda menyokong inisiatif gelembung pelancongan Langkawi ini? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen di bawah.

Baca juga: 10 Hotel Mewah Harga Bajet di Langkawi (Bawah RM500)!

Klook.com
Posted in BM

Related Posts

1 Comment

  1. Pingback:Langkawi Travel Bubble – What You Need to Know – Ummi Goes Where?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *